Friday, February 10, 2012

Sambutan Hari Lahir?




Sambutan hari lahir merupakan suatu sambutan yang amat lazim di negara kita pada hari ini.Bahkan seiring dengan masa yang kian memacu meninggalkan kita dibelakang,sambutan-sambutan hari lahir dalam kalangan masyarakat Melayu makin menjadi-jadi.Sememangnya tidak salah jika masyarakat Melayu menyambut sambutan hari lahir dengan apa cara sekalipun yang diingini kerana hakikatnya Melayu memang sarat dengan pelbagai kebudayaan.Namun jika kita seorang Islam,tidak kiralah samada kita Melayu,Cina,India atau apa bangsa sekalipun,kita perlulah sensitif terhadap garis panduan-garis panduan yang telah ditetapkan Islam.Terutamanya apabila kita berhadapan dengan masalah-masalah Islam kontemporari seumpama ini,kita perlu berusaha lebih keras dalam mencari kebenaran agar kita tidak terus terhanyut dengan kemaksiatan dalam dunia yang penuh onak dan duri pada hari ini lebih-lebih lagi kepada kita umat Islam.

Adapun dalam Islam,hukum sambutan hari lahir ini hanya mulai dibincangkan oleh sebahagian ulama'-ulama' mutaakhirin kerana sambutan ini sememangnya tidak dilakukan pada zaman Rasulullah SAW dahulu.Prof. Dr. Ahmad Syurbasyi dalam kitabnya "Yas-aluunaka fiddin" menyatakan maulid atau sambutan hari lahir dibawa masuk oleh kerajaan Fatimiyah di Mesir pada abad ke 4Hijrah dan kemudian di Iraq(mosul) oleh Syaikh Umar bin Muhammad bin Malla.Buku maulid yang pertama dikarang oleh Hafiz bin Dahiya dengan maudu' "At-Tanweer fi Mawlidil Basyirin Nadzir".Maulid atau hari lahir ini kemudian disambut oleh sultan dan pemerintah dan akhirnya umat Islam semakin menjadi-jadi sambutan hari lahir mereka.Beliau juga dalam buku berkenaan menghukumkan sambutan hari lahir sebagai bid'ah yang harus,bid'ah kerana tidak disambut semasa zaman Rasulullah dan harus kerana tiada nas atau hadith yang melarang sambutan berkenaan.
Di suatu sudut pandang yang lain,Prof. Dr. al-Imam Abdallah Yusof AlQardhawi yang masih hidup dan menyaksikan sendiri karenah sambutan hari lahir ini menggesa umat Islam meninggalkan amalan ini kerana ia tiada signifikannya.Beliau berpendapat sedemikian kerana peningkatan umur bukanlah suatu yang ganjil dan luar biasa apatah lagi untuk dianggap sebagai suatu pencapaian.Peningkatan umur bukanlah suatu yang pelik atau perlu dibanggakan kerana ia terlalu rutin dan proses tabi'iy saban tahun sahaja dan proses tersebut dilalui oleh berbilion-bilion umat manusia saban tahun.Ghalibnya kita akan meraikan kejayaan-kejayaan yang jarang dicapai dan bukannya suatu yang dicapai oleh semua orang.
Maka dengan itu,perlulah kita sedari bahawa sambutan hari lahir amat hampir kepada suatu sambutan yang tidak membawa manfaat kepada kita.Lebih teruk apabila sambutan hari lahir dalam kalangan masyarakat Islam pada hari ini sudah jauh melangkaui batas-batas Islam.Contohnya upacara meniup lilin,sedar atau tidak ianya merupakan amalan penganut agama Kristian.Walaupun sebilangan besar antara kita sudah mengetahui perkara berkenaan lantaran pendedahan demi pendedahan yang telah dilakukan,namun mengapa kita masih mengamalkannya?Disambut juga dengan nyanyian-nyanyian yang entah apa-apa yang sebenarnya dicedok dari budaya barat.Lebih parah apabila ada yang menjadikan minuman keras sebagai satu menu utama lantas membawa kepada pelbagai kemaksiatan lain.Jadi di manakah sensitiviti kita sebagai umat Islam?Adakah kita tidak mengetahui?Maka teruskanlah menimba ilmu dengan lebih gigih.Adakah pula kita mengetahui tetapi buat-buat tidak tahu?Janganlah kita tergolong dalam satu golongan yang tercatat dalam alQuran sebagaiman firman Allah SWT:
"Dan sesungguhnya kami jadikan untuk (isi nereka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia,mereka mempunyai hati tapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah).Mereka itu umpama binatang ternakan,bahkan mereka lebih sesat lagi.Mereka itulah orang-orang yang lalai."(Al-A'raf:179)
Walaubagaimanapun,Islam tidak melarang terus umatnya dari menyambut hari ulangtahun kelahiran kerana ia sudah dianggap sebagai adat di sesetengah tempat.Namun biarlah adat yang kita raikan itu tidak bertentangan dengan syarak.Islam itu indah.Jika benar ingin menyambut hari ulangtahun,sambutlah dengan cara yang berhikmah seperti mengadakan doa selamat,bersolat hajat dan seumpamanya.Jika ingin berkumpul berkumpullah ditempat yang sesuai dan patuhi batas-batas pergaulan yang ditetapkan.Usahlah kita mencedok budaya asing yang entah apa-apa kerana sungguh tanpa kita sedari ia boleh menjadikan kita sebahagian dari mereka."Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka ia dikira termasuk ke dalam golongan itu. (HR. Ahmad dan Abu Dawud dari Ibnu Umar r.a)
Bersyukurlah kita dipanjangkan umur oleh Allah SWT.Bersyukurlah kita masih diberi peluang oleh Allah SWT untuk bernafas di atas muka bumi ini.Bersyukurlah kita masih diberi kesempatan untuk memohon keampunan dosa-dosa lampau.Setiap detik dan ketika bertambahnya umur kita,maka semakin dekatlah giliran kita untuk menghadap Allah.Adakah kita bersedia?Ayuh bersama mengejar redha Ilahi.InsyaAllah.(^_^).

