Friday, May 18, 2012

Kian dewasa

Alhamdulillah..Dengan izin yang Maha Kuasa,dapat ana mengerah tenaga setelah membidik satu titik masa yang dirasakan sesuai untuk menyambung nukilan ana yang sebelumnya.Jika terbit bibit hairan akan kenapa entri ini seakan berpaksikan sesuatu yang lain,maka kehairanan antum itu memang berasas kerana entri ini adalah kesinambungan untuk entri yang sebelumnya.Jika dirasakan aneh mengapa tiba-tiba ana membahasakan diri ana sebagai 'ana' juga,maka seeloknya secara sepintas lalu setidaknya,jengukkan entri ana yang sebelumnya untuk menggali satu jawapan.

Baiklah,ana akan teruskan.Namun sebelum itu,terima kasih ana ucapkan kerana sudi berkunjung.Bagi yang telah menelaah entri ana yang sebelum ini,maka antum pastinya dapat meneka berkisarkan apakah entri kali ini.Bagi yang pertama kali singgah di sini,ini alkisah hidup ana,suka ana ulang frasa yang ana guna sebelum ini,entri ini hanya untuk ana bersyok sendiri,jika antum tidak berminat,ayuh jangan membuang masa tukarkan gear,belok ke kanan atau ke kiri,seribu jalan di hadapan,ana tidak memaksa antum untuk bersengkang mata meneliti baris-baris ciptaan ana ini dengan hati yang tidak senang.(^_^)

'Ala kulliha,andai kata antum masih bertatih perlahan ke baris ini,setinggi-tinggi penghargaan ana anugerahkan,ana akan terus mengumpul tenaga untuk mencoretkan sebuah kisah yang barangkali amat ringkas,namun cukup terutamanya bagi ana sendiri untuk mengimbau kembali kisah-kisah dahulu kala.

Adapun sebelumnya bertitiknokhtahkan entri itu sehingga ana tamat zaman sekolah rendah. Telahpun ana perkenalkan secara kasarnya yang sekolah menengah ana ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Wataniah atau nama singkatnya,SMKAWA.Di situlah pertempuran di medan ilmu terus digerakkan,digiatkan.Tingkatan satu,2006 ketika itu,merupakan tahun yang amat indah.Pertama kali mengecap udara sekolah menengah. Walaupun pada awalnya hati ini penuh dengan debaran,memikirkan nasib di tempat baru,namun sejajar dengan masa yang berjalan,ana sudah terbiasa dan mula menyukai.Berlalu pantas waktu itu,tamat tingkatan satu.Disebalik kenakalan ana yang bukan kepalang,keputusan peperiksaan akhir tahun ana agak memberangsangkan juga.Cukup-cukup makanlah untuk memastikan satu tempat ke kelas 2Shafie,kelas pertama untuk tingkatan dua.Disitu rangkaian sahabat mula dilebarkan dan diutuhkan.Pelbagai peristiwa pahit manis berlalu dengan pantas,membawa kepada tingkatan tiga.Ana yang ketika itu sungguh galak dengan pelbagai aktiviti sampingan yang pastinya tidak membantu pelajaran ana sudah mulai risau akan nasib mendatang.Namun alhamdulillah sekali lagi ana berjaya menempatkan diri ana ke kelas pertama untuk tingkatan tiga iaitu kelas 3Ibnu Amir.Disitulah bahang sebenar mulai terasa.Manakan tidak sudah bergelar calon PMR.Ana tidak risaukan subjek lain melainkan Bahasa Arab.Ketika tingkatan satu rekod tercipta apabila sepanjang tahun ana gagal untuk subjek Bahasa Arab.Namun usaha gigih barisan Ustaz dan Ustazah SMKAWA,doa luhur dari ibu bapa dan tidak kurang usaha ana yang tidak henti termasuklah pertolongan sahabat-sahabat yang tidak terkira,alhamdulillah berjaya ana dapatkan A untuk subjek Bahasa Arab ketika PMR.Untuk pengetahuan,itulah pertama kali ana mendapat A untuk Bahasa Arab.Alhamdulillah berjaya ana mendapat A untuk kesemua sembilan subjek yang diambil untuk PMR.Tidak lama kemudian ana ditawarkan untuk ke Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Pekan,Pahang.Iman mula tergugat,pilihan dihadapan mata,fikiran giat berputar ke sana ke mari meninjau-ninjau kata putus terbaik yang wajar ana ambil.Akhirnya ana memutuskan untuk kekal di SMKAWA dan ia atas faktor yang pelbagai,kepelbagaiannya memang tidak diragui.

Pada ketika berlayar di tingkatan tiga ana juga mula terlibat dengan aktiviti ko kurikulum.Ana mewakili sekolah ke Pertandingan Catur Majlis Sekolah-Sekolah Menengah Terengganu.Alhamdulillah tidak mengecewakan.Ana juga mewakili sekolah untuk pertandingan forum remaja dan alhamdulillah berjaya merangkul naib johan.

