Monday, November 19, 2012

Waktu tamat solat Isyak?

Masuk waktu isyak ialah dengan hilangnya mega merah di ufuk barat (yang menandakan tamatnya waktu solat maghrib). Berakhirnya pula ada dua pandangan di kalangan ulamak;

Pertama; sebelum berakhir sepertiga malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Syafi’e dan Imam Ahmad dan segologan ulamak yang lain.

Kedua; sebelum berakhir separuh malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Abu Hanifah.

Pandangan pertama berdalilkan hadis dari Buraidah r.a. yang menceritakan penjelasan amali (praktikal) Rasulullah s.a.w. tentang waktu solat. Mengenai solat Isyak, Buraidah r.a. menceritakan; “Pada malam pertama Rasulullah s.a.w. melakukan solat Isyak ketika hilang mega merah di ufuk Barat. Di malam kedua pula baginda melakukannya tatkala malam telah berlalu sepertiganya…Kemudian, baginda menjelaskan; “Waktu solat ialah antara dua waktu tersebut”. (Riwayat Imam at-Tirmizi. Kata beliau; hadis ini hasan gharib soheh). Pandangan kedua pula berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Waktu solat Isyak ialah hingga separuh malam” (Riwayat Imam Muslim, Abu Daud dan an-Nasai dari Ibnu ‘Umar r.a.). Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni telah memadankan antara kedua-dua dalil tersebut di mana beliau menegaskan; “Yang utama (yakni yang afdhal) ialah tidak menangguhkan solat Isyak melebihi sepertiga malam. Namun jika ditangguhkan hingga separuh malam hukumnya adalah harus. Adapun selepas itu adalah waktu darurat…” (al-Mughni, 1/275).

Waktu yang dimaksudkan di atas ialah waktu ikhtiyar (waktu pilihan), iaitu waktu diberi keluasan/kelapangan kepada kita untuk memilih pada ketika mana kita ingin mengerjakan solat dalam jarak waktu tersebut walaupun yang afdhalnya ialah kita melakukannya di awal waktu.

Selepas waktu ikhtiyar tersebut, para ulamak berikhtilaf;

Menurut mazhab Hanbali dan Maliki; selepas waktu ikhtiyar itu ialah waktu darurat yang bermula dari sepertiga atau seperdua malam hinggalan terbitnya fajar (masuk waktu subuh). Maksud waktu darurat ialah harus melakukan solat Isyak pada waktu tersebut (tanpa berdosa) bagi orang yang ada keuzuran. Solat Isyak yang ditunaikan dalam waktu darurat itu masih dianggap tunai (bukan qadha), cuma jika dengan keuzuran tidaklah berdosa dan sekiranya tanpa keuzuran akan berdosalah. Kesimpulannya, menurut mazhab Hanbali dan Maliki; tidak harus kita menangguhkan solat Isyak hingga melepasi sepertiga atau separuh malam tanpa sebarang keuzuran. Di antara bentuk keuzuran ialah;
1. Wanita haid; selepas sepertiga/separuh malam barulah darah haidnya kering.
2. Orang kafir yang baru masuk Islam ketika itu
3. Kanak-kanak yang baru baligh ketika itu
4. Orang gila yang baru sedar dari gilanya ketika itu
5. Tertidur; selepas sepertiga atau separuh malam baru terjaga.
6. Sakit; sembuh selepas waktu tersebut.

Adapun menurut mazhab Syafi’ie; selepas waktu ihktiyar itu ialah waktu jawaz (waktu harus), yakni waktu harus untuk melakukan solat walaupun tidak sebaik waktu ikhtiyar tadi. Jadi, menurut mazhab Syafi’ie; waktu ikhtiyar tadi bukanlah bermaksud waktu pilihan secara mutlak (atau secara keseluruhan) tetapi waktu pilihan yang terbaik berbanding waktu berikutnya (yakni waktu jawaz). Waktu pilihan secara keseluruhan ialah selagi belum terbit fajar (yakni masuk waktu subuh). Mazhab Syafi’ie ini berdalilkan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud;

“Tidaklah tertidur itu (dianggap) kelalaian. Kelalaian ialah bagi orang yang tidak menunaikan solat (dengan sengaja) hingga masuk waktu solat yang lain” (Riwayat Imam Muslim).

Hadis ini memberi isyarat kepada kita bahawa waktu solat tidak tamat selagi belum masuk waktu solat yang lain. Maka dinisbah kepada Isyak, waktunya berterusan selagi belum tiba waktu subuh. Secara ringkasnya dalam mazhab Syafi’ie, keseluruhan waktu solat terbahagi kepada empat;

Pertama; waktu terbaik, iaitu di awal waktu.
Kedua; waktu ikhtiyar, iaitu hingga sepertiga waktu.
Ketiga; waktu jawaz (harus), iaitu hingga sebelum tamatnya waktu (yakni sebelum masuk waktu solat yang lain kecuali subuh di mana waktu tamatnya ialah sebelum terbit matahari).
Keempat; waktu hurmah (waktu haram), iaitu menangguh solat hingga ke saat terlalu hujung waktu di mana waktu yang masih tinggal tidak cukup untuk menyempurnakan keseluruhan rakaat solat. Solat jika sempat ditunaikan di dalam waktu sekurang-kurangnya satu rakaat maka ia dikira tunai secara keseluruhannya (sekalipun rakaat selebihnya dilakukan setelah habis waktu). Jika tidak sempat satu rakaat maka keseluruhanya dikira qadha’.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah 1/273-278.
2. Syarh as-Sunnah, Imam al-Baghawi, 1/8-12.
3. Mughni al-Muhtaj, Imam al-Khatib as-Syurbini, 1/173.
4. Al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syeikh Abdur-Rahman al-Jazairi, 1/168.
5. al-Wajiz, Dr. Abdul-Adziem Badawi, hlm. 66.
6. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 100.
7. al-Kifayah Li Zawil-Inayah, Syeikh Abdul-Basit al-Fakhuri, hlm. 56.

No comments:

Post a Comment