Assalamualaikum.
Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.
Saya menonton filem pendek karya Mat Luthfi yang bertajuk 'Sebelah Sayap' berkali-kali. Sungguh-sungguh terkesan kerana saya seolah-olah melihat diri saya dalam satu daripada watak dalam filem pendek itu.
Bagi saya setiap baris skrip yang dimuntahkan oleh para pelakon filem pendek itu sarat dengan mesej yang sungguh tajam. Perjalanan cerita digarap dengan menarik dan watak-watak yang diwujudkan berjaya membawa mesej yang cuba disampaikan.
Tiga watak utama dalam filem pendek itu ialah Ihsan, Reefqy dan Mat.
Ihsan |
Bagi menterjemahkan mesej yang cuba disampaikan, Ihsan memainkan peranan sebagai seorang yang bermasalah namun bergelut untuk keluar dari kemelut yang dihadapi. Saya tertarik dengan tindakan meletakkan Ihsan sebagai seorang yang ketagihan minuman keras. Konteks 'seorang yang bermasalah' itu cukup besar, boleh jadi kaki malas belajar, kaki tidur dalam kelas, kaki tipu, kaki mencuri dan sebagainya. Boleh jadi sekecil-kecil masalah sehingga sebesar-besar. Tetapi yang dipilih ialah kaki botol, di mana ianya cukup ekstrem. Hal ini membawa satu tamparan besar kepada setiap daripada kita yang tentunya mempunyai amalan-amalan buruk yang masih belum kita tinggalkan. Sejauh mana kesucian dan kesahihan amalan kita pada hari ini dan jika ada yang tidak kena, sejauh mana kita berusaha untuk tinggalkannya? Ihsan yang bertungkus lumus melupakan tabiat seburuk itu sepatutnya menjadi motivasi kepada kita untuk turut bertindak meninggalkan titik-titik jahiliyyah dalam diri kita tanpa mengira sebesar mana.
Reefqy |
Reefqy pula memainkan peranan sebagai seorang ketua usrah yang kurang baik. Konteks 'ketua usrah yang kurang baik' itu juga luas, tetapi Mat Luthfi meletakkan Reefqy sebagai seorang ketua usrah yang kurang baik dalam kadar yang ekstrem juga. Ianya jelas melalui layanan Reefqy apabila Ihsan meminta Reefqy meluangkan sedikit masa semasa Reefqy sedang menonton ceramah agama di komputer serta cara pertuturan Reefqy keseluruhannya. Secara amnya, para ketua usrah tiadalah sekejam yang digambarkan. Pun begitu, perwatakan ganas Reefqy itu perlu didalami oleh para ketua usrah, juga para dae'i umumnya, jika-jika nilai negatif yang wujud pada diri Reefqy itu juga melekat pada diri para pendakwah meskipun sekelumit sahaja. Sikap-sikap negatif itu mempunyai banyak lapisan, yang ditampilkan dalam filem pendek ini begitu tebal dan jelas. Namun para pendakwah sekalian, cuba kupas satu persatu sikap diri dan cari lapisan mana yang terpalit titik negatif. Renungkan frasa yang mengatakan, "Matlamat tidak menghalalkan cara".
Mat |
Mat pula bertindak sebagai seorang kawan yang diimpikan setiap insan. Mat mempunyai penampilan bersahaja, tidak nampak warak tetapi tidak pula berpenampilan buruk. Pertuturan Mat tidak dibarisi oleh ayat-ayat AlQuran atau hadis secara literal, tetapi nilai-nilai yang ada pada percakapan Mat, juga tindak tanduk Mat itu sebenarnya melambangkan ajaran Islam yang sebenarnya. Mat mengambil keputusan untuk bersemuka dengan Reefqy yang merupakan ketua usrah beliau sendiri selain teman serumah demi menyelesaikan pemasalahan yang dihadapi Ihsan. Melalui pertemuan itu Mat dilihat berjaya menjentik hati Reefqy untuk memikirkan semula tindakannya. Selain itu dalam mendepani Ihsan, Mat tidak pernah tampil dengan baris-baris ayat-ayat AlQuran atau hadis, pun begitu Mat dilihat begitu berhikmah. Mat juga bertindak proaktif apabila menukarkan minuman keras kepada minuman halal di dalam botol-botol minuman keras Ihsan. Tindakan terpuji Mat ini melambangkan nilai muslim sebenar dalam menyelesaikan masalah berbanding cara Reefqy meski Reefqy tampak lebih tinggi pengetahuan agama. Perwatakan Mat, perlu direnungi oleh kita semua secara serius dalam menimbangtarakan antara ilmu dan amal kita.
Saya juga amat tertarik dengan beberapa baris skrip yang dituturkan yang bagi saya sangat mendalam. Antaranya;
- "Hang tak boleh la expect dia sama macam hang kalau starting point dalam spiritual journey dia tu lambat"
- "Habistu awat ada atheis yang baik ah?"
- "Manusia tu jadi baik bukan semata-mata dia takut kepada tuhan lah, tapi dia ada harapan yang tuhan akan balas balik jasa baik yang dia buat"
- "Sejak bila mengintip tu ada dalam kerangka Islam ah?"
- "At least kalau hang tak dapat pahala berhenti buat dosa, dapat pahala cuba berhenti pun jadi la"
- "Hang tak payah belajaq agama lah untuk lari dari masalah"
- "Sebab amaran terlebih la, kita ada masalah skeptisme agama tau?"
- "Alah, kalau dia tu betoi-betoi wangi, takkanlah dia risau dengan bau tengik hang"
- "Hang jangan cakap, lecturer hang tu lagi penyayang daripada Tuhan"
Secara keseluruhannya mesej utama yang cuba disampaikan oleh video Sebelah Sayap ini ialah soal hati. Bagaimana kita perlu memahami hati insan-insan di sekeliling kita dengan baik agar kita dapat menyampaikan risalah Islam dengan berkesan kepada mereka. Bagaimana kita perlu menyelami dunia insan-insan yang mengelilingi kita agar kita dapat menggunakan uslub dakwah yang bersesuaian. Adakalanya tatkala kita belajar sedikit lebih dari orang lain kita mulai dihinggapi penyakit-penyakit hati. Perkara-perkara ini, mampu merosakkan kita meskipun kita mempunyai pengetahuan agama yang lebih baik berbanding teman-teman kita. Rosak bagaimana? Rosaknya hati.
Ingat, sejijik manapun diri kita bergelumang dalam dosa, pintu taubat itu maha luas. Ingat, pendakwah memang besar tugasnya, tetapi tidak sesekali pendakwah mempunyai authoriti sebagai penghukum.
Seperti yang sering saya sebutkan di medan maya ini, BERSAMA mengejar Ilahi. Kita bukan mengejar kejayaan hakiki itu untuk dikecapi kita seorang sahaja, tetapi untuk kita bersama.
Oleh yang demikian, ayuh!
Bersama kita mengejar redha Ilahi!