Friday, April 26, 2013

Peranan Intelek Rausyanfikir di Ambang PRU13

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

InsyaAllah kali ini saya cuma ingin kongsikan artikel penulisan Dr. Maszlee Malik yang bertajuk, 'Peranan Intelek Rausyanfikir di Ambang PRU13'. Semoga mencambahkan idea-idea baru di benak pemikiran kita, semoga bermanfaat.


Di antara hujah mereka yang menolak demokrasi, ialah demokrasi memberikan peluang kepada orang-orang bodoh membuat keputusan lantas meminggirkan para bijak pandai.

Menurut golongan ini, golongan cerdik pandai itu bilangannya amat sedikit, yang ramai di kalangan anggota masyarakat ialah golongan kebanyakan yang jahil dan juga mereka yang kurang berilmu.

Rasionalnya, di dalam ruang demokrasi yang mementingkan suara majoriti sebagai kata pemutus dan penentu kuasa, maka keputusan orang-orang yang kurang cerdik akan lebih berpeluang untuk mendominasi keputusan yang diambil.

Hal ini lazim terjadi disebabkan oleh sistem satu individu satu undi yang menjadi medium untuk menentukan suara majoriti di dalam pilihanraya. Makanya, bagi golongan ini, demokrasi merupakan satu sistem yang tidak boleh diharapkan.

Jika dinilai hujah tersebut, jawapan yang paling mudah diberikan kepada mereka yang berhujah dengannya ialah, “Senario yang dibawa itu mencerminkan bahawa sistem yang diamalkan itu bukanlah sistem demokrasi yang sebenar”.

Demokrasi bukanlah hanya semata-mata proses membuat keputusan menurut suara majoriti sahaja, sebagaimana ianya juga bukanlah hanya sekadar mengadakan pilihanraya di dalam tempoh lima tahun sekali sahaja.

Apa yang lebih penting di dalam kerangka sistem demokrasi ialah proses pembuatan keputusan (samada melalui pilihanraya ataupun referendum) hendaklah bersih, telus dan mempunyai kredebiliti. Di samping itu, pengendali pemilihan juga hendaklah mereka yang mempunyai tahap integriti yang tidak diragukan dan menerima kepercayaan majoriti rakyat.

Walau bagaimanapun, apa yang lebih penting lagi ialah keputusan yang dibuat oleh rakyat itu benar-benar berdasarkan proses penilaian yang matang berteraskan hujah, maklumat yang saksama dan tiadanya unsur paksaan, pembodohan dan penipuan oleh mana-mana pihak.

Di samping itu, sistem demokrasi di dalam politik tidak berakhir semata-mata selepas pemilihan dibuat, kelangsungan keputusan yang dibuat, samada dengan memilih kerajaan, pemimpin mahupun keputusan hendaklah dipantau, serta dipertanggungjawabkan kepada rakyat yang telah membuat keputusan tersebut.

Tanpa elemen yang melengkapi keseluruhan gambaran (big picture) sistem demokrasi ini, sesuatu sistem yang diamalkan itu tidak boleh dipanggil demokrasi, tetapi hanya layak digelar ‘pseudo-democracy’ (demokrasi palsu).

Maka, di dalam perlaksanaan demokrasi, proses pembuatan keputusan oleh rakyat hendaklah didahulukan dengan kebebasan maklumat, kebebasan setiap pihak untuk akses kepada media dan menyampaikan maklumat, mekanisme kepada rakyat untuk memantau keputusan yang telah dibuat dan juga akses kepada mereka untuk bersama membetulkan jika berlaku apa-apa kesilapan hasil dari keputusan yang telah dibuat.

Seiring dengan itu juga konsep pertanggungjawaban (accountability) pihak yang telah dipilih di hadapan rakyat juga merupakan elemen yang amat penting di dalam sistem politik berteraskan demokrasi.

Hal ini penting demi mengelakkan suasana kezaliman yang akan dihalalkan di atas nama majoriti (tyranny of majority) oleh mereka yang telah dipilih oleh rakyat untuk memerintah.

Di samping itu, mekanisme pembuatan keputusan juga hanya akan dikira demokratik dengan wujudnya ketelusan di dalam proses pembuatan keputusan, proses perlaksanaan keputusan dan juga hasil dan natijah keputusan tersebut.

Kesemua mekanisme yang telah disebutkan juga tidak akan diiktiraf sebagai benar-benar demokratik juga tanpa wujudnya ruang yang saksama untuk semua pihak menyuarakan pendirian dan juga mengemukakan hujah dan pendapat mereka demi meyakinkan semua pihak yang terlibat untuk membuat keputusan, di mana di dalam sistem politik kenegaraan, rakyat itu sendiri.