Bab seterusnya lebih mendebarkan,semestinya persediaan ke arah SPM.Mulai tingkatan empat ana mulai bergiat aktif dalam bidang ko kurikulum.Catur,debat Bahasa Inggeris,forum remaja,syarahan agama dan tidak lupa pernah terlibat dengan kalimatu assobah yakni ucapan pagi dalam Bahasa Arab.Ketika di tingkatan empat juga ana terpilih untuk menjadi pengawas sekolah.Jelas tanggungjawab berlipat kali ganda.Daripada seorang pelajar yang paling nakal ana transformasikan diri ana sedikit demi sedikit tanpa ramai yang sedari kepada seorang yang lebih baik,lebih bertanggungjawab.Ana sentiasa mencuba.Tatkala berdampingan dengan teman-teman yang hebat ana mulai mengerti akan kehidupan sebenar.Ana ingin bersaing.Semakin ramai sahabat ana semakin banyak kekurangan pada diri ana,semakin jauh ana melangkah semakin banyak ketidaksempurnaan pada diri ana.Ana sedar.Jadi bermula dengan azam yang jitu,ana terjemahkannya ke dalam tindakan.Sentiasa mencuba,sukar untuk ana pelajari banyak perkara ketika bersama keluarga,namun pendedahan kepada kawan-kawan yang pelbagai membolehkan ana mengumpul data berguna untuk diimplementasikan pada diri ana.

Ketika tingkatan empat,ana berjaya melayakkan diri ke peringkat negeri dalam pertandingan catur.Pernah seminggu ana tidak hadir ke sekolah untuk menghadirkan diri ke latihan pusat catur untuk kontinjen daerah Besut.Bakat ana dalam menyampaikan syarahan pula mula dikesan oleh salah seorang guru yang paling banyak berjasa dengan ana iaitu Cikgu Norma.Beliau mula menjinakkan ana dengan syarahan.Kemudian digilapkan.Ia memakan masa,tenaga dan sebagainya.Alhamdulillah ketika di tingkatan lima ana berjaya ke peringkat negeri mewakili daerah Besut.Terima kasih cikgu.(^_^)

Ketika di tingkatan lima,ana mendapat kejutan yang hampir sama dengan yang semasa tahun enam dahulu.Sekali lagi,ana dilantik sebagai ketua pelajar.Ana tidak mampu untuk menggambarkan perasaan ana disini,lebih baik disimpan barangkali.Ianya bukan menggembirakan,pelbagai alasannya untuk ana tidak senang sebenarnya.Malah ana tahu,setidak senang hati ana ini,lagi tidak senang hati sesetengah pihak.Biarkan ia menjadi sejarah,ana sematkan tekad di hati ketika itu untuk sahut cabaran.Ana terima.Terima cabaran,terima tanggungjawab,terima kritikan,terima tekanan,terima ketidakpuasan hati,terima segalanya.Namun disini terima kasih ana ucapkan,kerana semua itu mengajar ana untuk menjadi lebih tabah.Ana tahu ana bukan seorang ketua pelajar yang baik,namun ana telah mencuba.Banyak yang telah ana pelajari.Mungkinkah dalam diri ana ini wujud bakat kepimpinan,barangkali,ana cuba mengesannya,adakalanya dengan beraninya cuba mengembangkannya.Tidak kisah lah,tidak salah mencuba,lagipun ana sememangnya bercita-cita untuk menjadi pemimpin hebat satu hari nanti.(^_^)

Kesibukan pelbagai tugas dan pelbagai aktiviti ko kurikulum sedikit sebanyak memberi impak kepada pelajaran ana.Sepanjang tingkatan lima keputusan peperiksaan ana amat tidak memuaskan.Di situ sekali lagi ana cabar diri ana.Akhirnya alhamdulillah ana berjaya,boleh dikatakan berjayalah,mendapat 7A dalam SPM daripada 11 subjek yang diambil.Tidaklah cemerlang,namun masih memuaskan.Ana terima dengan hati terbuka.Ana senantiasa yakin,setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya.Tiada siapa yang inginkan perkara yang tidak baik,namun kehidupan tetap kehidupan.Warnanya sungguh berbeda-beda.Begitulah berakhirnya zaman persekolahan ana.

Setiap daripada kita mempunyai cerita tersendiri,ana juga,cuma ana memilih untuk secara ringkas abadikannya sebagai satu coretan maya disini.Semestinya ana tidak menggarapnya secara detail kerana ia akan menjadi amat panjang,jadi ringkaskan sahaja.Ringkasan sahaja ini pun sudah cukup panjang dan membosankan,ana tahu lagi mengerti.Asif jiddan,ana masih dalam proses mempertajam skill penulisan ana.InsyaAllah moga ana mampu bergelar penulis satu hari nanti kerana ana sememangnya berminat.Ianya indah untuk mengekspressikan segalanya tentang kehidupan.

Ia belum berakhir,insyaAllah jika berkesempatan akan ana coretkan riwayat ana bergelar pelajar kolej pula.InsyaAllah..(^_^)

3 comments:

  1. Replies
    1. dont really think i deserve to get em,not this one..i guess..anyway,thanksssss..(^_^)

      Delete
    2. hehehehe ... actually 5/100000000 hakx3 ....
      don't want stars?? so, what do you want?
      hakx3 ade-ade je ....
      :P

      Delete