Sunday, November 17, 2013

Muslimah Zaman Internet

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

InsyaAllah kali ini saya akan cuba mencoretkan satu entri bertajuk "Muslimah Zaman Internet". Saya percaya istilah 'muslimah zaman internet' itu boleh dihurai dengan cukup luas menurut pandangan masing-masing.

Namun apa yang saya akan cuba bincangkan kali ini ialah muslimah yang kita dapat lihat dalam laman-laman sosial seperti facebook, twitter, instagram dan sebagainya. Tanpa menolak fahaman-fahaman lain tentang istilah ‘muslimah zaman internet’ itu, khas untuk coreten kali ini pengertian 'muslimah zaman internet' yang cuba saya bawakan ialah mereka yakni wanita-wanita yang beragama Islam yang hidup pada zaman yang dilengkapi internet yang mana menjadi 'nyawa' kepada laman-laman sosial yang ada pada hari ini.



Rahmat dan bala

Saya kira kita bersetuju bahawa laman sosial seperti facebook merupakan satu wasilah yang cukup berkesan dalam gerak kerja dakwah dan tarbiah pada hari ini. Satu penulisan contohnya, mampu menerjah sanubari ribuan pembaca dalam masa yang begitu singkat. Maka seharusnya medium ini digunapakai secara optimum dalam menyampaikan risalah Islam. Inilah suatu rahmat kepada umat Islam pada zaman moden ini.

Namun teknologi ini boleh juga jadi bala kepada umat Islam, jika disalahgunakan.

Kaum muslimah tidak terlepas sebagai golongan yang berpotensi untuk menyalahgunakan laman sosial sehingga menjadi bala fitnah kepada mereka serta kepada umat Islam seluruhnya.

Dari Usamah bin Zaid RA dari Nabi SAW bahawa Baginda bersabda:

"Aku tidak meninggalkan satupun fitnah sepeninggalku yang lebih membahayakan para lelaki kecuali para wanita." (HR. Al-Bukhari)


Inilah ruang lingkup perkongsian yang akan cuba saya sampaikan pada kali ini, iaitu permasalahan yang di hadapi oleh muslimah pada zaman moden ini, secara khususnya melalui laman-laman sosial.


Hilangnya Al Hilm

Al hilm ataupun perasaan malu atau kesantunan merupakan harta paling berharga seorang wanita, semakin tinggi perasaan malu dan kesantunan seseorang wanita itu, semakin tinggilah darjatnya. Namun keadaan pada hari ini sangat menyedihkan, perintah Rabbul Izzati agar aurat ditutup semakin tidak diendahkan.

Sewenang-wenangnya aurat terdedah sana dan sini mencari-cari perhatian daripada mata-mata liar. Lebih teruk aksi-aksi dengan berkeadaan tidak diredhai Allah SWT itu diabadikan dalam bentuk gambar dan dimuatnaik ke dalam laman-laman sosial pula. Maka mata yang melihat pun bertambah berlipat-lipat kali ganda.

Di mana terpelantingnya perasaan malumu?

Bukankah malu itu separuh daripada iman?

Ajakan saya, bagi yang belum menutup aurat dengan sempurna, mulakan langkah untuk berhijrah dengan berfikir secara serius untuk menutup aurat dengan sempurna. Renungkanlah kesejahteraan diri sendiri, ibu bapa dan suami (bagi yang telah berkahwin), di dunia ini dan lebih penting lagi di akhirat kelak.


Saya rasa jika keberatan untuk menutup aurat atas faktor pandangan orang sekeliling, mulakan dengan berpakaian menutup aurat itu ketika bersendirian di dalam rumah contohnya, biasakan sebegitu sehingga mendapat satu kekuatan untuk tampil di khalayak ramai. Jangan keberatan untuk menadahkan tangan memohon kekuatan daripada yang Maha Esa.

Juga, jangan lupa untuk memadamkan segala gambar tidak menutup aurat di laman-laman sosial yang mencambahkan saham dosa setiap saat, usah khuatir, sungguh Allah SWT itu Maha Pengampun, yakinlah.

Bermulalah sekarang wahai muslimah. Janganlah ditangguhkan lagi, kerna mati itu sungguh dekat sekali. Tiada siapa mahu mati dalam keadaan di murkai oleh Allah SWT, tidak tertahan azabNya di akhirat kelak.

