Assalamualaikum.
Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.
Pada hari ini, masyarakat semakin ditawarkan dengan filem-filem dan drama-drama berunsur cinta islamik. Filem-filem dan drama-drama cinta islamik ini seringkali mendapat sambutan memberangsangkan lantaran pembangunan intelektual masyarakat pada hari ini selain fitrah manusia itu sendiri yang beragama dan juga beberapa faktor lain.
Drama-drama dan filem-filem berunsur cinta islamik ini, lazimnya diadaptasi dari novel-novel yang telah berjaya mendapat gelaran 'bestseller'.
Di Indonesia, dua buah novel karya Habiburrahman El Shirazy telah meledak sebagai filem iaitu 'Ayat-ayat Cinta' pada tahun 2008 dan 'Ketika Cinta Bertasbih' pada tahun 2009. Kedua-dua filem itu tidak dinafikan cukup bermutu dan tidak hairanlah filem Ayat-ayat Cinta berjaya menarik 3.58 juta penonton ketika ditayangkan di bioskop-bioskop seluruh Indonesia pada 2008 lantas memegang gelaran filem berunsur cinta islamik paling laris di Indonesia setakat ini.
Ayat-ayat Cinta |
Bertitik tolak daripada itu, penerbit-penerbit filem di Malaysia juga mulai giat menghasilkan filem dan drama bergenre cinta islamik. Hasilnya pada tahun 2009, drama bersiri 'Nur Kasih' menjadi fenomena di Malaysia pula apabila dilaporkan berjaya menarik 3.9 juta penonton. Kemudian semakin membiaklah filem-filem dan drama-drama seumpamanya di Malaysia.
Teladan
Sesungguhnya kisah-kisah cinta islamik sebegini jauhlah lebih baik untuk dijadikan tontonan jika dibandingkan dengan filem-filem atau drama-drama yang bergenre cinta yang bergelumang dengan maksiat. Kisah cinta islamik biasanya sarat dengan teladan dan pedoman yang tentunya sangat berguna kepada anak muda terutamanya.
Golongan yang setia mengikuti perkembangan kisah cinta islamik ini ghalibnya mereka-mereka yang mempunyai asas agama, samada kukuh atau tidak. Kisah-kisah yang ditonton berjaya membakar semangat para anak muda Islam untuk melayari sebuah kisah cinta yang diredhai Allah dan membentuk baitulmuslim yang sesempurna mungkin bagi meneruskan perjuangan pada jalan Allah.
Fantasi
Namun harus diingat musuh nombor 1 kita iaitu syaitan sangat tekun menjalankan agenda terkutuk mereka. Dalam segala kebaikan yang dapat ditangguk daripada filem-filem cinta islamik ini, malang sekali tidak sedikit anak muda yang tenggelam dalam fantasi.
Teringat saya akan kalam Ustaz Hasrizal Abdul Jamil apabila menegur tentang kegilaan anak muda terhadap Fatih Seferagic yang berbunyi:
"Resah saya melihat perangai masyarakat kita, dalam hafazan al-Qurannya dan pelbagai kebaikan Fatih Seferagic, kita memilih sisi pandangan yang mengundang fitnah, menimbulkan bencana penyakit 'ain dan menyuburkan Talbis Iblis."Perkara sama berlaku kepada kisah-kisah cinta islamik. Tidak dinafikan lazimnya drama-drama dan filem-filem berunsur tersebut dibarisi para pelakon yang mempunyai paras rupa yang cantik lagi menarik. Hal ini sedemikian kerana watak hero dan heroin seringkali digambarkan sebagai seorang yang mempunyai sifat kesempurnaan dalam segenap aspek.
Para pelakon yang mempunyai wajah menarik ini kemudiannya menjadi kegilaan anak muda termasuk golongan yang sudah berumah tangga. Perkara itu akan berterusan meskipun drama-drama itu telah tamat. Segala teladan yang sepatutnya difokuskan seperti sudah terbang ke awangan entah ke mana, yang berbekas benar di pangkal hati ialah rupa paras indah para pelakon drama-drama dan filem-filem berkenaan. Maka mulalah timbul bibit-bibit rasa, "Aku nak suami handsome/isteri cantik macam ni".
