Tuesday, March 26, 2013

Gerrymandering Percaturan Licik

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

Saya rasa terpanggil untuk memahamkan sahabat-sahabat saya tentang proses Gerrymandering ini atas dasar saya rasa kita semua perlu tahu apa yang diperlakukan kepada kita selama ini oleh kerajaan pemerintah negara kita, selain korupsi dan kemaksiatan lainnya yang begitu zahir pada pandangan.


Gerrymandering

Gerrymandering merupakan suatu proses dalam pilihanraya yang biasanya dipraktikkan bagi kepentingan sesetengah parti. Ianya ialah tindakan memanipulasi sempadan daerah dalam pilihanraya di mana jika di Malaysia, bolehlah kita rujuk kepada persempadanan semula parlimen. Di Malaysia, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) boleh melakukan pembetulan persempadanan parlimen dalam durasi lapan tahun sekali, dengan keizinan parti pemerintah. Kali terakhir negara kita melalui proses persempadanan semula pilihanraya ini ialah pada tahun 2003 iaitu 10 tahun yang lalu. Untuk makluman negara kita pada hari ini mempunyai 222 kerusi parlimen.


Pemerintah rakus

Menyelusuri sejarah politik negara, pada tahun 1999 berlaku Reformasi 1999 di mana Parti Islam Semalaysia (PAS) berijtihad untuk bertahaluf dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat(PKR) serta Parti Rakyat Malaysia(PRM) bagi membentuk Barisan Alternatif. Namun ketika itu, DAP masih terlalu jauh daripada Islam, masih belum kenal Islam dan tidak dapat menerima ketegasan PAS untuk mewujudkan negara Islam. Umpama pasangan suami isteri yang belum matang, akhirnya badai melanda Barisan Alternatif dan pada 21 September 2001 DAP mengumumkan pengunduran diri daripada BA. Maka pada PRU11 itu, Barisan Nasional (BN) menang dengan sejarah paling gemilang kerana faktor perpecahan pakatan untuk menumbangkan mereka ketika itu (Barisan Alternatif).

Dalam masa yang sama, kemenangan bersejarah BN itu tidak diraih dengan mudah.

Pada tahun 2003, BN telah mempraktikkan gerrymandering dengan mengarahkan SPR mempersempadankan semula parlimen. Ketika itulah berlaku penambahan kepada kerusi parlimen yang dikuasai BN. Paling ketara kawasan majoriti  penduduknya bukan Islam dipecahkan kepada beberapa parlimen sehingga bertambahnya kerusi MCA dan MIC yang merupakan parti komponen BN. BN sedar kaum bukan Islam ketika itu hanya bergantung kepada MCA, MIC dan parti-parti komponen lain di Malaysia Timur sahaja. Inilah sebenarnya punca mengapa kerusi Melayu dilihat semakin berkurang pada hari ini di parlimen. Ianya angkara pemerintah rakus yang ingin mengekalkan pemerintahan dengan menambah kerusi parlimen di kubu-kubu kuat mereka seperti di negeri Johor, Sabah dan Sarawak.

Dalam masa yang sama, di kawasan majoriti Melayu Islam seperti Kelantan dan Terengganu tidak pula merasai persempadanan semula itu. Hasilnya meskipun Melayu Islam merupakan majoriti di dua buah negeri itu tetapi kerusi mereka di perlimen amat sedikit.

Dek kerana kerusi parlimen yang terhad, satu-satu parlimen di dua buah negeri itu mengandungi bilangan pengundi luar tabie sehingga 90,000 pengundi dan ada yang mencecah 100,000 pengundi. Sepatutnya parlimen-parlimen besar ini juga disempadankan semula agar mengandungi lebih kurang 50,000 pengundi sahaja(purata pengundi untuk parlimen di Malaysia). Maka dengan itu bertambahlah bilangan kerusi parlimen yang mewakili negeri-negeri majoriti Melayu Islam ini. Dalam masa yang sama, kerusi di kubu kuat BN pula, ditambah dengan mendadak, sehingga satu-satu perlimen ada yang hanya mengandungi 10,000 pengundi sahaja seperti yang berlaku di Malaysia Timur.

