Tuesday, March 26, 2013

Gerrymandering Percaturan Licik

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

Saya rasa terpanggil untuk memahamkan sahabat-sahabat saya tentang proses Gerrymandering ini atas dasar saya rasa kita semua perlu tahu apa yang diperlakukan kepada kita selama ini oleh kerajaan pemerintah negara kita, selain korupsi dan kemaksiatan lainnya yang begitu zahir pada pandangan.


Gerrymandering

Gerrymandering merupakan suatu proses dalam pilihanraya yang biasanya dipraktikkan bagi kepentingan sesetengah parti. Ianya ialah tindakan memanipulasi sempadan daerah dalam pilihanraya di mana jika di Malaysia, bolehlah kita rujuk kepada persempadanan semula parlimen. Di Malaysia, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) boleh melakukan pembetulan persempadanan parlimen dalam durasi lapan tahun sekali, dengan keizinan parti pemerintah. Kali terakhir negara kita melalui proses persempadanan semula pilihanraya ini ialah pada tahun 2003 iaitu 10 tahun yang lalu. Untuk makluman negara kita pada hari ini mempunyai 222 kerusi parlimen.


Pemerintah rakus

Menyelusuri sejarah politik negara, pada tahun 1999 berlaku Reformasi 1999 di mana Parti Islam Semalaysia (PAS) berijtihad untuk bertahaluf dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat(PKR) serta Parti Rakyat Malaysia(PRM) bagi membentuk Barisan Alternatif. Namun ketika itu, DAP masih terlalu jauh daripada Islam, masih belum kenal Islam dan tidak dapat menerima ketegasan PAS untuk mewujudkan negara Islam. Umpama pasangan suami isteri yang belum matang, akhirnya badai melanda Barisan Alternatif dan pada 21 September 2001 DAP mengumumkan pengunduran diri daripada BA. Maka pada PRU11 itu, Barisan Nasional (BN) menang dengan sejarah paling gemilang kerana faktor perpecahan pakatan untuk menumbangkan mereka ketika itu (Barisan Alternatif).

Dalam masa yang sama, kemenangan bersejarah BN itu tidak diraih dengan mudah.

Pada tahun 2003, BN telah mempraktikkan gerrymandering dengan mengarahkan SPR mempersempadankan semula parlimen. Ketika itulah berlaku penambahan kepada kerusi parlimen yang dikuasai BN. Paling ketara kawasan majoriti  penduduknya bukan Islam dipecahkan kepada beberapa parlimen sehingga bertambahnya kerusi MCA dan MIC yang merupakan parti komponen BN. BN sedar kaum bukan Islam ketika itu hanya bergantung kepada MCA, MIC dan parti-parti komponen lain di Malaysia Timur sahaja. Inilah sebenarnya punca mengapa kerusi Melayu dilihat semakin berkurang pada hari ini di parlimen. Ianya angkara pemerintah rakus yang ingin mengekalkan pemerintahan dengan menambah kerusi parlimen di kubu-kubu kuat mereka seperti di negeri Johor, Sabah dan Sarawak.

Dalam masa yang sama, di kawasan majoriti Melayu Islam seperti Kelantan dan Terengganu tidak pula merasai persempadanan semula itu. Hasilnya meskipun Melayu Islam merupakan majoriti di dua buah negeri itu tetapi kerusi mereka di perlimen amat sedikit.

Dek kerana kerusi parlimen yang terhad, satu-satu parlimen di dua buah negeri itu mengandungi bilangan pengundi luar tabie sehingga 90,000 pengundi dan ada yang mencecah 100,000 pengundi. Sepatutnya parlimen-parlimen besar ini juga disempadankan semula agar mengandungi lebih kurang 50,000 pengundi sahaja(purata pengundi untuk parlimen di Malaysia). Maka dengan itu bertambahlah bilangan kerusi parlimen yang mewakili negeri-negeri majoriti Melayu Islam ini. Dalam masa yang sama, kerusi di kubu kuat BN pula, ditambah dengan mendadak, sehingga satu-satu perlimen ada yang hanya mengandungi 10,000 pengundi sahaja seperti yang berlaku di Malaysia Timur.

Inilah yang membantu kemenangan mereka sebenarnya. Mereka mewujudkan 'kerusi haram' di parlimen. Ya, gerrymandering sebenarnya telahpun diharamkan di kebanyakan negara di dunia. Maka PRU11 BN telah mengecapi kemenangan yang gemilang dengan menguasai sebilangan besar kerusi parlimen.


PAS, PKR, DAP bangkit

Usai PRU11, PAS, DAP dan PKR duduk semeja berbincang. Akhirnya ketiga-tiga parti bersetuju untuk berkerjasam menumbangkan kezaliman ini. PAS berijtihad untuk bertahaluf siyasi melalui keputusan majlis syura ulama PAS. 

Hasilnya terus dapat dituai semasa PRU12 tahun 2008. Buat kali pertama BN kehilangan 2/3 penguasaan parlimen.

Kerusi UMNO sebanyak 109 kerusi pada PRU11 jatuh kepada 77 kerusi sahaja. Dalam masa yang sama kerusi PAS dan PKR yang merupakan Melayu Islam, meningkat daripada 4 kerusi semasa PRU11 kepada 44 kerusi dalam PRU12.