Friday, February 3, 2012

Ayuh Berubah!


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh.Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W ,ahli keluarga baginda dan para sahabat baginda.Alhamdulillah,pertamanya saya ingin memanjatkan jutaan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana memberi segala kekuatan dan keizinan untuk saya memperuntukkan sedikit masa dalam menitipkan sepatah dua kata dalam entri kali ini.Tiada yang lain yang diharapkan oleh hati kecil ini melainkan dapat menjentik kalbu kalian untuk memikirkan masa hadapan umat Islam di samping peringatan ke atas diri saya sendiri.Semoga dapat mengisi tabung-tabungan duniawi dan yang lebih penting,ukhrawi sana.

Kita sebagai genarasi muda sewajarnya menjadi satu aset yang cukup berguna kepada agama suci Allah S.W.T.Kita sepatutnya mengamalkan ajaran Islam walau di mana jua kita berada dalam apa jua pekerjaan yang kita lakukan.Kita serlahkan keindahan Islam itu,agar meraka berasa takjub dengan keindahan Islam.Hal ini secara tidak langsung menjadikan kita sebagai ‘Ambassador of Islam’.Subhanallah,cuba bayangkan,betapa indahnya dunia ini jika kita semua memantapkan diri lantas menjadi Ambassador of Islam,tatkala kita menjalinkan tali persahabatan dengan kawan-kawan kita yang bukan Islam,kita dapat bercerita mengenai sempurnanya Islam itu kepada mereka secara langsung bahkan yang lebih penting secara tidak langsung.Namun persoalannya di manakah kita pada saat ini?Tika kita menatap kembali dunia ini di pagi hari adakah kita ingat kepada Allah?Dalam setiap pekerjaan kita adakah kita mulakan dengan niat yang luhur untuk mengejar redha Allah?Air mata demi air mata yang kita titiskan adakah kerana Allah?Dan sebelum melelapkan mata setiap malam pernahkah kita bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan?Apa yang ingin kita dustakan?Sedangkan Allah telah secara jelas berfirman,“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku.(Az-Zariyat:56)”.