Demi mencapai tahap perlaksanaan demokrasi sedemikian rupa, ianya perlu didokongi oleh sistem pendidikan yang demokratik juga. Sistem pendidikan yang demokratik adalah sistem pendidikan yang berupaya untuk mendidik rakyat agar mengetahui dan menghargai hak dan tanggungjawab sebagai rakyat yang baik.

Di dalam ruang seperti inilah para intelek sepatutnya memainkan peranan mereka sebagai pendidik masyarakat untuk mengetahui hak dan tanggungjawab mereka sebagai warga yang merdeka.

Bertitik tolak dari premis ini, di dalam ruang demokrasi yang sihat, para budiman atau intelek wajib diberikan ruang yang luas untuk mendidik dan mencorakkan pemikiran rakyat. Kecerdikan mereka bukanlah semata-mata unutk mereka berhimpun untuk membentuk kelompok elit di ‘menara gading’ lantas membiarkan rakyat di bawah menderita tanpa bimbingan.


Kesarjanaan mereka juga bukanlah semata-mata aset untuk mereka menempa kemewahan duniawi sambil melupakan tanggungjawab dan amanah mereka untuk membentuk cara berfikir rakyat yang betul dan rasional.

Bak kata Antonio Gramsci, pemikir dari Itali, para intelek seharusnya menjadi ‘intelek organik’ yang hidup berpaksikan kebenaran serta jauh dari pengaruh kuasa kerajaan, rejim, penjajah mahupun syarikat-syarikat perniagaan.

Paksi para budiman dan intelek adalah kebenaran berteraskan hujah dan nilai manusiawi yang universal. Mereka adalah pejuang nilai, benteng kemanusiaan dan juga pendakwah keadilan dan kebenaran.

Di dalam senario ambang PRU-13 Malaysia, para budiman dan intelek sewajarnya memainkan peranan yang pro-aktif. Bukan lagi waktunya untuk mereka berseronokan diuliti frasa-frasa kesarjanaan dan mabuk dengan cliché-cliché di awanan keilmuan.

Waktu yang terluang ini menjadi medan untuk mereka turun ke padang untuk mendidik dan memperbetulkan cara rakyat berfikir untuk membuat keputusan.

Kegagalan mereka memainkan peranan yang sepatutnya hanya akan membuka peluang kepada para juhalak (orang-orang jahil) untuk menguasai ruang awam lantas menjuarai wacana rakyat seraya membentuk pemikiran bebal yang akan dijadikan asas untuk mereka membuat keputusan.

Di dalam kemelut media yang dikuasai oleh rejim yang tidak memberikan lapangan yang adil dan saksama kepada semua pihak untuk bertanding di dalam mencapai tampuk kekuasaan, para intelek perlu menjadi penyelamat keadaan. Proses pembebalan rakyat melalui media arus perdana dan ruang awam harus dihentikan oleh para intelek. Mereka perlu bangkit untuk menolak penghinaan terhadap akal rakyat dan juga dhamir mereka.

Kini waktu tidak bersisa banyak lagi untuk para intelek untuk beraksi. Mereka harus bersikap hyper-active membawa fikrah keadilan dan kemanusiaan di ruang alternatif dan juga di alam realiti.

Samada dengan gabungan ataupun himpunan mahupun dengan usaha-usaha individu di dalam ruang maya dan digital, para intelek perlu tampil untuk mendidik ataupun membuat gesaan dan rayuan kepada rakyat untuk keluar dari sikap ‘pandir’ dan ‘tolol’ yang memang dimahukan oleh pihak-pihak tertentu.

Ruang tersebut merupakan daerah anak-anak muda dan juga penentu raja (king maker) di dalam PRU kali ini. Jika para intelek tidak berterusan bersuara, maka golongan pandir dan tolol akan menjuarainya untuk membebalkan rakyat.

Mungkin akan timbul suara sumbang mengatakan, para intelek tidak boleh berpihak, mereka perlu bersikap neutral. Cukuplah kata-kata Ali Shariati, pemikir Iran yang menjelaskan peranan intelek pencerahan (Rausyanfikir) yang berbeza dengan ilmuan biasa, kata beliau: “Rausyanfikir berbeza dengan ilmuan.