Inilah yang membantu kemenangan mereka sebenarnya. Mereka mewujudkan 'kerusi haram' di parlimen. Ya, gerrymandering sebenarnya telahpun diharamkan di kebanyakan negara di dunia. Maka PRU11 BN telah mengecapi kemenangan yang gemilang dengan menguasai sebilangan besar kerusi parlimen.


PAS, PKR, DAP bangkit

Usai PRU11, PAS, DAP dan PKR duduk semeja berbincang. Akhirnya ketiga-tiga parti bersetuju untuk berkerjasam menumbangkan kezaliman ini. PAS berijtihad untuk bertahaluf siyasi melalui keputusan majlis syura ulama PAS. 

Hasilnya terus dapat dituai semasa PRU12 tahun 2008. Buat kali pertama BN kehilangan 2/3 penguasaan parlimen.

Kerusi UMNO sebanyak 109 kerusi pada PRU11 jatuh kepada 77 kerusi sahaja. Dalam masa yang sama kerusi PAS dan PKR yang merupakan Melayu Islam, meningkat daripada 4 kerusi semasa PRU11 kepada 44 kerusi dalam PRU12.

Lebih mengejutkan, DAP lebih menjadi pilihan berbanding MIC dan MCA ketika itu. Lantaran inilah, meskipun 10 tahun telah berlalu semenjak kali terakhir persempadanan semula dilakukan, BN tidak lagi berani melakukannya kerana pengundi bukan Islam juga sudah beralih kepada DAP yang merupakan parti komponen PR. Sepatutnya BN sebagai parti pemerintah boleh sahaja mengarahkan SPR untuk melakukan persempadanan semula parlimen memandangkan durasi 8 tahun telahpun berlalu, iaitu tempoh masa yang dibenarkan untuk setiap persempadanan semula.


Sentimen Perkauman

Bermula detik inilah UMNO mula memainkan melodi perkauman semula dengan mengajak PAS bersatu atas dasar Melayu dan Islam. Matlamat utamanya ialah untuk mengeluarkan PAS daripada PR yang dilihat bakal menjadi ancaman besar pada PRU akan datang.

Bermula detik itu jugalah wujud NGO-NGO yang memainkan sentimen perkauman. Mengajak orang Melayu bersatu atas dasar perkauman, demi Islam katanya. Sedangkan Islam itu bukanlah eksklusif untuk orang Melayu sahaja. Mereka sedar orang Melayu lebih sensitif apabila isu sebegini disentuh berbanding fakta-fakta yang dikemukakan.


Mengembalikan Kuasa Melayu

Jadi jika benar ada pihak yang sungguh-sungguh inginkan kuasa Melayu Islam benar-benar berdaulat di negara kita, ataupun menggunakan istilah mendapat syaukah yang sewajarnya, pendapat saya melalui apa yang telah berlaku, kita perlu beri sokongan kepada PR. Kenapa?

Jawapannya kerana dengan itu, kita akan membuka peluang yang lebih cerah kepada PR untuk berarak ke Putrajaya. Apa kaitannya dengan mengembalikan kuasa Melayu? Sebagai parti pemerintah, PR akan menggunakan kuasa untuk mempersempadankan semula kawasan parlimen mengikut agihan yang lebih adil.

Penambahan kerusi parlimen di kawasan majoriti Melayu Islam semestinya seperti di Kelantan, Terengganu dan Selangor. Secara purata, satu-satu kawasan parlimen wajar mengandungi 50,000 pengundi. Jika ini dilaksanakan, tentunya menambahkan bilangan kerusi Melayu Islam di parlimen kerana sememangnya 60% daripada komposisi rakyat Malaysia ialah Melayu.

Tetapi persempadanan semula parlimen ini hanyalah dapat dilakukan oleh PR jika diberi amanat sebagai kerajaan Malaysia. Itupun ianya hanya dapat dilakukan pada PRU14 kelak kerana PRU13 ini pecahan kawasan parlimennya masih mengikut persempadanan parlimen 10 tahun yang lalu.



Khatimah

Saya cuma menyuarakan sedikit ketidakseimbangan dalam menggunakan kuasa oleh pemerintah sehingga pada hemat saya suara Melayu Islam yang pernah dihakis oleh pihak tidak bertanggungjawab berpeluang untuk dikembalikan semula. Saya orang Melayu, saya juga Islam, kedua-duanya saya sayang. Islam itu agama saya, Melayu itu bangsa saya dan nenek moyang saya. Ajakan saya, kita nilaikan dengan mata hati dan kita buat keputusan yang tidak mendatangkan kecelakaan kepada kita di dunia ini dan di akhirat kelak.