Saya pernah diajukan satu soalan oleh seorang kawan sekolej yang bukan Islam,soalan beliau berbunyi, “Muslim girls need to cover their hair right?”..Saya terdiam seketika seperti sudah dapat menjangkakan akan ada soalan tambahan.Namun sempat juga saya menjawab ringkas,"Yes".Kemudian seperti yang dijangkakan kawan saya itu bertanya lagi, “So why some of them never cover their hair at all?”.Lidah saya serta merta menjadi kelu untuk menjawab sekali lagi.Jauh di sudut hati ini berbekas rasa terkilan yang cukup mendalam.Jadi soalan saya,kenapa kita sebagai umat Islam membiarkan perkara sedemikian rupa terjadi?Baiklah,jadi perkara utama yang ingin saya kupas sedikit sebanyak untuk entri kali ini ialah mengenai "dosa yang tidak tertinggalkan".InsyaAllah baris-baris seterusnya ini akan cuba menyentuh dan mengupas sedikit sebanyak mengenai pemasalahan yang kebanyakan dari kita alami.

  Dosa yang kalian sembunyi dari manusia,bukan kerna kalian anggap Allah tidak mengetahuinya tetapi kalian sentiasa mencuba dengan segala upaya yang ada untuk berhenti dari melakukannya.Tidak pula kalian berasa bangga dengannya bahkan sangat membencinya.Tiap kali melakukannya pula kalian merasakan penyesalan yang bukan kepalang dan memohon jutaan keampunan dari Allah S.W.T.Sudah berkali-kali kalian berjanji pada diri kalian untuk tidak mengulanginya namun masih juga kalian mengulanginya.Sebagai contohnya,mungkin susah nak berhenti mengumpat sebab mengumpat tu dah jadi amalan dari zaman sekolah rendah,mungkin susah nak jaga pertuturan dengan sering secara lantangnya menggunakan perkataan-perkataan yang amat tidak sopan,mungkin susah nak jaga pandangan kerana pihak mereka masih mengalami economy crash untuk mencukupkan kain dalam menutup aurat,mungkin ada minat yang pelik yang bertentangan syarak yang susah untuk ditinggalkan,mungkin juga membenci ibu bapa sendiri kerana tidak mendidik kalian dengan sempurna waktu kecil dahulu,mungkin benci dan bersangka buruk pada seseorang hanya kerana dia mempunyai pandangan politik yang berlainan dengan kita dan sebagainya.

Walaubagaimanapun,kita dianjurkan untuk sentiasa bersangka baik sesama kita.Adakalanya kita tidak tahu perkara sebenar dan kita tidak tahu apa yang orang lain lalui.Kadangkala kita tengok orang tidak menutup aurat tapi hanya Allah yang mengetahui jika dia tidak pernah meninggalkan solat dan hanya Allah yang Maha Mengetahui bagaimana gigihnya individu itu struggle untuk mengikut perintah Allah.Adakalanya kita tidak pernah nampak seseorang itu berada atas tikar sejadah apatah lagi ke masjid,namun siapa tahu jauh di sudut hatinya dia sentiasa mengharapkan hidayah dari Allah dan suatu hari nanti Allah akan memberikan hidayah itu.Kadangkala kita dengan begitu mudahnya menilai manusia itu jahat sedangkan siapa kita ini?Entah amalan yang kita lakukan hari ini adalah amalan syurga entahkan tidak,mungkin suatu hari nanti kita dipalingkan dari hidayah Allah,nauzubillah.Sesungguhnya hidayah itu milik Allah.Jadi di sini jelas,kita tidak perlu terlalu menyibukkan diri dalam menilai kesalahan orang lain.Ada baiknya kita perbanyakkan muhasabah diri kita.

Pernahkah kalian membaca atau mendengar suatu kisah pada zaman Rasulullah dahulu mengenai Abu Mahjan?Abu Mahjan merupakan seorang yang kuat pemabuk.Walaupun arak telahpun diharamkan,namun Abu Mahjan tidak mampu berhenti dari melakukan tabiat buruknya itu kerana mengalami ketagihan yang teruk.Bahkan Abu Mahjan pernah disebat ketika zaman Rasulullah,zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq dan zaman Khalifah Umar Al-Khattab kerana mabuknya itu.