Seorang ilmuan mencari kenyataan, seorang Rausyanfikir mencari kebenaran. Ilmuan hanya menampilkan fakta sebagaimana terdapat, Rausyanfikir memberi penilaian sebagaimana seharusnya. Ilmuan berbicara dengan bahasa universal, Rausyanfikir – seperti para nabi – berbicara dengan bahasa kaumnya. ilmuan bersikap neutral dalam menjalankan pekerjaannya, rausyanfikir harus melibatkan diri pada ideologi.”

Kesimpulannya, jika para intelek atau budiman memainkan peranan sebagai Rausyanfikir, maka tidak timbul isu si jahil yang majoriti akan mengatasi cerdik pandai di dalam membuat keputusan. Persoalannya ialah, apakah ruang awam dan juga media arus perdana mempunyai kebebasan untuk para budiman Rausyanfikir melontarkan pendapat mereka untuk mencorakkan pemikiran rakyat?

Jika tidak, maka menjadi kewajipan untuk para budiman, intelek dan Rausyanfikir untuk bangkit menggunakan ruang-ruang yang ada untuk mempengaruhi rakyat agar berani merubah keadaan tersebut agar digantikan dengan keadaan yang lebih demokratik…Sikap mengharapkan pihak lain untuk melakukan perubahan tidak akan membuahkan apa-apa hasil yang positif. Sudah sampai masanya untuk para Rausyanfikir segera bangkit melakukan perubahan…ini kalilah!

Sumber: HarakahDaily

Wednesday, April 24, 2013

Ruginya politik sentimen dan emosi

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

InsyaAllah entri kali ini akan berkisar tentang politik bersempena dengan PRU13 yang bakal menjengah tiba pada 5 Mei 2013 nanti. Kali ini saya akan cuba untuk sampaikan bahawa ruginya politik berlandaskan emosi dan sentimen.

Menurut satu artikel  daripada akhbar Sinar Harian bertarikh 9 April 2013 yang bertajuk, 'Tahap Literasi Politik Rakyat Masih Rendah', Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Abdul Ghapa Harun menggariskan bahawa tahap literasi politik rakyat negara kita masih tidak berada pada tahap sepatutnya. Hal ini menyokong kuat pandangan peribadi saya bahawa sebahagian besar rakyat negara kita, terutamanya masyarakat luar bandar, masih lagi boleh dikategorikan sebagai 'buta politik'.

Suka saya sebutkan satu daripada faktor yang menyumbang kepada fenomena tersebut iaitu tahap kebebasan media yang mengecewakan di Malaysia. Menurut satu carta negara berdasarkan kebebasan media yang dikeluarkan oleh Freedom House pada Mei tahun lalu, Malaysia berkampung di tangga ke 144, hampir tercorot.


Kedudukan itu juga menjadi penanda aras yang ditetapkan Freedom House untuk mengklasifikasikan Malaysia sebagai sebuah negara yang medianya berstatus 'not free' atau tidak bebas. Tidak hairanlah masyarakat gagal mencerap isu-isu yang berbangkit dengan baik, informasi tidak sampai kepada mereka dengan sepatutnya.

Sumber: Freedom House, http://www.freedomhouse.org/report-types/freedom-press
Ketidakseimbangan fahaman tentang politik dalam masyarakat hari ini menjurus kepada wujudnya pengaruh-pengaruh yang tidak relevan dalam memilih pimpinan setempat mahupun tampuk pimpinan negara. Pengaruh-pengaruh yang dimaksudkan kebanyakannya berbaur sentimen dan emosi. Saya ada melakukan sedikit bancian secara ringkas untuk mengenalpasti apakah faktor yang mempengaruhi fahaman politik oleh masyarakat kampung saya, ahli keluarga dan rakan-rakan. Antara beberapa faktor yang suka untuk saya senarai pendekkan ialah:
  1. Ketidakpuasan hati terhadap pihak tertentu.
  2. Tradisi keluarga.
  3. Kepentingan peribadi.
  4. Iri hati dan cemburu.
  5. Pengaruh suami ke atas isteri atau sebaliknya.
  6. Pengaruh idealogi tertentu.
  7. Ikut kawan.
  8. Suka-suka.
Faktor-faktor di atas jelas menggambarkan ketidakmatangan pemilih yang bakal menentukan halatuju negara. Lebih parah, dek kerana faktor-faktor tertentu, ada yang mengambil keputusan untuk langsung tidak keluar mengundi.

Hal ini sangatlah merugikan masyarakat itu sendiri kerana bagi negara kita yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, rakyat yang menentukan siapa yang bakal memegang tampuk pentadbiran. Jika baik pilihan maka baiklah pentadbiran, jika sebaliknya, maka rakyat juga yang akhirnya merana secara sedar atau tidak.