Di situlah ramai anak muda, dan harus saya sebutkan terutamanya kaum hawa, jatuh terperosok dalam satu lembah kehinaan.
Bukan lagi percintaan yang diredhai Allah yang ditekadkan untuk dijadikan teladan, sebaliknya berkhayal untuk melalui kisah cinta yang jerih dan berakhir dengan keindahan. Bukan lagi ingin menyiapkan diri sebagai muslim dan muslimah sejati bagi menempuhi alam perkahwinan sebaliknya berangan-angan untuk memiliki pasangan sesempurna yang ditampilkan dalam filem-filem yang ditonton. Alangkah malangnya.
Allah SWT telahpun memberi ingatan kepada kita semua:
"Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain dari tipuan belaka." [An-Nisa:120]
Angan-angan dan khayalan itu bukan sahaja mencemarkan hati, malah mewujudkan satu 'expectation' yang terlalu tinggi dalam perhubungan. Apabila bernikah, jika pasangan tidak berjaya memenuhi 'expectation' yang tinggi, itu dan ini, mulalah timbul krisis-krisis rumah tangga kecil-kecilan yang bisa meletus bila-bila masa.
Fitnah
Amatlah mendukacitakan, kerana wujudnya tangan-tangan yang hanya ingin mengaut keuntungan, agama diperdagangkan sehingga menimbulkan fitnah!
Saya gunakan istilah 'memperdagangkan agama' kerana wujudnya golongan yang menghasilkan drama-drama islamik ini semata-mata untuk mengeksploitasi label 'agama' itu bagi menarik minat penonton tanpa menitikberatkan nilai-nilai agama itu sendiri.
Baru-baru ini satu drama bergenre cinta islamik yang ditayangkan di Astro mendapat kecaman apabila memperlihatkan babak-babak yang tidak melambangkan kesucian Islam termasuklah satu adegan muslimah berniqab yang berpegang tangan dengan seorang lelaki ajnabi. Perkara ini sungguh menjatuhkan maruah Islam dan memberikan kefahaman yang salah tentang Islam terutamanya apabila masyarakat bukan Islam menontonnya. Ia membangkitkan fitnah kepada Islam!
Saya kira amatlah rosak masyarakat kita jika terus disajikan dengan nilai-nilai penuh keaiban sedemikian rupa. Saya amat berharap pihak-pihak yang berhasrat menghasilkan karya yang membawa imej agama perlulah menitikberatkan nilai-nilai sepatutnya bagi menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat.
Khatimah
Saya harap para pembaca faham yang saya tidak berhasrat langsung untuk membunuh terus minat terhadap karya-karya berunsur cinta islamik. Bahkan saya harap anak muda meminati hasil seni sedemikian berbanding meminati artis-artis seumpama KPOP serta artis-artis barat seperti Justin Bieber, One Direction dan sebagainya yang terang-terangan membawa unsur jahiliyyah.
Apa yang saya cuba lakukan ialah menyampaikan peringatan kepada kita semua agar tidak terjebak ke dalam lembah kehinaan. Saya mengajak kita semua mengambil segala mesej positif yang diselitkan dalam karya-karya berunsur islamik dan mengamalkannya ke dalam kehidupuan seharian kita.
Harus diingat tanggungjawab kita sebagai umat Islam bukan setakat untuk membina sebuah keluarga bahagia sahaja, tetapi hakikat perjuangan kita untuk menegakkan kalimah lailahaillallah maha luas dan banyak cabangnya. Marilah mempersiapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang mampu menyumbang kepada kedaulatan Islam.
Mana-mana yang baik jadikan teladan, mana-mana yang tidak baik kita jadikan sempadan.
Bersama mengejar redha Ilahi.

No comments:
Post a Comment