Bersama mengejar redha Ilahi.



Monday, March 25, 2013

Politik Itu Perlu

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

InsyaAllah kali ini saya akan berbicara sedikit sebanyak tentang politik. Saya sedar hari ini ramai golongan syabab atau generasi muda ini tidak menggemari politik, saya harap pada suatu saat nanti persepsi itu dapat diperbetul kerana politik itu suatu cabang dalam kesyumulan Islam.

"Pada hari ini telah Kusempurnakan untukmu agamamu, & telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu & telah Kuredhai Islam itu sebagai agamamu." (Al Maidah 3)

Bertolt Brecht yang merupakan seorang penyair German pernah melontarkan bait-bait yang berbunyi:

"Orang buta yang paling teruk ialah buta politik. Dia pekak, tak nampak dan tidak mengambil bahagian dalam dunia politik. Dia seolah-oleh tidak mahu peduli mengenai kos hidup, harga bijirin, harga tepung, kos sewaan, kos perubatan, sedangkan semuanya bergantung kepada keputusan politik. Dia syok sendiri dengan sikapnya yang tidak mempedulikan politik, dan megah mengatakan dia benci politik. Dia tidak tahu kedunguan daripada sikap berkecualinya itu penyumbang kepada pelacuran, pengabaian kanak-kanak, kecurian dan yang paling teruk sekali menyumbang kepada korupsi kerajaan dan eksploitasi agensi kerajaan."

Hayati pula kalam daripada Dr. Yusuf AlQardhawi ini:


Tidak dilupakan, politik juga merupakan sunnah Rasulullah SAW. Bahkan bagindalah merupakan ahli politik paling hebat dalam sejarah ketamadunan manusia.

Tuntasnya, bagi saya politik itu perlu dalam kehidupan umatIslam. Saya memahami betapa ramai yang tidak sukakan politik lantaran imej negatif yang dipalitkan kepada politik oleh sesetengah politikus. Namun harapnya suatu hari nanti kita semua sedar dan menjadi tenaga kepada Islam dalam segenap aspek termasuk politik ini. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan sekular yang menafikan Islam daripada politik.

Bersama mengejar redha Ilahi.



Puisi Cinta As-Syahid Sayyid Qutb

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

InsyaAllah kali ini saya akan berkongsi puisi cinta As-Syahid Sayyid Qutb. Hayatilah nukilan ini. Semoga cinta kita kepada Allah senantiasa subur dalam kita mencintai makhluknya.

As-Syahid Sayyid Qutb

Ya Allah, jika aku jatuh cinta,
cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya pada-Mu,
agar bertambah kekuatan ku untuk mencintai-Mu.
Ya Muhaimin, jika aku jatuh cinta,
jagalah cintaku padanya agar tidak melebihi cintaku pada-Mu
Ya Allah, jika aku jatuh hati,
izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut pada-Mu,
agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta semu.
Ya Rabbana, jika aku jatuh hati,
jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling pada hati-Mu.
Ya Rabbul Izzati, jika aku rindu,
rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid di jalan-Mu.
Ya Allah, jika aku rindu,
jagalah rinduku padanya agar tidak lalai aku merindukan syurga-Mu.
Ya Allah, jika aku menikmati cinta kekasih-Mu,
janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirmu.
Ya Allah, jika aku jatuh hati pada kekasih-Mu,
jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepada-Mu.
Ya Allah, jika Kau halalkan aku merindui kekasih-Mu,
jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepada-Mu.
Ya Allah Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berhimpun dalam cinta pada-Mu,
telah berjumpa pada taat pada-Mu,
telah bersatu dalam dakwah pada-MU,
telah berpadu dalam membela syariat-Mu.
Kukuhkanlah Ya Allah ikatannya.
Kekalkanlah cintanya.
Tunjukilah jalan-jalannya.
Penuhilah hati-hati ini dengan Nur-Mu yang tiada pernah pudar.
Lapangkanlah dada-dada kami dengan limpahan keimanan kepada-Mu dan keindahan bertawakal di jalan-Mu.

