Wednesday, February 27, 2013

Pengajaran Daripada Banjir

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

Tanggal 26 Februari 2013, air sungai berdekatan mula melimpah dan dalam masa kurang 24jam, air mula menaiki kampung saya dan seterusnya menyebabkan kampung saya ini mengalami banjir. Untuk pengetahuan ini bukanlah kali pertama, bahkan ini merupakan gelombang ketiga banjir melanda. Gelombang pertama berlaku pada tarikh 25 Disember lepas, kemudian pada 1 Januari sekali lagi banjir berlaku dan hari ini, kali ketiga.

Halaman rumah
Adapun tadi ketika saya sedang membersihkan kawasan sekitar rumah, terlintas pula untuk menukilkan satu entri. Entri berkenaan pengajaran daripada banjir yang berlaku.

Baiklah, semalam semasa paras air sedang meningkat dengan lajunya, ada seorang sahabat saya bertanya,

"Bagaimana paras air boleh meningkat sedangkan tidak hujan langsung di kampung?"

Ya benar ketika itu, hujan tidak turun. Sahabat saya itu kehairanan. Lebih menghairankan, ketika saya sedang melakukan kerja-kerja pembersihan tadi pula, sebenarnya hujan turun dengan agak lebat, tetapi ketika itu paras air sudah mulai surut. Bagaimana ini berlaku?

Semasa hujan tidak turun, paras air meningkat, tetapi semasa air mulai surut, ia tetap surut walaupun hujan agak lebat di kampung saya ini. Aneh bukan? Sebenarnya begitulah fenomenanya. Jika anda ingin memahami dengan mendalam bagaimana keadaan ini berlaku, bolehlah anda membaca entri saya coretkan ketika gelombang pertama dahulu yang bertajuk, Ceritera Banjir 25/12/2013.

Sebenarnya kejadian ini berlaku kerana banjir yang melanda kampung saya ini, penyumbang utamanya bukanlah hujan yang membasahi bumi kampung halaman saya ini, tetapi sebaliknya hujan yang turun di bahagian yang lebih hulu berbanding kawasan saya ini, menyebabkan kawasan tadahan hujan di kawasan berbukit melimpah. Air yang melimpah itu perlu disalurkan melalui sungai-sungai ke destinasi akhirnya iaitu lautan. Semasa air dari kawasan hulu itu melalui sungai-sungai utama, maka sungai tidak mampu menampung jumlah air yang banyak lalu melimpah dan jadilah, banjir!

Hujan lebat di kampung saya ini, selebat manapun ia ghalibnya ia akan terus disalurkan melalui sungai utama kampung saya ke kawasan lebih hilir. Jadi hujan di sini, di kawasan saya ini, bukanlah faktor utama berlaku banjir, sebaliknya hujan di kawasan yang lebih hulu. Ini menerangkan mengapa walaupun tidak hujan di sini, air tetap meningkat naik, itu menandakan hujan di kawasan hulu amat lebat.

Bilamana air mulai surut pula, meskipun hujan turun tetapi air akan tetap surut kerana air di kawasan hulu sudah mulai kering, membanjiri kampung saya, dan kini akan meninggalkan kampung saya untuk terus menghilir.

Baiklah, berbalik kepada tajuk entri kali ini, apa pengajaran yang kita boleh ambil daripada fenomena ini?

Satu daripada yang saya terfikirkan, yang mana suka saya kongsikan menerusi entri kali ini ialah apabila sesuatu pemasalahan itu timbul kita tidak boleh cepat menyalahkan sesuatu, tetapi perlu menyiasat dengan teliti untuk mengesan apakah puncanya yang sebenar, agar bisa dileraikan kekusutan sebenar.

Bila berlaku banjir, kita fikir hujan yang turun di tempat kita itulah yang menyebabkannya berlaku. Hakikatnya rencah utama berlakunya banjir itu ialah hujan lebat di kawasan hulu. Jadi langkah pencegahan utama perlu difokuskan kepada kawasan yang sepatutnya.

Ada pepatah Melayu mengatakan, marahkan nyamuk kelambu di bakar. Pepatah itu menggambarkan kita secara melulu menyelesaikan sesuatu perkara tanpa pencerapan sepatutnya. Akhirnya pemasalahan itu tidak selesai, lebih malang masalah menjadi semakin parah.

Sesungguhnya setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Mengasihi hambaNya.

Ibnu Qayyim al-Jauziah berkata :

“Andaikata kita boleh menggali hikmah Allah yang terkandung dalam ciptaan dan urusanNya, maka tidak kurang dari ribuan hikmah. Namun akal kita sangat terbatas, pengetahuan kita terlalu sedikit dan ilmu semua makhluk akan sia-sia jika dibandingkan dengan ilmu Allah, sebagaimana sinar lampu yang sia-sia dibawah sinar matahari. Dan ini pun hanya kira-kira, yang sebenarnya tentu lebih dari sekadar gambaran ini.”

Di sebalik kejadia banjir ini, saya percaya terselit seribu pengajaran dan satu daripadanya saya cuba untuk kongsikan kali ini. Ini semua adalah bukti-bukti kebesaran Allah SWT. Mudah-mudahan ini menambahkan lagi keimanan kita.

Bersama mengejar redha Ilahi.


7 comments:

  1. yup...setiap sesuatu itu ada hikmahNya..:).

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul...apa yg penting sabar dan berfikir disebalik.

      Delete
    2. insyaAllah, sentiasalah kita bersangka baik kepada Allah.. :)

      Delete
  2. betul tu..bila banjir berhati2 lah selalu..awasi kanak2..paras air tinggi dan laju..bahaya...

    ReplyDelete
  3. huuuu... sabarlah enghadapi banjir.
    And very good sharing..
    Baru teringat... huuhuhuhu Astaghafirullah...

    ReplyDelete