Friday, June 21, 2013

Membaca novel cinta vs Menonton bolasepak

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

Membaca novel cinta dan menonton bolasepak merupakan dua hobi yang cukup popular dalam kalangan remaja. Secara umumnya minat membaca novel cinta lebih sinonim dengan kaum hawa manakala minat menonton bolasepak pula merupakan hobi yang cukup terkenal dalam kalangan kaum adam.

InsyaAllah kali ini saya akan cuba menghurai mengenai dua perkara tersebut.

Alkisah, pernah satu ketika seorang kawan perempuan saya tatkala ditegur tentang kegilaan beliau membaca novel cinta, memuntahkan sepotong ayat berbunyi, "Saya suka baca novel cinta, sama lah macam orang lelaki suka tengok bola, tak perlulah nak tegur saya."

Ulasan saya kali ini akan bertitiktolak daripada hujah kawan perempuan saya itu.

Baiklah. Perbandingan membaca novel cinta dan menonton bola sepak jika dilihat pada permukaannya adalah wajar kerana keduanya merupakan sejenis hobi.

Kebaikan dan keburukan

Antara kebaikan kedua-dua perkara itu ialah para remaja dapat mengisi masa lapang lalu mengelakkan pelbagai aktiviti salahlaku yang tentunya lebih merugikan, itu tuntas.

Satu keburukan yang dikongsi bersama pula ialah apabila pembaca novel cinta atau penonton bolasepak terlalu khusyuk memuaskan minat mereka sehingga tanggungjawab dan kewajipan tertangguh. Contoh paling senang, enggan solat tatkala masuknya waktu kerana perlawanan bolasepak sedang berlangsung atau ingin khatam bab tertentu terlebih dahulu bagi pembaca novel cinta. Istilah yang mudah ialah, melalaikan. Jika silap percaturan, memang kedua hobi itu bahkan kebanyakan hobi lain boleh membawa kepada kelalaian.

Namun jika diberi sedikit pengamatan, dari sudut kemudaratan yang dibawa oleh kedua-dua hobi berkenaan sedikit berbeza ruang lingkupnya. Hal ini lantas membuka ruang kepada kita untuk memikirkan semula perbandingan yang dibuat oleh kawan perempuan saya tadi samada ia wajar atau tidak.

Bolasepak


Kaum adam menonton bola kerana kekaguman akan skill atau kemampuan tertentu seseorang pemain seperti kepantasan Cristiano Ronaldo dan kelincahan Lionel Messi. Jarang sekali orang lelaki yang meminati bola sepak kerana tertarik kepada paras rupa pemain tertentu. Jika ada, berkemungkinan besar sifat kelelakian beliau mengalami kekurangan di sana sini.

Jika meminati pemain pun, ianya bukanlah kerana paras rupa tetapi kehandalan di padang.

Soal aurat, aurat lelaki merupakan khilaf ulama. Jadi dakwaan menonton bola adalah salah kerana berlaku pendedahan aurat juga tidaklah menjadi satu isu yang terlalu signifikan.

Novel cinta

Adapun membaca novel cinta pula rata-rata penggemar akan mengalami pelbagai emosi ketika dalam proses pembacaan. Suka, bahagia, sedih, kecewa, tak puas hati, cemburu dan sebagainya.

Tidak sedikit novel cinta yang menampilkan kisah-kisah romantik. Lalu tidak sedikit juga para penggemar novel cinta yang tenggelam lalu terkapai-kapai hanyut dalam arus fantasi ciptaan sendiri apabila menelusuri bab-bab yang menceritakan detik-detik bahagia. Berangan-angan dan mula berkhayal.

Saya percaya para penggemar novel cinta pasti memahami.  Situasi seumpama itu tentunya secara sedar atau tidak, boleh menimbulkan penyakit hati. 

Bagi yang tidak berkhayal dan berangan-angan, anda tidak termasuk dalam golongan yang saya tujukan.