Diceritakan ketika perang Qadisiyyah,Saad Al-Waqas yang pada ketika itu menjadi panglima perang melawat-lawat khemah-khemah kaum muslimin dan didapati semuanya sedang khusyuk bertahajjud kecuali Abu Mahjan yang sedang mabuk.Lalu diikat dan dirantai Abu Mahjan kerana tidak membenarkan Abu Mahjan menyertai peperangan dengan alasan mabuk.Tiba pagi hari peperangan itu,Abu Mahjan melihat tentera Islam mulai goyah menghadapi tentera Rome,lalu dimintanya kepada isteri Saad untuk membuka ikatan itu kerana Abu Mahjan ingin turut sama bertempur dan Abu Mahjan berjanji setelah peperangan itu tamat beliau ingin diikat kembali.Walaubagaimanapun isteri Saad tidak bersetuju.Kemudian Abu Mahjan menggelupur seraya berkata ,”Wallahi,jika engkau melepaskan ikatan ini,aku pasti tidak akan mendekati penjual arak lagi,Sungguh Allah mempunyai janji dan ini janjiku”.Isteri Saad terkesima mendengar kata-kata Abu Mahjan itu dan akhirnya bersetuju untuk membuka ikatan itu.Lantas Abu Mahjan menutup mukanya dan menunggang kuda.Abu Mahjan juga tidak menggunakan pedangnya kerana tidak ingin muslimin yang lain tahu bahawa itu adalah beliau.

Allahukbar!!Abu Mahjan takbir dari atas gunung dan terus meluru kearah tentera musuh dan mencantas tentara musuh dengan banyaknya.Tentera Islam yang melihatkan perkara itu dengan serta merta menjadi semakin bersemangat.Abu Mahjan meneruskan kemaraan dan akhirnya dengan izin Allah S.W.T Abu Mahjan berjaya memenggal kepala panglima tentera Rome.Kemudian Abu Wahjan berundur sambil menghayunkan pedang dan kembali ke tempat ikatannya.Pada ketika itu tentera musuh sudah mulai hilang arah.Akhirnya tentera muslimin menemui kemenangan walaupun suatu ketika mereka hampir tumbang di tangan musuh.Pada masa yang sama Abu Mahjan pula mengikat kembali dirinya.Sekembalinya Saad Al-Waqas beliau berkata kepada Abu Mahjan,”Siapa yang engkau ingin tipu tadi?Apa engkau kira kami tidak mengenali suara engkau?”.Lalu Abu Mahjan dilepaskan dari ikatan dan sungguh,sehingga menemui ajalnya,Abu Mahjan tidak pernah lagi menyentuh walau setitis arak.

Jadi kita perlu sentiasa menanam iltizam yang benar-benar jitu untuk berhenti dari melakukan segala kekotoran.Kita perlu benar-benar teguh pendirian kerana kita sememangnya berperang dengan musuh yang tersangat dasyat iaitu nafsu dan syaitan.Kerana itulah dikatakan jihad yang paling besar merupakan jihad melawan nafsu.Namun usah risau,kita juga mempunyai pertolongan yang paling agung iaitu pertolongan Allah S.W.T.Usahlah putus asa dalam memohon pertolongan dari Allah.Kesedaran yang mendalam amat diperlukan.Setiap kali kita dibisikkan untuk melakukan kejahatan,maka cepat-cepatlah beristghfar.Sesungguhnya setiap kejahatan yang kita lakukan akan meninggalkan titik hitam di hati kita.Kejahatan demi kejahatan akan membuatkan hati kita hitam legam dan terhijab dari hidayah Allah,nauzubillah.Dan sungguh setiap kali apabila kita dibisikkan untuk melakukan kejahatan namun kita tidak melakukannya,satu titik putih akan berbekas dihati kita.Maka jika benar ingin menyucikan hati,bermulalah dari sekarang untuk meninggalkan dosa-dosa kecil yang sering kita lakukan.Senantiasalah memanjatkan doa kepada Allah S.W.T dan bertwakkal agar ditetapkan hati kita kerana sesungguhnya Dialah yang mengawal hati-hati kita.InsyaAllah semua amalan itu diikat pula dengan istiqomah.

Diharapkan dengan usaha yang amat kecil ini kalian dapatlah mengambil kebaikannya.Didiklah hati ,binalah diri kita agar menjadi seorang muslim yang berguna.Bermulalah sekarang,usah bertangguh lagi.Moga kita semua semakin bersemangat dalam usaha untuk meninggalkan perkara-perkara yang mendatangkan dosa dan memperbanyakkan amalan soleh.Yang baik itu dari Allah S.W.T dan yang buruk itu datang dari kelemahan saya sendiri.Wassalam..(^_^)