Saturday, September 21, 2013

Kempen 1 Motor 1 Jantina Dipolemikkan?

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

Sedar tidak sedar, hari ini, tanggal 22 September 2013, genaplah dua bulan saya bergelar guru pelatih di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas. Awal dulu saya berhasrat mencoretkan sesuatu tentang kisahnya saya melangkah masuk ke IPGKIK ini, namun kekangan masa menghalang. Apapun, jika berkesempatan saya akan coretkan juga cuma bukan sekarang.

Kali ini saya berhasrat untuk berkongsi sedikit tentang apa yang berlaku di IPGKIK ini. Sepanjang dua bulan pertama ini, banyak perkara yang berlaku, banyak yang boleh dikongsikan, tetapi saya memilih untuk berkongsi tentang satu kempen yang cukup menarik minat saya iaitu Kempen 1 Motor 1 Jantina yang dilancarkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) IPGKIK. 

Syabas dan tahniah kepada JPP atas pelancaran kempen ini. Saya secara peribadi merasakan kempen ini wajar dipanjangkan lagi ke peringkat semua IPG di seluruh negara termasuk institut-institut pengajian tinggi yang lain.

Walaubagaimanapun, saya terkejut kerana mendapat khabar angin bahawa kempen ini telah dipolemikkan oleh segelintir pihak. Melalui pemahaman saya yang mungkin sangat cetek tentang isu ini, mereka-mereka yang bersuara negatif terhadap kempen ini menimbulkan isu bagaimana nasib pasangan suami isteri, abang adik, ibu anak atau bapa anak dan barangkali disandarkan juga pada hubungan-hubungan muhrim yang lain dalam mendepani kempen ini.

Sejujurnya saya tidak faham mengapa kempen ini perlu dilihat dari lensa sedemikian. Berkemungkinan pihak yang bersuara negatif ini gagal menghadam kempen yang dijalankan ini dengan baik. 

Menurut kefahaman saya, nama yang diberi bagi kempen itu iaitu '1 Motor 1 Jantina' hanyalah bagi memberikan gambaran yang jelas tentang intipati kempen ini tetapi bukannya menceritakan matlamat kempen ini secara total. Maksud saya sememangnya ajakan kempen ini ialah agar satu motosikal digunakan oleh satu jantina sahaja. Tetapi, matlamatnya yang utama ialah untuk mengajak para guru pelatih menjauhi zina! Perkara ini sebenarnya jelas terpampang pada poster kempen ini.


Jadi mengapa ditimbulkan isu tentang mereka yang mempunyai hubungan muhrim? Golongan berkenaan tidak sama sekali termasuk dalam ruang lingkup ini kerana mereka tidak tercemar dengan zina.

Kepada JPP

Sekali lagi syabas dan tahniah kepada JPP atas pelancaran kempen-kempen sebegini. Sebagai saf kepimpinan utama IPGKIK, saya kira ini sudah menjadi tanggungjawab JPP. Allah SWT telah berfirman:

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar, merekalah orang-orang yang beruntung". 

(Ali Imran ayat: 104)

Saya percaya dengan giatnya usaha dan kreatifnya tatacara, gejala maksiat dalam kalangan remaja khususnya para guru pelatih akan dapat dibasmi paling tidakpun sedikit demi sedikit.

Apapun, saya kira pihak JPP perlulah sentiasa menerima dan menangani kritikan yang diberikan dengan berhemah.

Saya melihat berkemungkinan juga kempen ini menjadi satu isu kerana kurangnya kefahaman dalam kalangan guru pelatih. Saya kurang pasti samada kempen ini dilancarkan dengan rasmi atau tidak. Saya juga tidak pasti samada para guru pelatih diberi penerangan tentang kempen ini. Jika sudah diselesaikan, syabas sekali lagi kepada JPP.

Jika belum, mungkin di situ ada ruang untuk JPP ditambahnilai dan diperkasakan lagi. Saya secara peribadi sentiasa teruja melihat pihak kepimpinan menjalankan tugas dan saya sentiasa mengharapkan pihak di saf hadapan ini menjadi yang terbaik.

Kepada yang bersuara negatif

Saya berkedudukan tidak jelas mengapa kempen ini dijadikan isu. Mungkin kerana kurang kefahaman atau mungkin sememangnya sengaja untuk menempelak kempen ini lantaran terkena pada batang hidung sendiri.

Bagi saya, kita semua tercemar dengan noda dan dosa. Tidak seorang pun yang terlepas dari kesilapan. Maka apabila peringatan menyapa kita, kita sepatutnya bersyukur kerana Allah SWT masih ingat pada kita. Ingatlah pintu taubat Allah SWT itu maha luas, maka manfaatkan, banyakkan istighfar, bertaubatlah.

"Maka barangsiapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya." 

(Al Maidah: 39)

Tiada siapa mengetahui jika saat-saat mendatang ini merupakan saat terakhir sebelum kita dijemput malaikat maut. Ayuh persiapkan diri sentiasa menghadapi kematian teman-teman.

Kepada yang tidak mempedulikan langsung

Kepada golongan ini, berwaspadalah. Allah telahpun menurunkan peringatan kepada kalian.

"Dan Sesungguhnya kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka Itulah orang-orang yang lalai.

(Al-A'raf: 179)

Khatimah

Dalam satu hadis yang cukup masyhur disebutkan, kemungkaran mesti diubah atau dibanteras oleh seseorang atau golongan tertentu mengikut bidang kuasa yang ada.

Dalam konteks ini, JPP ialah pihak yang boleh menbanteras kemungkaran 'bi yadihi' iaitu secara literalnya bermaksud 'dengan tangannya' atau secara konseptual bererti, kuasa yang ada. Oleh yang demikian syabas atas kempen yang dilancarkan. 

Tetapi sekali lagi, JPP juga perlu sentiasa bersedia menyerap dan menangani kritikan secara positif. Ia penting bagi membina diri sebagai pemimpin pada masa hadapan.

Berdasarkan hadis itu lagi, golongan yang sedikit lemah ialah golongan yang mesti membanteras kemungkaran 'bi lisanihi' yang secara isitilah bermaksud 'dengan lidahnya'. Oleh itu, bagi diri saya termasuk rakan-rakan guru pelatih yang lain, ayuh kita guna kemampuan yang ada untuk mendepani kemungkaran dengan menyuarakan penolakan kita.

Jika tidakpun, cukuplah dengan 'bi qalbihi' atau 'dengan hatinya' yang mana ianya merupakan selemah-lemah iman. Jika tidak mampu meletakkan diri sebagai orang yang mengubah kemungkaran 'bi yadihi' atau 'bi lisanihi', cukuplah 'bi qalbihi'.

Jangan pula kita menjadi suara-suara makhluk yang sememangnya ingin merosakkan kita iaitu syaitan dengan menyuarakan penentangan terhadap usaha-usaha pencegahan kemungkaran. Sebaliknya mari kita bersama-sama memurnikan usaha-usaha mencegah kemungkaran seumpama Kempen 1 Motor 1 Jantina ini.

Bersama mengejar redha Ilahi.