(As-Syahid Sayyid Qutb)


Thursday, March 21, 2013

Jangan Salah Gunakan Minat Membaca.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

Alhamdulillah pada pagi Jumaat ini saya berkesempatan untuk menukilkan satu lagi entri setelah lama benar kaku blog ini lantaran timbul sedikit masalah dengan sambungan internet di tempat saya. InsyaAllah kali ini saya akan cuba bincangkan sedikit sebanyak tentang minat membaca.

Sebagai umat Islam, kita sebenarnya tiada alasan untuk malas membaca. Hal ini kerana perintah membaca itu sendiri merupakan suatu tuntutan dalam Islam bahkan perintah itu merupakan yang pertama diterima oleh Rasullullah SAW.

Pun begitu saya sendiri pun, saya akui, merupakan individu yang sangat-sangat malas membaca. Secara jujur, minat saya untuk membaca hanyalah benar-benar saya pupuk setelah tamat zaman persekolahan. Semasa zaman persekolahan, saya gagal menghabiskan walaupun sebuah buku dalam masa setahun. Alhamdulillah kini, pintu hati saya diketuk barangkali oleh Allah, melalui insan-insan sekeliling, saya sudah banyak berubah dari segi minat membaca. Walaubagaimanapun saya tahu, minat membaca saya ini amat terhad, jadi saya gunakan minat saya itu seoptimumnya untuk membaca bahan-bahan bacaan yang bermanfaat, dan saya minimumkan bahan bacaan yang tidak berfaedah, kerana saya rasakan itu membazir minat membaca saya.

InsyaAllah inilah yang saya ingin bicarakan kali ini.

Saya dikelilingi ramai teman yang mempunyai minat membaca yang luar biasa. Betapa saya cemburu, jika sahaja saya juga mempunyai minat yang begitu mendalam, pasti saya akan membaca sekerap mungkin kerana melalui pembacaan maha banyak ilmu yang dapat diperolehi. 

Namun, saya berasa sedikit terkilan tatkala melihat berlakunya fenomena, terutamanya kepada remaja, mereka seringkali membaca, tetapi bahan bacaan mereka itu kurang berfaedah. Alangkah ruginya.


Saya terbayang-bayang, jika sahaja beberapa buah komik yang berjaya dihabiskan dalam masa sebulan itu ditukarkan kepada buku-buku ilmiah, jika sahaja beberapa buah novel cinta yang mampu dikhatam dalam masa sebulan itu ditukarkan kepada buku-buku akademik, betapa banyaknya ilmu dapat diisi ke dalam dada para pencinta membaca ini.

Saya tahu, dengan membaca novel cinta dan sesetengah buku hiburan juga, pelbagai skil kendiri dapat ditajamkan. Bahkan itu jauhlah lebih baik daripada membazirkan masa berfoya-foya di alam maya mahupun di alam nyata, tetapi yang saya ingin sampaikan, alangkah baiknya jika minat anda untuk membaca digunakan untuk membaca buku-buku yang mengandungi lapangan ilmu yang lebih luas yang dapat diperolehi secara lebih direct. Saya kongsikan di sini satu dalil masyhur daripada ratusan dalil yang lain tentang betapa pentingnya ilmu pengetahuan;

“Allah telah mengangkat orang-orang yang beriman dari golongan kamu, dan begitu pula orang-orang yang dikurniai ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (al-Mujadalah: 11)

Saya cuba untuk menyedarkan teman-teman, lebih-lebih lagi diri saya sendiri, betapa membaca itu penting untuk mendapatkan sebanyak mungkin ilmu. Tidaklah saya cuba membunuh terus minat membaca yang sudah anda miliki, tetapi berbekalkan minat yang sedia ada, ayuh kita cuba dekati penulisan-penulisan kerohanian dan keagamaan, itulah ajakan pokok saya dalam entri kali ini.

Bagi yang masih jauh daripada aktiviti membaca, seumpama diri saya ini suatu masa dahulu, cuba-cubalah suburkan minat membaca.

Bagi yang sudah menjadi rutin membaca bahan-bahan ilmiah, saya tabik hormat kepada anda, saya akan sentiasa mencuba menjadi seperti anda.

Bagi yang gemar membaca bahan-bahan bacaan kurang berfaedah, nah inilah masanya untuk guna minat kita itu dengan mengubah diri menjadi seorang ilmuan. Mudah-mudahan.

