Tuesday, December 3, 2013

Warkah Buat Lepasan SPM.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.


Syabas dan tahniah kepada para pelajar yang baru sahaja usai menduduki SPM, semoga segala doa, usaha, ikhtiar dan tawakkal yang dilakukan selama ini akan menatijahkan suatu keputusan terbaik Mac nanti. Apapun jangan berhenti berdoa kepadaNya agar diberikan yang terbaik. Meskipun mungkin ada yang merasakan SPM baru-baru ini terlalu teruk dan sudah tidak ada harapan, jangan putus pengharapan pada Yang Maha Berkuasa, ingatlah janjiNya dalam surah Yasin, "kun fayakun".

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberikan sedikit nasihat kepada para lepasan SPM berdasarkan pengalaman saya yang telah merasai SPM kira-kira tiga tahun yang lalu. Namun begitu saya tidaklah berhasrat untuk secara langsung memberikan senarai aktiviti cadangan, sebaliknya pesanan secara umum sahaja.

Penulisan ini mungkin agak panjang namun saya rasakan ia bukanlah suatu masalah memandangkan cuti anda juga tidak kurang panjangnya.


Jangan jadi mayat hidup

Pertamanya benar, ini adalah tempoh berehat setelah sekian lama berhempas pulas, bersengkang mata serta bersusah payah sehingga menitiskan keringat dan air mata. Namun harus diingat, ia tidak bermaksud anda harus menjadi seperti 'mayat hidup', seolah-olah lupa tujuan hidup.

Setiap hari dalam masa beberapa bulan mendatang ini dihabiskan sekadar untuk terus bernyawa dan memuaskan nafsu sahaja, nafsu makan, nafsu tidur, nafsu berfoya-foya, nafsu bercinta monyet dan sebagainya, semisal insan yang pagan tidak beragama.

Saya faham gelora darah remaja yang baru sahaja dibebaskan daripada penjara SPM, baru sahaja secara rasminya bercerai dengan gelaran pelajar sekolah, adik-adik sudah tentu seakan ingin memuaskan hati dengan perkara-perkara yang terhalang dilakukan sebelum ini, daripada menyimpan rambut panjang ala artis K-POP bagi yang lelaki, sehinggalah melibatkan diri dengan gejala-gejala negatif seperti gengsterisme dan sebagainya.

Namun, harus diingat kita masih tetap seorang hamba kepadaNya, yang akan disoal di akhirat kelak bagaimana dihabiskan masa muda kita.

"Setiap hamba pada Hari Qiyamat tidak akan mengorak langkah menuju ke mana-mana selagi dia belum selesai disoal-siasat tentang empat perkara : Pertama : Tentang umurnya di manakah dihabiskan sewaktu di dunia dahulu? Kedua : Masa remajanya, bagaimana dia menghadapi ujian di waktu itu? Ketiga : Tentang harta, dari mana dia perolehi dan bagaimana dia membelanjakannya? Keempat : Tentang ilmunya, apakah dia telah beramal dengan ilmu itu?" (Hadis Riwayat Muaz bin Jabal r.a.)


Segarkan spiritual

Saya percaya, sangat banyak aktiviti yang boleh dilakukan untuk sentiasa kekal bugar dari sudut spiritual.

Antara perkara penting yang ingin saya ingatkan ialah jaga kualiti dan kuantiti ibadat. Melalui pengalaman saya, musim-musim peperiksaan seperti SPM ini, malah berlanjutan hingga ke zaman pendidikan tertiari juga, bertukar menjadi apa yang diistilahkan sebagai musim bertuhan dalam kalangan para pelajar.

Ketika musim-musim peperiksaan inilah keinsafan menyapa,  ibadat berlipat kali ganda, solat hajat 12 rakaat setiap malam, qiamullail juga tidak kurangnya, akhlak terpuji dan sebagainya. Namun tidak lama setelah peperiksaan itu berlalu, ibadat-ibadat itu terhakis dari aspek kuantiti dan juga kualiti. Betapa ruginya.

Jangan silap faham, saya tak kata menjadi alim ketika musim peperiksaan itu tidak bagus, ia bagus dan terpuji, tetapi kekalkanlah momentum itu meskipun setelah selesai menghadapi ujian. Jika pada saat ini kita tersedar telah hilangnya ikhlas kita dalam beribadat, tidak mengapa, masih belum terlambat, sucikan niat dan beribadatlah dengan lebih gigih. Seperti apa yang diingatkan oleh imam setiap kali sebelum bersolat, "Bersolatlah seperti ini adalah solat kamu yang terakhir".

Selain itu saya cadangkan para pelajar mula berjinak dengan buku-buku ilmiah jika belum bermula. Walaubagaimanapun, saya sangat tidak menggalakkan para pelajar membaca novel cinta, sebaliknya dekatkan diri dengan bahan-bahan bacaan yang dapat membina intelektual diri. Sebelum ini saya telah menakalkan satu entri khas yang bertajuk Jangan Salah Gunakan Minat Membaca (klik di sini) bagi memberikan pandangan saya tentang betapa pentingnya membaca bahan-bahan ilmiah.