Kesimpulan

Berdasarkan analisis ringkas ini terbuktilah bahawa menonton bolasepak dan membaca novel cinta merupakan dua perkara yang mempunyai sisi keburukan yang berbeza.

Secara peribadi, saya merasakan membaca novel cinta itu lebih berpotensi kepada kemudaratan berbanding menonton bolasepak. Hujah saya, melalui pembacaan novel cinta, para remaja terdedah kepada penyakit hati berbanding menonton bolasepak yang nyata hanya melibatkan kekaguman terhadap kemampuan seseorang individu tanpa berkait dengan paras rupa pemain.

Jadi para penggemar novel cinta, jika ditegur, perlulah kita bermuhasabah diri, bukannya menolak mentah-mentah dengan alasan yang bermacam.

Begitu juga para peminat bolasepak, bermuhasabahdirilah. Jadilah seorang peminat bolasepak yang taat kepada Allah.

Wallahua'lam.

Friday, June 14, 2013

Cerita Cinta Islamik: Antara Teladan, Fantasi dan Fitnah

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

Pada hari ini, masyarakat semakin ditawarkan dengan filem-filem dan drama-drama berunsur cinta islamik. Filem-filem dan drama-drama cinta islamik ini seringkali mendapat sambutan memberangsangkan lantaran pembangunan intelektual masyarakat pada hari ini selain fitrah manusia itu sendiri yang beragama dan juga beberapa faktor lain.

Drama-drama dan filem-filem berunsur cinta islamik ini, lazimnya diadaptasi dari novel-novel yang telah berjaya mendapat gelaran 'bestseller'.

Di Indonesia, dua buah novel karya Habiburrahman El Shirazy telah meledak sebagai filem iaitu 'Ayat-ayat Cinta' pada tahun 2008 dan 'Ketika Cinta Bertasbih' pada tahun 2009. Kedua-dua filem itu tidak dinafikan cukup bermutu dan tidak hairanlah filem Ayat-ayat Cinta berjaya menarik 3.58 juta penonton ketika ditayangkan di bioskop-bioskop seluruh Indonesia pada 2008 lantas memegang gelaran filem berunsur cinta islamik paling laris di Indonesia setakat ini.

Ayat-ayat Cinta
Bertitik tolak daripada itu, penerbit-penerbit filem di Malaysia juga mulai giat menghasilkan filem dan drama bergenre cinta islamik. Hasilnya pada tahun 2009, drama bersiri 'Nur Kasih' menjadi fenomena di Malaysia pula apabila dilaporkan berjaya menarik 3.9 juta penonton. Kemudian semakin membiaklah filem-filem dan drama-drama seumpamanya di Malaysia.


Teladan

Sesungguhnya kisah-kisah cinta islamik sebegini jauhlah lebih baik untuk dijadikan tontonan jika dibandingkan dengan filem-filem atau drama-drama yang bergenre cinta yang bergelumang dengan maksiat. Kisah cinta islamik biasanya sarat dengan teladan dan pedoman yang tentunya sangat berguna kepada anak muda terutamanya.

Golongan yang setia mengikuti perkembangan kisah cinta islamik ini ghalibnya mereka-mereka yang mempunyai asas agama, samada kukuh atau tidak. Kisah-kisah yang ditonton berjaya membakar semangat para anak muda Islam untuk melayari sebuah kisah cinta yang diredhai Allah dan membentuk baitulmuslim yang sesempurna mungkin bagi meneruskan perjuangan pada jalan Allah.

Fantasi

Namun harus diingat musuh nombor 1 kita iaitu syaitan sangat tekun menjalankan agenda terkutuk mereka. Dalam segala kebaikan yang dapat ditangguk daripada filem-filem cinta islamik ini, malang sekali tidak sedikit anak muda yang tenggelam dalam fantasi.

Teringat saya akan kalam Ustaz Hasrizal Abdul Jamil apabila menegur tentang kegilaan anak muda terhadap Fatih Seferagic yang berbunyi: 
"Resah saya melihat perangai masyarakat kita, dalam hafazan al-Qurannya dan pelbagai kebaikan Fatih Seferagic, kita memilih sisi pandangan yang mengundang fitnah, menimbulkan bencana penyakit 'ain dan menyuburkan Talbis Iblis."
Perkara sama berlaku kepada kisah-kisah cinta islamik. Tidak dinafikan lazimnya drama-drama dan filem-filem berunsur tersebut dibarisi para pelakon yang mempunyai paras rupa yang cantik lagi menarik. Hal ini sedemikian kerana watak hero dan heroin seringkali digambarkan sebagai seorang yang mempunyai sifat kesempurnaan dalam segenap aspek.

Para pelakon yang mempunyai wajah menarik ini kemudiannya menjadi kegilaan anak muda termasuk golongan yang sudah berumah tangga. Perkara itu akan berterusan meskipun drama-drama itu telah tamat. Segala teladan yang sepatutnya difokuskan seperti sudah terbang ke awangan entah ke mana, yang berbekas benar di pangkal hati ialah rupa paras indah para pelakon drama-drama dan filem-filem berkenaan. Maka mulalah timbul bibit-bibit rasa, "Aku nak suami handsome/isteri cantik macam ni".

Di situlah ramai anak muda, dan harus saya sebutkan terutamanya kaum hawa, jatuh terperosok dalam satu lembah kehinaan.

Bukan lagi percintaan yang diredhai Allah yang ditekadkan untuk dijadikan teladan, sebaliknya berkhayal untuk melalui kisah cinta yang jerih dan berakhir dengan keindahan. Bukan lagi ingin menyiapkan diri sebagai muslim dan muslimah sejati bagi menempuhi alam perkahwinan sebaliknya berangan-angan untuk memiliki pasangan sesempurna yang ditampilkan dalam filem-filem yang ditonton. Alangkah malangnya.

Allah SWT telahpun memberi ingatan kepada kita semua:

"Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain dari tipuan belaka." [An-Nisa:120]

Angan-angan dan khayalan itu bukan sahaja mencemarkan hati, malah mewujudkan satu 'expectation' yang terlalu tinggi dalam perhubungan. Apabila bernikah, jika pasangan tidak berjaya memenuhi 'expectation' yang  tinggi, itu dan ini, mulalah timbul krisis-krisis rumah tangga kecil-kecilan yang bisa meletus bila-bila masa.

Fitnah

Amatlah mendukacitakan, kerana wujudnya tangan-tangan yang hanya ingin mengaut keuntungan, agama diperdagangkan sehingga menimbulkan fitnah!

Saya gunakan istilah 'memperdagangkan agama' kerana wujudnya golongan yang menghasilkan drama-drama islamik ini semata-mata untuk mengeksploitasi label 'agama' itu bagi menarik minat penonton tanpa menitikberatkan nilai-nilai agama itu sendiri.

Baru-baru ini satu drama bergenre cinta islamik yang ditayangkan di Astro mendapat kecaman apabila memperlihatkan babak-babak yang tidak melambangkan kesucian Islam termasuklah satu adegan muslimah berniqab yang berpegang tangan dengan seorang lelaki ajnabi. Perkara ini sungguh menjatuhkan maruah Islam dan memberikan kefahaman yang salah tentang Islam terutamanya apabila masyarakat bukan Islam menontonnya. Ia membangkitkan fitnah kepada Islam!

Saya kira amatlah rosak masyarakat kita jika terus disajikan dengan nilai-nilai penuh keaiban sedemikian rupa. Saya amat berharap pihak-pihak yang berhasrat menghasilkan karya yang membawa imej agama perlulah menitikberatkan nilai-nilai sepatutnya bagi menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat.

Khatimah

Saya harap para pembaca faham yang saya tidak berhasrat langsung untuk membunuh terus minat terhadap karya-karya berunsur cinta islamik. Bahkan saya harap anak muda meminati hasil seni sedemikian berbanding meminati artis-artis seumpama KPOP serta artis-artis barat seperti Justin Bieber, One Direction dan sebagainya yang terang-terangan membawa unsur jahiliyyah.

Apa yang saya cuba lakukan ialah menyampaikan peringatan kepada kita semua agar tidak terjebak ke dalam lembah kehinaan. Saya mengajak kita semua mengambil segala mesej positif yang diselitkan dalam karya-karya berunsur islamik dan mengamalkannya ke dalam kehidupuan seharian kita.

Harus diingat tanggungjawab kita sebagai umat Islam bukan setakat untuk membina sebuah keluarga bahagia sahaja, tetapi hakikat perjuangan kita untuk menegakkan kalimah lailahaillallah maha luas dan banyak cabangnya. Marilah mempersiapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang mampu menyumbang kepada kedaulatan Islam.

Mana-mana yang baik jadikan teladan, mana-mana yang tidak baik kita jadikan sempadan.

Bersama mengejar redha Ilahi.

Wednesday, June 5, 2013

Pelumba muda maut, iktibarnya.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

Saya sangat terkesan mendengar berita kemalangan yang menimpa pelapis pelumba basikal Terengganu, allahyarham Syafiq Imran pada hari ini. Arwah mengalami kemalangan ketika dalam latihan apabila cuba mengelak dari lubang pada jalan yang dilalui dan kebetulan ketika itu jalan yang dilalui agak sempit lalu datang sebuah lori dari arah bertentangan dan arwah tidak sempat mengelak. Mari sama-sama kita sedekahkan AlFatihah kepada arwah.

Allahyarham Syafiq Imran
Baiklah, saya sungguh terkesan dengan berita itu lantaran beberapa hari yang lalu, ketika saya memandu dari Besut ke Kuala Terengganu, terdetik di hati kecil saya ini akan kualiti permukaan jalan di sepanjang perjalanan. Mengecewakan.

Berlubang satu perkara, ada yang jalan tidak rata, jalan berpasir yang sangat berbahaya, bahu jalan curam dan sebagainya. Saya sangat tidak faham kenapa jalan-jalan ini masih sedemikian meskipun kerja-kerja penurapan jalan dapat dilihat dilakukan saban tahun. Bahkan, saya boleh jamin terdapat banyak kawasan yang baru sahaja siap diturap semula, tetapi sudah menampakkan lekuk-lekuk yang lambat laun akan membentuk lubang.

Di kampung saya sendiri, sebuah jambatan baru sahaja siap dibina, cuma terdapat kerja-kerja penyudah yang berbaki. Melalui pemerhatian saya, kerja-kerja yang dilakukan seperti ala kadar sahaja. Belumpun siap 100% tetapi sudah menampakkan tanda-tanda kerosakan.

Saya percaya masalah ini juga berlaku di tempat-tempat lain seluruh negara.

Persoalannya, kenapa terjadi sebegitu rupa? Kenapa kualiti jalan-jalan ini sangat mengecewakan? Adakah teknologi yang digunakan pada hari ini belum mampu untuk menghasilkan jalan yang berkualiti? Atau wujud gejala lain yang akhirnya memberi kesan kepada proses pembinaan jalan-jalan ini?

Saya tidak berhasrat untuk menuding jari kepada sesiapa. Tetapi hari ini satu nyawa lagi telah melayang kerana keadaan jalan yang buruk. Hal ini sudah cukup untuk menjadi satu lagi sebab kepada pihak berwajib untuk memberi tumpuan kepada pembinaan jalanraya yang berkualiti. Di seluruh dunia, keadaan permukaan jalan dikenalpasti sebagai punca utama berlakunya kemalangan selain keadaan kenderaan itu sendiri. Jadi saya berharap dalam negara kita terus mengorak langkah mencipta nama, kemudahan awam seumpama jalanraya dapat ditambahnilaikan kualitinya. Mudah-mudahan.