Saya akan cuba bawakan dua situasi yang saya rasakan paling dekat dengan saya, untuk memberikan lebih kefahaman kepada kita.

Situasi 1: Masyarakat kampung

Masyarakat kampung merupakan golongan yang menerima kesan paling optimum daripada ketidaktelusan media negara kita. Hal ini kerana sumber informasi mereka sangat terhad, majoriti masyarakat luar bandar masih sangat daif tahap capaian mereka. Situasi ini menatijahkan mereka-mereka ini, terutamanya golongan lanjut usia, menjadi fanatik tidak berpangkal. Baik penyokong kerajaan baik penyokong pembangkang. Mereka ini cenderung untuk berhujah dengan cara mereka sendiri, tetapi kerana kedua belah pihak tidak jelas dengan pegangan masing-masing, tiada cetusan idea yang sepatutnya berlaku. Akhirnya timbul pertegangan leher sesama sendiri, tidak bertegur sapa dan sebagainya.

Betapa ruginya kerana jika sahaja masyarakat dididik dengan menggunakan saluran-saluran yang efisien, mereka pasti menjadi golongan yang lebih celik. Perkembangan positif itu bakal menyemai landskap politik yang lebih sihat. Jika berhujah, mereka berhujah bersandarkan fakta, menggunakan penghujahan yang sepatutnya, bukannya mempersadakan sentimen dan emosi.

Suasana yang lebih kondusif ini juga membuka ruang yang lebih luas untuk masyarakat menilai dengan saksama pihak mana yang benar dan yang mana membawa kerosakan lantas membawa kepada pembentukan pihak kerajaan yang dapat mentadbir dengan lebih baik.

Situasi 2: Suami isteri

Apabila berlaku penyatuan dua insan, maka tidak dapat tidak adanya kemungkinan untuk berlaku pertembungan fikrah. Mungkin si suami pro kerajaan dan si isteri pula pro pembangkang atau sebaliknya. Pertembungan sebegini lazimnya akan berakhir dengan 'kemenangan' satu fahaman politik sahaja dalam pasangan tersebut. Jika kedua belah pihak tidak celik politik, maka perubahan fahaman oleh suami atau isteri yang berlaku hanya kerana si suami atau si isteri yang lebih dominan atau persuasif. Perkara itu tidak sihat kerana fahaman politik sepatutnya diijtihadkan berlandaskan fakta.

Kerugian akan melanda jika situasi itu berlaku dalam pasangan suami isteri. Rugi kerana satu pasangan mempunyai dua suara, dua suara itu cukup penting untuk menentukan halatuju negara, sedar ataupun tidak. Jika keputusan diambil tidak tepat, maka akan terbit dua suara yang melakukan pemilihan yang tidak tepat.

Sebaliknya jika kedua belah pihak celik politik, perbincangan secara ilmiah mungkin boleh dilakukan dari masa ke masa untuk mencapai satu kata sepakat. Perbincangan secara ilmiah ini pastinya menatijahkan satu jawapan yang jika tidak tepat pun, setidaknya lebih hampir kepada yang tepat itu.

Khatimah

Dua situasi yang cuba saya bawakan di atas harapnya dapat memberikan idea yang lebih jelas bahawa fahaman politik tidak sepatutnya disandarkan kepada sentimen dan emosi. Sebaliknya perlu disandarkan kepada fakta contohnya dasar perjuangan parti politik yang kita sokong serta rekod prestasi calon dan parti yang kita sokong. Demi negara kita yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, setiap rakyat sepatutnya dididik secara berterusan oleh pihak kerajaan sehingga mencapai tahap yang dikatakan sebagai sebuah masyarakat yang mempunyai literasi politik yang tinggi. Di samping itu, pihak kerajaan perlu lebih telus dalam mengawal media arus perdana dan membersihkan segala kotoran yang masih wujud dalam sistem pilihanraya bagi memastikan rakyat dapat menunaikan hak mereka dengan sebaiknya.

Suatu tahap ini jika dicapai, maka dengan sendirinya rakyat akan memilih dengan lebih bijak, pilihan yang bijak membawa kepada keputusan yang lebih bijak tentunya. Paling penting, sebagai umat Islam, undi kita adalah satu tanggungjawab untuk menentukan dasar negara yang lebih islamik agar suatu hari nanti kita dapat mencapai apa yang disebutkan sebagai daulah islamiyyah dan membawa pula kepada ustaziyatul alam.

Takbir! Allahuakbar!