Friday, September 28, 2012

Ahmad Nazmi bin Md Nizam

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, hari yang indah. Namun resah gelisah. Final exam is just around the corner. Hari ini 29/9/2012, final exam pula 29/10/2012. Lagi sebulan. Tak mengapa. Aku tetap ingin meluangkan masa untuk menambah entri di taman mayaku ini. Tambahan mula semalam baru sahaja selesai menduduki assessment Math yang terakhir.

Entri untuk kali ini suka aku lakarkan tentang Ahmad Nazmi bin Md Nizam ataupun nama timangannya, Nami.

Baiklah, untuk pengetahuan di Taylor's College Subang Jaya tempatku menuntut ini wujudnya sebuah kelab bernama Corporate Social Responsibility ataupun singkatannya CSR, di mana koordinatornya ialah Mr. Yong.Kelab tersebut disertai oleh para pelajar yang gemar melakukan khidmat komuniti. Jadi mereka akan bergerak dan bertindak di bawah naungan Taylor's College Subang Jaya.

Jadi bersesuaian dengan course yang bakal diambil oleh para pelajar tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia di peringkat ijazah nanti, Mr. Yong mempelawa kami untuk menyertai kelab itu dan berbakti. Kelak kami akan diberikan sijil. Semestinya sijil itu berguna untuk permohonan universiti nanti. Jadi kami semua bersetuju.

Dipendekkan cerita khas untuk kami, terdapat empat pusat untuk kami menabur bakti. Takdir membawa aku untuk bertemu dengan insan yang sungguh istimewa, Nami. Sementara teman-teman lain berbakti di rumah orang-orang kurang upaya. Nami sangat istimewa. Alhamdulillah aku tidak keseorangan. Amanina dan Maisarah teman sekolej turut sehaluan. Jadi pada setiap hari ahad, seawal pagi kami akan bergerak ke rumah Nami yang terletak di perumahan rakyat Pantai Dalam. Apa yang kami lakukan sebenarnya kami bantu Nami dalam persiapkan diri untuk menempuhi UPSR.

Nami merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik beradik. Kakak Nami yang paling sulong baru sahaja beberapa bulan mendirikan rumah tangga. Manakala kakak Nami yang kedua pula, telah kembali ke rahmatullah beberapa tahun yang lalu kerana menghidapi Spinal Muscular Atrophy, SMA.

Kakak Nami mula dikenalpasti menghidapi penyakit berkenaan apabila sukar melakukan aktiviti yang lazimnya dilakukan oleh bayi lain semasa kecil. Kemudian doktor mengesahkan kakak Nami menghidapi SMA. SMA secara mudah merupakan penyakit yang melumpuhkan sistem badan sedikit demi sedikit dan seperti yang berlaku kepada kakak Nami, setelah suatu jangka masa tertentu, ajal akan menjemput. Begitulah ketentuan Ilahi.

Berbalik kepada Nami, suatu masa dahulu Nami pernah berlari ke sana ke mari bersama rakan-rakan. Bergelak ketawa bergurau senda. Tapi kini Nami hanya mampu terlantar di rumah lantaran beberapa tahun yang lalu, di kala luka kehilangan kakak Nami belum pun sembuh, doktor mengesahkan bahawa Nami turut menghidapi SMA. Betapa hancur dan luluhnya hati  ibu dan bapa Nami untuk menelan hakikat itu. Namun segalanya harus diteruskan. SMA sedikit demi sedikit memberikan impaknya ke atas sistem badan Nami dan kini, gelak tawa ria rakan-rakannya hanya dapat diperhatikan dari jauh melalui jendela berdekatan katil Nami.