Lebih mengejutkan, DAP lebih menjadi pilihan berbanding MIC dan MCA ketika itu. Lantaran inilah, meskipun 10 tahun telah berlalu semenjak kali terakhir persempadanan semula dilakukan, BN tidak lagi berani melakukannya kerana pengundi bukan Islam juga sudah beralih kepada DAP yang merupakan parti komponen PR. Sepatutnya BN sebagai parti pemerintah boleh sahaja mengarahkan SPR untuk melakukan persempadanan semula parlimen memandangkan durasi 8 tahun telahpun berlalu, iaitu tempoh masa yang dibenarkan untuk setiap persempadanan semula.


Sentimen Perkauman

Bermula detik inilah UMNO mula memainkan melodi perkauman semula dengan mengajak PAS bersatu atas dasar Melayu dan Islam. Matlamat utamanya ialah untuk mengeluarkan PAS daripada PR yang dilihat bakal menjadi ancaman besar pada PRU akan datang.

Bermula detik itu jugalah wujud NGO-NGO yang memainkan sentimen perkauman. Mengajak orang Melayu bersatu atas dasar perkauman, demi Islam katanya. Sedangkan Islam itu bukanlah eksklusif untuk orang Melayu sahaja. Mereka sedar orang Melayu lebih sensitif apabila isu sebegini disentuh berbanding fakta-fakta yang dikemukakan.


Mengembalikan Kuasa Melayu

Jadi jika benar ada pihak yang sungguh-sungguh inginkan kuasa Melayu Islam benar-benar berdaulat di negara kita, ataupun menggunakan istilah mendapat syaukah yang sewajarnya, pendapat saya melalui apa yang telah berlaku, kita perlu beri sokongan kepada PR. Kenapa?

Jawapannya kerana dengan itu, kita akan membuka peluang yang lebih cerah kepada PR untuk berarak ke Putrajaya. Apa kaitannya dengan mengembalikan kuasa Melayu? Sebagai parti pemerintah, PR akan menggunakan kuasa untuk mempersempadankan semula kawasan parlimen mengikut agihan yang lebih adil.

Penambahan kerusi parlimen di kawasan majoriti Melayu Islam semestinya seperti di Kelantan, Terengganu dan Selangor. Secara purata, satu-satu kawasan parlimen wajar mengandungi 50,000 pengundi. Jika ini dilaksanakan, tentunya menambahkan bilangan kerusi Melayu Islam di parlimen kerana sememangnya 60% daripada komposisi rakyat Malaysia ialah Melayu.

Tetapi persempadanan semula parlimen ini hanyalah dapat dilakukan oleh PR jika diberi amanat sebagai kerajaan Malaysia. Itupun ianya hanya dapat dilakukan pada PRU14 kelak kerana PRU13 ini pecahan kawasan parlimennya masih mengikut persempadanan parlimen 10 tahun yang lalu.



Khatimah

Saya cuma menyuarakan sedikit ketidakseimbangan dalam menggunakan kuasa oleh pemerintah sehingga pada hemat saya suara Melayu Islam yang pernah dihakis oleh pihak tidak bertanggungjawab berpeluang untuk dikembalikan semula. Saya orang Melayu, saya juga Islam, kedua-duanya saya sayang. Islam itu agama saya, Melayu itu bangsa saya dan nenek moyang saya. Ajakan saya, kita nilaikan dengan mata hati dan kita buat keputusan yang tidak mendatangkan kecelakaan kepada kita di dunia ini dan di akhirat kelak.

Bersama mengejar redha Ilahi.



3 comments:

  1. Ikot perlembagaan Malaysia: Melayu adalah Islam..

    Situasi sebenar: Islam bukan hanya untuk Melayu, tapi Islam untuk semua.. walaupun ade pihak mengatakan bahawa kebanyakan umat Islam di Malaysia adalah dari kalangan Melayu dan apabila melayu dijaga, Islam secara automatiknya dijaga jugak, namun tindakan tu akan menyebabkan pemikiran kita terhadap Islam semakin sempit..

    sekali lagi ditegaskan, Islam untuk semua.. with that, I rest my case.. hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Fahaman sempit bahawa Islam hanya utk Melayu juga membawa kesan yg lebih teruk iaitu menambahkan lagi jurang antara nonmuslims dan muslim di Malaysia. Sepatutnya dakwah dilebarkan kepada mereka ini dan bukannya berterusan melaungkan Melayu Melayu dan Melayu sahaja untuk Islam.
      Alhamdulillah pendekatan seperti yg diambil PAS dilihat telah membawa perkembangan positif. DAP yg suatu ketika dahulu sangat anti kepada Islam kini sudah mula bercakap tentang Islam. Perkembangan mutakhir Lim Kit Siang berkata sanggup bertanding di PRU13 nanti atas tiket PAS jika DAP digantung oleh ROS. Selain itu betapa banyak bukti Islam semakin berkembang di Pulau Pinang walaupun dipimpin Lim Guan Eng. :)

      Delete