Friday, March 15, 2013

Suara Merdu Seorang Budak Jerteh, Besut

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

Petang jumaat ini sedang saya meninjau-ninjau di laman muka buku tiba-tiba terserempak dengan video bertajuk,"Suara Merdu Seorang Budak Jerteh, Besut" yang dikongsikan seorang sahabat. Jerteh ini tempat lahir saya, sudah tentu saya tertarik untuk menontonnya.


Setelah menontonnya saya terkejut besar apabila mendapati wajah budak lelaki itu kelihatan saling tak tumpah seperti salah seorang sepupu sebelah ayah saya. Saya memerhatikan dengan teliti, saya rasa itu memang Muhammad, sepupu saya. Saya terus memanggil ibu dan adik saya untuk mengesahkan, lantas mereka mengesahkan yang itu memang Muhammad.

Muhammad
Untuk makluman Muhammad yang merupakan anak ke 10 daripada 12 orang adik beradik ini tinggal di Kg. Hutan Nangka, Besut. Ayah Muhammad yang dikenali Abg Ya, merupakan seorang penternak lembu berjaya selain mengusahakan beberapa petak bendang di kampung saya ini. Ibu Muhammad pula merupakan seorang suri rumah sepenuh masa. Kini Muhammad sedang belajar di Maahad Tahfiz Matlain Badrin, Besut.

Sedikit info juga, beberapa tahun yang lalu, keluarga kami digemparkan dengan berita memilukan apabila abang sulong Muhammad telah mati dibunuh dengan kejam. Saya mengenali arwah dengan cukup akrab, sering tidur bersama makan bersama, seluruh penduduk kampung terkesan dengan pemergian arwah kerana arwah cukup indah akhlaknya. Arwah merupakan seorang senior di sebuah pondok pengajian agama di Pasir Mas di Kelantan dan di situlah mayat arwah ditemui. Saya tidak berhasrat untuk bercerita panjang tentang ini, cukuplah jika kita sudikan diri untuk sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah.

Baiklah, apa pun sama-sama kita hayati alunan suara Muhammad ini. Mana tahu jika-jika dapat menyentuh hati-hati yang masih membatu.(^_^)


Friday, March 8, 2013

Muslim Zalim VS Kafir Adil

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

Pertama sekali saya ingin memohon kemaafan jika anda rasakan tajuk entri ini sedikit tidak sesuai atau mungkin tidak beradab. Saya sudah memikirkannya dan saya tetap meneruskan hasrat di hati kecil ini untuk menamakan entri ini sedemikian. Hal ini kerana ia bersesuaian dengan konteks yang akan dikongsikan dalam entri kali ini. InsyaAllah.

Baru-baru ini saya ada berkongsi kupasan oleh Ustaz Wan Ji At-Ta'aduddi tentang persoalan mengundi calon non muslim semasa pilihanraya. Jika anda belum membacanya, anda mungkin berminat untuk berbuat demikian, anda cuma perlu klik ke link ini, Persoalan Undi Calon Non Muslim.

Jadi kali ini saya akan berkongsi pula nukilan Ustaz Muhammad Noorazam Bin Bahador tentang ruang lingkup perbincangan yang masih sama iaitu tentang mengundi calon non muslim. Cuma coretan Ustaz Muhammad Noorazam ini lebih berfokus kepada pandangan oleh Al-Imam Ibnu Taimiyyah Rahimahullah dalam memilih calon untuk diundi apabila munculnya pertembungan muslim yang zalim dan kafir yang adil.

Saya cedok penulisan oleh Ustaz Muhammad Noorazam 100% tanpa sebarang pengubahsuaian bagi mengelakkan kesalahan fakta. Sama-sama kita renungkan.


PEMILIHAN PEMERINTAH MENURUT AL-IMAM IBNU TAIMIYYAH RAHIMAHULLAH DALAM SITUASI BERTEMBUNG ANTARA MUSLIM YANG ZALIM DAN KAFIR YANG ADIL :

Fadhilatus Syaikh Ali Jum'ah Hafizahullah ketika membincangkan susunan Maqasid Syariah yang 5 dalam kitab beliau "Al-Madkhal Ila Dirasah Mazahib Al-Fiqhiyyah" - telah menyebutkan dan mengulas pandangan Imam Ibnu Taimiyyah Rahimahullah dalam persoalan Pemerintahan :

"Ibnu Taimiyyah Rahimahullah mengutamakan Kafir yang Adil dalam pemerintahan berbanding Muslim yang Zalim dalam pemerintahan dari sudut mengimarahkan (mengurus dan mentadbir) dunia. Ini kerana KEADILAN ADALAH ASAS PEMERINTAHAN.

Ibnu Taimiyyah Rahimahullah mentarjihkan (mengutamakan) perkara ini atas asas : Kafir yang Adil telah menepati Nilai Ketamadunan Islam dalam persoalan ini(pemerintahan),sekalipun dari sudut agamanya dia berbeza dengan Islam.

Ianya adalah kerana asas tegaknya Tamadun Islam itu adalah KEADILAN. Yang mana dengan keadilan inilah tertegak dan terpeliharanya Nyawa,Aqal,Keturunan,Harta Benda, yang menjadikan tertegaknya urusan dunia ini disebabkannya,manakala kezaliman pula akan menghancurkan perkara-perkara tersebut.

Seorang Muslim pula,walaupun dia terikat hubungannya dengan Agama (Islam),akan tetapi dalam keadaan ZALIMnya tadi,dia akan menghancur dan menghapuskan nilai-nilai yang terbina di atas Maqasid-Maqsid yang lain yang diperlukan untuk menegakkan Ibadah dan Imarah,dan ini tidak akan membawa kepada tercapainya matlamat di dalam realiti kehidupan.

Dari sudut inilah difahami dan diletakkan pandangan Ibnu Taimiyyah Rahimahullah."

[Al-Madkhal Ila Dirasah Al-Mazahib Al-Fiqhiyyah - Darus Salam m/s 319]

p/s :

Perbahasan Fiqh Islami terhadap persoalan melantik non-muslim memegang tanggungjawab pemerintahan bukanlah baru.
Ada Fuqaha' yang menghalang dan ada yang membenarkan.

Tugas Sarjana Ummah semasa terutama di Negara kita adalah untuk mengambil faedah dari pandangan Fuqaha' terdahulu dan meneliti pandangan manakah yang bersesuaian dengan realiti dan maslahah negara.

Yang tidak patut berlaku ialah - menafikan pandangan yang tidak sehaluan secara mutlak,dan menganggapnya sebagai tidak bertepatan dengan Islam.

Wallahu'alam.

Friday, March 1, 2013

Penjenamaan Semula Blog

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

InsyaAllah entri kali ini ialah buat memperingati bahawa pada hari ini, tanggal 01/03/2013, blog ini telah ditukar namanya dari BudakBaruBelajar kepada Tinta Syabab.

Header blog sebelum ini

Semenjak pertama kali ditubuhkan dahulu, blog ini telah melalui pelbagai pengubahsuaian. Meskipun begitu, inilah buat julung kalinya blog ini dijenamakan semula.

Sedikit penerangan, 'Tinta' bermaksud dakwat manakala 'Syabab' pula bermaksud generasi muda. Secara dasarnya, penjenamaan semula ini tidaklah bercanggah dengan nama asal blog ini iaitu BudakBaruBelajar, yang juga berkait rapat dengan generasi muda.

Saya juga sengaja tidak memadamkan entri-entri lama di blog ini, entri-entri yang mana jelas menggambarkan ketidakmatangan saya. Saya sengaja biarkannya agar jika ada yang membaca entri-entri berkenaan, biar mereka tahu bahawa saya bermula sebagai seorang blogger yang tiada kesedaran tentang tanggungjawab menegakkan kalimah lailahaillallah. Namun kini alhamdulillah saya mula merangkak perlahan-lahan ke arah yang lebih baik mudah-mudahan. Jadi saya kira mungkin para blogger lain juga boleh mulakannya dengan cara yang tersendiri.

InsyaAllah saya akan cuba beristiqomah dalam usaha saya untuk menjadikan blog ini sebagai suatu medium dakwah dari semasa ke semasa. Saya berharap pelawat-pelawat blog ini akan mendapat sesuatu setelah menelaah entri-entri di sini. Saya juga menghargai sebarang komen atau teguran atas apa-apa kekhilafan yang timbul.

Mudah-mudahan usaha yang kecil ini menjadi tabung-tabungan saya untuk menampung keperluan ukhrawi kelak.

Bersama mengejar redha Ilahi.