Untuk pengetahuan, moral para penghidap SMA amat perlu dititikberatkan kerana ia mampu memberi kekuatan kepada mereka untuk melawan penyakit itu. Dengan kata lain, dapat memanjangkan jangka usia mereka. Sebagai contoh, Nami sebenarnya sudah 'mengatasi' arwah kakaknya dalam kepanjangan jangka hayat. Hal ini kerana ibu Nami, Kak Midah berusaha segigihnya bagi memastikan Nami sentiasa ceria dan tidak dirundum kesedihan. Kerana itulah Nami masih lagi sentiasa tersenyum. Siapa tahu jika suatu hari nanti Nami mampu sihat total. Mudah-mudahan.

Walaupun tidak mampu berjalan ke sana ke mari, namun Nami merupakan seorang yang sangat pintar. Nami sangat sukakan mata pelajaran matematik dan keputusan-keputusan peperiksaannya amat memberangsangkan. Bahkan jauh lebih baik berbanding sesetengah pelajar normal.

Nami juga sangat gemar bermain catur. Kebetulan aku sememangnya pemain catur, jadi setiap minggu, setelah kami mengajar Nami subjek-subjek UPSR, aku akan meluangkan sedikit masa bermain catur dengan Nami. Nami merupakan pemain catur yang amat berpotensi. Nami kini dalam pemantauan untuk diserapkan ke dalam pasukan catur paralimpik. Kebetulan pengurus pasukan tersebut merupakan kenalan ibu bapa Nami. Oleh yang demikian, aku sedikit sebanyak sebenarnya memainkan peranan sebagai jurulatih catur Nami.

Selain itu, Nami sering menyertai pertandingan-pertandingan bercerita. Bahkan almari di rumahnya dipenuhi dengan piala dan medal lantaran Nami sering memenangi pertandingan-pertandingan bercerita. Suatu yang bagi aku, sungguh-sungguh membanggakan apabila Nami pernah memenangi pertandingan bercerita di mana Nami bersaing dengan kanak-kanak normal. Aku seorang 'public speaker' , juga seorang pendebat, aku tahu untuk bercakap di khalayak ramai itu bukan suatu perkara yang mudah. Namun Nami dengan berkerusi rodanya, mampu menjadi seorang pemenang. Sungguh hebat.

Jadi dalam kami membantu Nami untuk menempuhi UPSR, tugas paling utama kami untuk menceriakan hidup Nami. Alhamdulillah rasanya kami sudah melakukannya dengan agak baik.Kunjungan kami sering dinantikan oleh Nami.

Begitulah, setiap hari ahad kami memperuntukkan masa bersama Nami. Bersarapan bersama di rumah Nami, kemudian sedikit sebanyak kami cuba membantu Nami dalam subjek-subjek UPSR. Bergelak ketawa bersama dan semestinya bermain catur.

Masa berlalu dengan pantas, kini CSR kami sudah berakhir. Esok merupakan ahad pertama 'tanpa' Nami. Pasti kekosongan itu dirasai.

Sesi terakhir kami bersama Nami pada ahad yang lepas diselubungi emosi. Buat julung kalinya Nami mengalahkan aku dalam catur dan bukan aku sengajakan perkara itu.

Mendepani hakikat tiada lagi kami untuk menceriakan Nami pada masa akan datang, Ibu Nami tidak mampu lagi menahan air mata. Jika sebelum ini air mata ibu Nami hanya di belakang Nami tatkala bercerita kepada kami tentang Nami yang sebenarnya sudah diberikan jangkaan jangka hayat oleh doktor, tapi pada hari itu buat pertama kali kami melihat air mata ibu Nami bergenang di hadapan anak teristimewa beliau itu.


Bergambar kenangan bersama Nami dan Amanina.

Namun Nami sentiasa tersenyum. Aku tahu Nami seorang yang kuat. Suatu perasaan yang sukar untuk digambarkan tatkala merenung wajah Nami, redupnya senyuman Nami memancarkan sebenar-benar keikhlasan. Sehingga ketemu lagi, insan teristimewa, Ahmad Nazmi bin Md Nizam. Wajah sucimu yang memberikan seribu ketenangan akan senantiasa tersemat dalam lipatan memori.

1 comment: