Thursday, January 17, 2013

Prihatin Tak Prihatin

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga Baginda serta para sahabat.

Sudah hampir seminggu tak jenguk langsung blog ini. Niat di hati itu memang nak tambah entri baru tapi apakan daya internet di rumah sudah kehabisan kuota. Jadi baru hari ini berkesempatan untuk online. Terkejut juga dengan isu hangat baru berkaitan #listen itu. Namun saya tidak akan berbicara mengenainya, saya tinggalkan kepada anda untuk menilainya.

Baiklah perkara yang ingin saya utarakan kali ini berkisar tentang tahap keprihatinan rakyat Malaysia. Genap seminggu yang lalu, nak dijadikan cerita, saya, ibu saya, adik saya, ibu saudara saya serta seorang sepupu berusia tiga tahun sedang dalam perjalanan dari Besut ke Kuala Terengganu. Setelah lebih sejam perjalanan tiba-tiba kereta yang dipandu oleh ibu saudara saya mengalami kerosakan. Rosaknya tidaklah teruk. Saya dan ibu saudara saya cuba membaiki yang mana termampu. Namun tetap kereta itu tidak boleh dipandu. Shock absorber mengalami kerosakan. Sudah tiada harapan.

Shock absorber (gambar hiasan)
Kawasan kereta mengalami kerosakan itu merupakan suatu kawasan yang agak kurang pembangunan. Sebelah kiri lembah dan sebelah kanan ada perkampungan kecil. Meskipun begitu kami amat bersyukur kerana lebih kurang 100meter sahaja dari kawasan kerosakan dialami itu berdiri sebuah hentian bas. Hentian bas tersebut nyata tidak digunakan manusia, melalui pemerhatian ia menjadi tempat berteduh bagi lembu-lembu dan kambing-kambing yang berkeliaran. Tahi terpalit di sana-sini.

Kereta dibiarkan tersadai di tepi jalan, namun cukup ruang untuk kereta lain melalui kawasan itu meskipun bahu jalan amat sempit. Saya pasang segi tiga kecemasan dan letak dibelakang kereta agar pemandu lain dapat melihat kereta kami dari jauh.

Di bahagian inilah datangnya kesan yang begitu mendalam pada diri saya. Kami tiada pilihan lain melainkan menunggu bapa saudara saya datang dari Kuala Terengganu. Sepanjang penantian kami hampir sejam, tiada seorang pun berhenti dan bertanya khabar. Tidaklah saya berharap sesiapa untuk berhenti cuma bolehlah dari situ kita nilai sejauh mana tahap keprihatinan masyarakat. Secara jujur juga saya tidak mengharapkan sesiapa untuk membantu membaiki kerosakan itu ketika itu lantaran bapa saudara saya sudah dalam perjalanan. Hampir sejam kemudian bapa saudara saya sampai bersama seorang lagi bapa saudara saya. Setelah didiagnosis shock absorber yang mengalami kerosakan memang perlu ditukar. Jadi seorang bapa saudara saya kembali ke Kuala Terengganu dan seoarang lagi tunggu di hentian bas itu bersama kami.

Secara matematik kami tahu penantian akan berlarutan selama paling kurang dua jam lagi untuk Pak Cop, bapa saudara saya kembali ke Kuala Terengganu dan datang ke tempat kami semula bersama shock absorber baru. Kami menunggu dengan tabah. Sekali lagi penantian kami secara tidak langsung menjadi medium ujikaji sejauh mana keprihatinan para pemandu, ratusan pemandu yang melalui kawasan itu. Mengecewakan. Tiada seorang pun berhenti. Tidak kurang lima kali kenderaan polis melalui kawasan itu namun tidak satu pun berhenti, tidak walaupun hanya untuk bertanya khabar. Di hati kecil ini terdetik rasa kesal.

Akhirnya berhentilah sebuah kenderaan dan keluar si pemandunya bertanyakan keadaan kami malah turut menawarkan pertolongan. Kami secara lembut menolaknya kerana apa yang perlu kami buat hanyalah tunggu Pak Cop. Lelaki yang berhenti bertanya khabar itu merupakan seorang berbangsa Cina. Terpana seketika. Untuk pengetahuan komuniti Cina di kawasan ini amatlah kecil bilangannya, barangkali itulah sebabnya setelah lama menunggu barulah ada yang berhenti bertanya khabar. Nak diharapkan bangsa sendiri, terbukti di depan mata tidak ada pada hari itu yang cukup prihatin untuk berhenti bertanyakan khabar. Dalam hati saya terharu dengan tindakan lelaki berbangsa Cina itu, pada masa yang sama terkilan juga.

Terkilan untuk menelan hakikat bahawa individu yang bertanyakan khabar itu berbangsa Cina. Dalam keterharuan akan tindakan mulia beliau itu, saya terkilan kerana masyarakat Melayu, bangsa saya sendiri, saudara seIslam, tidak ada yang berkesanggupan. Lantas saya teringat suatu hadis ringkas berbunyi:

Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain (HR. Ahmad, Thabrani, Daruqutni. Dishahihkan Al Albani dalam As-Silsilah As-Shahihah)

Tiadakah seorang pun dari mereka yang benar-benar menghayati potongan hadis itu. Dalam suatu riwayat lain pula, lebih panjang;

Setiap persendian manusia diwajibkan untuk bersedekah setiap harinya mulai matahari terbit. Berbuat adil antara dua orang adalah sedekah. Menolong seseorang naik ke atas kendaraannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas kendaraannya adalah sedekah. Berkata yang baik adalah sedekah. Begitu pula setiap langkah berjalan untuk menunaikan shalat adalah sedekah. Serta menyingkirkan suatu rintangan dari jalan adalah sedekah. (HR. Bukhari)

Kesal pada hari itu, bercampur kepenatan menunggu berjam-jam lamanya di hentian bas itu. Saya cuba untuk berlaku adil, saya letakkan diri saya sebagai pemandu-pemandu pada hari itu dan saya renungkan, adakah saya akan berhenti untuk bertanya khabar paling tidak jika saya melihat situasi sama berlaku? Saya terkejut kerana jawapan yang diberikan oleh diri saya sendiri meragukan. 

Kekesalan bertambah-tambah. Saya pada hari itu sedikit sebanyak bermuhasabah diri sejauh mana keprihatinan diri. Tidak perlu kita persoal dan mengutuk tindakan sesiapa yang kita rasa tidak wajar, lebih aula untuk kita perbaiki diri dari semasa ke semasa. Di sebalik segala kebejatan yang berlaku pada hari itu, saya memanjatkan kesyukuran kerna diberi peluang untuk berada dalam keadan seumpama itu dan bermuhasabah diri. Moga diri ini menjadi individu yang lebih prihatin dan bertanggungjawab, anda juga, mudah-mudahan. Lantas menyahut seruan Allah SWT:

Jika kalian berbuat baik, sesungguhnya kalian berbuat baik bagi diri kalian sendiri (Al Isra': 7)

Bersama mengejar redha Ilahi.




14 comments:

  1. Semoga kita semua menjadi insan yang prihatin.. Insya Allah.

    Jom review entri ini, jangan malu2 utk komen ya.
    http://ceramahttbc.blogspot.com/2013/01/daging-ulama-beracun.html

    Terima kasih, Asslamaualaikum. wbt

    ReplyDelete
  2. Replies
    1. hmm,yang pasti Islam tak ajar umatnya jadi mcm tu.. :D

      Delete
  3. kami selalu terfikir nak jadi warga yang perihatin tapi bila terfikir "waktu malam" dan "kereta di tempat sunyi dan "kadar jenayah di malaysia".. selalunya menjadi batu penghalang..

    cuma terfikir kenapa "5 kenderaan polis" x berhenti?

    ReplyDelete
    Replies
    1. saya faham keadaan itu...dan saya juga terfikir perkara sama, kenapa pihak berkuasa tidak berhenti utk bertanya khabar mungkin.. :)

      Delete
  4. Assalamulaikum,
    apakan daya, semangat 'prihatin' semakin pudar dan dah tak sama macam masyarakat zaman dulu. mungkin kesan daripada jenayah yang membuatkan org kita dah tak ramah macam dulu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. betol..kita bbuat baik pada orang tpi orang salah guna kebaikan kita..jadi apa yg perlu kita tahu ialah bagaimana untuk menilai sesuatu keadaan dan situasi sebelum menghulurkan bantuan..kita yang tersadai pun tidak sepatutnya 100% mempercayai orang yang tidak dikenali takut kita pulak yang menjadi mangsa..berwaspadalah..

      Delete
  5. Setiap yg berlaku ada hikmah & pengajaran buat kita....Sama2 kita muhasabah diri...In Shaa Allah

    ReplyDelete
  6. Singgah dr Kelab Blogger. Done follow here ;)

    ReplyDelete