Saya faham membaca pada hari ini bukanlah satu amalan yang diminati dalam kalangan pelajar, saya juga begitu, atau lebih tepat pernah begitu, tetapi pentingnya membaca itu tidak dapat diungkapkan. Tidak hairanlah kalam Allah yang pertama turun ke muka bumi ini ialah iqra'. Maka peruntukkanlah sebanyak mungkin masa anda dengan membaca bahan ilmiah untuk membentuk diri menjadi orang yang berilmu, kerana nikmatnya berilmu itu sungguh hebat, dan peritnya menjadi bodoh itu tidak terperi.

Usahlah disesakkan fikiran anda dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah seperti percintaan. Satu perkara yang berlaku pada diri saya sendiri ialah setelah tamat SPM saya merasakan diri saya telah matang, cukup dewasa, dan antara agenda utama yang difikirkan ialah cinta. Alangkah ruginya jika ada antara para pelajar yang terjerumus dengan kisah-kisah percintaan yang memabukkan, yang menghanyutkan diri ke suatu lembah yang boleh jadi terhina. 

Percayalah bercinta pada usia yang begitu muda sangat berisiko untuk merencatkan perkembangan intelektual seseorang pelajar. Anugerah akal yang begitu hebat disalahgunakan untuk memikirkan perkara-perkara yang lagha, fikiran para pelajar disempitkan dan banyak digunakan untuk memikirkan dan meratapi konflik-konflik yang timbul dalam percintaan atau dilambung angau tidak bertepi.

Suatu kerugian yang amat besar, anak muda yang sepatutnya menjadi pemikir-pemikir Islam jatuh terperosok dan sukar bangun kembali kerana akal fikiran sangat tumpul setelah sekian lama tidak diasah bahkan ditumpulkan pula.


Kekal aktif dan produktif

Saya yakin kebanyakan para pelajar bertukar menjadi sangat pasif dan tidak produktif setelah tamat katanya berperang dengan SPM terutamanya apabila kunjung tibanya musim tengkujuh. Itu juga suatu kerugian. Tempoh masa yang panjang sementara menunggu keputusan SPM dikeluarkan itu sepatutnya diisi dengan pelbagai aktiviti yang mendatangkan manfaat.

Satu perkara yang saya ingin tekankan ialah, lengkapkan diri dengan 'softskills' yang sangat penting kepada pembentukan insan yang seimbang, yang bisa menjadi seorang ahli masyarakat yang berguna. Cubalah cari ruang dan peluang untuk aktif berpersatuan, mengikuti khidmat-khidmat komuniti, menyertai misi-misi kemanusiaan dan aktivti-aktiviti lain yang bersifat kolektif. Melalui aktiviti sedemikian kemahiran-kemahiran seperti berkomunikasi, pengurusan persatuan, pengurusan masa dan sebagainya dapat diperoleh. Saya rasakan ramai antara kita yang telah maklum tentang kisah allahyarham Ahmad Ammar (klik di sini) yang telah meninggal di Turki baru-baru ini, lihatlah perjalanan hidup arwah, cubalah bandingkan dengan perjalanan hidup diri kita.

Jika tidakpun, cubalah cari satu pekerjaan yang boleh mendatangkan keuntungan dan kemahiran berguna. Dengan cara ini juga sebenarnya para pelajar dapat memperoleh kemahiran-kemahiran tertentu, tetapi ia sangat bergantung kepada jenis pekerjaan yang dipilih. Apapun saya tetap menggalakkan para pelajar untuk bekerja, ianya jauh lebih baik daripada terperap di dalam rumah seperti ular sawa kekenyanyan, cuma kalau boleh pilihlah pekerjaan yang mendedahkan diri anda dengan kemahiran-kemahiran berguna seperti berkomunikasi, pengurusan kewangan dan sebagainya.

Saya juga merasakan masa yang terluang itu sangat elok jika diperuntukkan secara berkualiti bersama keluarga tercinta. Lazimnya setelah melangkah ke alam universiti para pelajar akan menyedari masa untuk bersama keluarga tidak lagi semewah ketika zaman persekolahan. Jadi alangkah baiknya jika masa yang banyak terluang itu digunakan untuk berbakti kepada kedua ibu bapa, bercuti bersama keluarga ataupun menziarahi sanak-saudara yang jarang ditemui.

Khatimah

Saya menulis ini dengan harapan para pelajar lepasan SPM dapat berfikir dan merancang sesuatu yang bermanfaat sepanjang cuti panjang yang dinikmati. Tidak semestinya para pelajar mengikuti 100% apa yang saya sebutkan di atas, tetapi memadailah jika dengan penulisan ini, anda mempunyai suatu azam untuk menghabiskan cuti ini dengan bermanfaat. 

Saya telah melalui detik-detik yang sedang dilalui oleh para pelajar. Apa yang saya lakukan ketika selepas SPM dahulu, apabila direnungkan semula pada hari ini, ada yang saya sesali dan ada juga yang saya bersyukur. Ada yang masih boleh diperbaiki dan ada juga yang sudah tidak dapat diubah, apa yang pasti masa yang sedang berjalan tidak akan dapat diulang.