Yang menutup aurat pula berusaha menarik perhatian dengan cara yang tersendiri. Mimik muka menjadi senjata untuk membuat mata-mata yang memandang terpaku. Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan segenap bahagian tubuh wanita itu dengan keindahan dan sesungguhnya wanitalah perhiasan di dunia ini.


"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)." (Ali Imran: 14) 

Allah SWT juga menciptakan manusia itu dengan nafsu syahwat yang mana pada hakikatnya dituntut untuk disalurkan menurut lunas-lunas syarak. Maka pernahkah terfikir oleh akalmu wahai muslimah, mimik-mimik mukamu yang manja itu akan menarik perhatian dan menggoda syahwat kaum Adam?

Itukah yang kamu mahukan?

Tidakkah Islam mengajar agar kamu tidak memperlihatkan keindahan mu?

Adakalanya mata yang memandang pula terasa malu melihat gelagat sesetengah muslimah yang menampilkan mimik muka yang entah apa-apa. Herot ke kiri, herot ke kanan, terjelir dan macam-macam lagi.

Wahai muslimah, di mana kamu campakkan kesantunan mu?

Tahukah kamu kesantunan yang kamu campak itu tercampak sekali bersama harga diri mu?

Bukankah Islam datang meninggikan martabat wanita?

Mengapa pula diabaikan Islam dan direndahkan martabat kamu sendiri?

Setelah elok menutup aurat mengapa buruk pula kelakuan? Islam itu menyeru muslimah bukan sahaja menutup aurat, tetapi juga menjaga peribadi.

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata." (Al-Baqarah: 208)

Perangkap untuk Niqabis

Demikian juga kepada muslimah yang berniqab, betapa malangnya niqabis yang terperangkap pada zaman serba moden ini.

Apa yang saya maksudkan terperangkap?

Saya maksudkan terperangkap ialah terperangkap dengan hasutan syaitan.

Bagaimana boleh terhasut? Terhasut apabila memuatnaik gambar-gambar mereka berniqab ke laman-laman sosial seumpama facebook. Ada yang berhujah bahawa niat mereka ikhlas, nak motivasikan teman-teman agar perlahan-lahan menutup aurat dan berhijrah ke arah kebaikan, lagipun bukannya mendedahkan aurat, apa yang salahnya?

Baiklah. Konsep laman sosial ialah kita bersosial di alam maya, kita berkongsi pelbagai perkara dengan teman-teman, kita kongsikan rasa hati kita, di mana kita berada, gambar-gambar semasa kita dan sebagainya.

Saya ambil contoh facebook, ada tiga benda pada facebook yang saya kenalpasti boleh jadi pembunuh yang sangat kejam kepada sebuah niat yang tulus ikhlas. Tiga benda itu ialah, 'like', 'comment' dan 'share'.

Memang, di saat gambar-gambar yang sempurna berniqab dan menutup aurat dimuatnaik, niat adalah untuk memberi motivasi kepada orang lain, saya tidak nafikan niat yang ikhlas itu. Tetapi apabila puluhan orang malahan ratusan orang yang like, kemudian comment berunsur pujian pula seperti "subhanallah indahnya", kemudian share pula sehingga tersebar luas gambar-gambar itu, sangat dirisaukan syaitan akan menyuntik hati dengan bibit-bibit ujub, sum'ah, riak dan takbur, nauzubillahiminzalik!

Itulah perangkap yang saya maksudkan. Ambillah pengajaran daripada kisah Hawa yang telah menjadi mangsa hasutan syaitan, setelah gagal menghasut Adam, Hawa pula dipergunakan untuk merosakkan Adam dan akhirnya kedua-dua mereka dicampak ke muka bumi. Betapa kaum Hawa itu seringkali menjadi mangsa perancangan jahat syaitan.

Lebih parah apabila bergambar bersertakan gaya-gaya tertentu. Gaya itu tak gedik, tapi memperlihatkan keindahan tersendiri dengan keadaan yang telah sempurna terhijab itu lantas menarik mata yang memandang. Gaya-gaya seperti tertunduk malu, merenung ke langit, malah renungan tajam oleh sepasang mata yang terlihat itu tentu sekali menimbulkan rasa kagum dalam hati si pemerhati dan bila hati sudah suka, tidak dapat tidak pelbagai pujian akan terhambur.

Tidak cukup dengan itu, disertakan lagi efek-efek tertentu menggunakan photoshop bagi menjadikan gambar itu lebih menarik.

