Tuesday, May 28, 2013

Jangan kerana bola, kita berpecah belah

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

Seputar PRU13 yang lalu, acap kali kita terdengar ajakan seumpama, 'jangan kerana politik, kita berpecah belah'. Kali ini, insyaAllah saya akan cuba nukilkan satu entri yang bermaudu' seiras ajakan itu iaitu, 'Jangan kerana bola, kita berpecah belah'.

Tanggal 28 Mei 2013 telah tersemat sebagai satu detik bersejarah dalam arena bola sepak negara. Bermula pada sebelah petangnya menyaksikan betapa dramatiknya El Clasico Malaysia yang menemukan Kelantan dan Terengganu di pusingan kedua separuh akhir Piala FA. Di sebalik kekalahan teruk Terengganu pada pusingan pertama, skuad Peteh hampir-hampir berjaya membuat kejutan kepada The Red Warriors ketika pusingan kedua dengan menjaringkan 4 gol sebelum berjaya di balas dengan 1 gol pada minit-minit terakhir oleh Kelantan untuk meneruskan kemaraan. Nyata Kelantan telah ditakdirkan untuk ke final, tahniah kepada skuad The Red Warriors! Gomo Klate Gomo!

Drama bola sepak untuk hari itu tidak berakhir di situ, sebelah malamnya keadaan lebih tegang ketika perlawanan separuh akhir yang menemukan Pahang dan Johor Darul Takzim. Saya tidak akan ulas apa yang berlaku sehingga membawa satu peristiwa yang buat julung kalinya terjadi dalam kancah bola sepak negara. Apa yang jelas, pada pagi ini rata-rata di laman-laman fb skuad Johor dan Pahang menjadi medan pertempuran komentar yang sangat membimbangkan.

Pertamanya saya ucapkan syabas dan tahniah kepada sebilangan besar peminat bola sepak tanah air yang dilihat semakin ghairah memberikan suntikan semangat kepada pasukan masing-masing kebelakangan ini. Saya kira ini perkembangan cukup sihat untuk sukan bola sepak negara. Dahulunya ada dakwaan mengatakan kualiti bola sepak negara kurang memuaskan kerana kurangnya sokongan peminat lalu pemain menjadi lesu. Hari ini, saya berani kata dakwaan itu sudah tidak terpakai sama sekali.

Ultras Harimau Malaya
Pun begitu, keghairahan kita dalam memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan kita masing-masing biarlah disulami kematangan. Kematangan itu pula mestilah disandarkan kepada Islam. Kerana apa sandarkan pada Islam? Apa kaitannya bola sepak dengan Islam?

Nah, jawapannya senang sahaja, kita orang Islam. Kita ini sebaik-baik umat dalam kalangan umat manusia. Jadi tunjukkanlah kehebatan kita sebagai umat terbaik dalam segenap aspek kehidupan termasuk bola sepak. Ingatlah pesan Allah SWT;

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (Al-Baqarah: 208)

Saya juga merupakan seorang peminat tegar bola sepak, saya faham keghairahan untuk melihat pasukan kesayangan kita berada di puncak dalam setiap pertandingan. Tetapi matanglah, buktikan pada masyarakat yang mempunyai persepsi 'peminat bola sepak tak makan saman' itu salah.

Cuba kita lihat di Eropah, peminat bola sepak mereka mempunyai keghairahan yang cukup mengkagumkan juga, terutamanya di Liga Perdana Inggeris. Tetapi cuba perhatikan mereka, betapa matangnya mereka dalam menterjemahkan rasa sayang mereka kepada pasukan masing-masing. Janganlah kita sebaik-baik umat ini menjadi lebih teruk daripada mereka.

Penyokong kelab Borussia Dortmund
Sungguh-sungguh terkilan di hati kecil saya ini melihatkan kita sesama Islam sungguh rancak memuntahkan sumpah seranah kepada saudara kita hanya kerana tidak berpuas hati antara satu sama lain. Ingatlah ianya cuma bola sepak, ianya cuma sukan. Menang dan kalah itu resmi pertandingan. Jangan sesekali kita memulakan provokasi dengan menyentuh isu-isu sensitif. Jika dilihat ada pihak lain yang memulakannya pula, jangan kita terikut menari di atas bara kebencian yang dinyalakan syaitan!

Betapa sedihnya Rasulullah SAW jika mengetahui umat kesayangan Baginda mencerca satu sama lain hanya kerana bola sepak sedangkan betapa banyaknya tanggungjawab kita sebagai orang Islam yang masih tertangguh.

Jika anda membaca penulisan saya ini, fahamilah apa yang saya cuba sampaikan ialah, jangan kita bergaduh kerana bola sepak, jangan kita menyumpah seranah kepada saudara kita hanya kerana bola sepak, jangan kita berpecah belah hanya kerana bola sepak, jangan kerana bola sepak, buku catatan sebelah kiri kita padat tertulis. Saya impikan suasana harmoni dalam kancah bola sepak negara dengan prestasi pasukan tempatan dan pasukan kebangsaan kita terus terpacu jaya.

Ayuh seluruh peminat bola sepak negara, marilah menjadi matang! Jangan kerana bola sepak, kita semua berpecah belah!

Majulah sukan bola sepak negara!

Bersama mengejar redha Ilahi.


No comments:

Post a Comment