Tidak kurang yang gunakan gambar-gambar berniqab untuk mencoretkan kalimah-kalimah indah, ayat-ayat yang di susun rapi. Kalimah-kalimah serta ayat-ayat yang baik itu baguslah, boleh menyampaikan kefahaman agama kepada orang lain, tapi kenapa perlu letak gambar sendiri sebagai latarbelakang?

Nak promosikan agama atau nak promosikan diri?

Apa sudah jadi?

Adakah tujuan berniqab itu agar dirimu kelihatan indah?

Ditambah pula dengan gaya bahkan efek-efek dramatik pula. Ratusan 'like', pujian melalui 'comment' dan 'share' yang dilakukan bukankah akan membuka ruang kepada syaitan untuk menjangkiti hati dengan penyakit-penyakit busuk?


Saya tak kata pakai purdah itu tak bagus, sila faham betul-betul. Saya bincangkan mereka yang berpurdah dan memuatnaik gambar mereka ke laman-laman sosial.

Jika masih tetap ingin melakukan sedemikian, terpulang, tetapi gunakanlah neraca iman sebaiknya untuk memastikan tiada sebarang unsur yang menarik pada gambar itu. Saya tetap mempunyai pandangan bahawa tak perlulah muatnaik ke laman sosial kerana ia lebih cenderung ke arah membuka jalan keburukan berbanding jalan kebaikan.

Jika nak bagi motivasi pada orang lain, cukuplah dengan orang di sekeliling, adik-adik, ahli keluarga, kawan-kawan terdekat yang boleh ketemu saban hari dan boleh lihat keadaan berpurdah itu secara langsung, biarlah tidak ramai yang dapat dimotivasikan pun, asalkan beristiqomah. InsyaAllah cara begitu lebih selamat berbanding jika muatnaik ke laman sosial yang lebih berisiko untuk terkena penyakit hati.


Khatimah

Perkara yang penting ingin saya tegaskan di sini ialah, apa yang saya tuliskan ini merupakan pandangan peribadi saya. Apabila saya katakan ianya suatu pandangan peribadi, saya yakin wujudnya pandangan-pandangan lain yang mungkin bertentangan dengan saya.

Terutamanya berkaitan dengan muslimah berniqab itu. Sebagai contoh ada yang akan mendakwa saya telah meninggalkan konsep ‘husnu zhon’ ataupun bersangka baik dan dalam masa yang sama berpegang dengan konsep mencari kesalahan orang lain yang sebenarnya ditegah dalam Islam sepertimana disebutkan dengan jelas dalam Al Quran dengan lafaz ‘wala tajassasu’.

Bagi saya, saya tidak dapat menghalang apa-apa persepsi yang akan diberikan kepada saya. Apa yang saya boleh lakukan hanyalah, mengajak diri saya sendiri dan para pembaca untuk memikirkan perkara ini secara rasional menurut mizan iman dan taqwa masing-masing. Jika ada kebaikan dan pengajaran yang boleh diambil, sungguh itu sahajalah yang saya harapkan. Jika pula ada keburukan dan kebatilan, saya dengan rasa terbuka mengajak para pembaca untuk memberi pandangan masing-masing.

Sekali lagi peringatan buat muslimah yang hidup pada zaman internet ini, berwaspadalah senantiasa. Jangan biarkan syaitan mempengaruhi diri. Ingatlah, keindahan pada diri setiap wanita itu hanyalah untuk insan yang halal bagimu iaitu si suami.

Bersama kita mengejar redha Ilahi.

11 comments:

  1. hehe hampir sama tpi entry ini lebih bnyk info yg berguna. :)

    ReplyDelete
  2. salam... ina blogwalking dari http://arenamuslimah.blogspot.com/

    salam ukhuwah... landasan ilmu tidak terbatas... berdakwah menggunakan platform macam mana sekalipun xapa kan... nice entry :)

    ReplyDelete
  3. salam hormat.
    terima kasih atas entri perkongsian.
    Allah bless you, ameen.
    teruskan jihad. :)

    ReplyDelete
  4. terima kasih atas perkongsian.moga akan jadi yang terbaik :)

    ReplyDelete
  5. tersentuh hati saya membaca artikel ini... betul tu saudara.. saya tak sangkal akan semua itu.. terima kasih saudara :)

    ReplyDelete
  6. jalan2 sini sambil baca entry.. jemput singgah www.sayeshukepink.com

    ReplyDelete