Sunday, November 25, 2012

Amalan mencium mushaf setelah membaca Al-Quran

Mencium mushaf merupakan amalan berleluasa dalam kalangan muslimin di mana setelah selesai membaca AlQuran, seseorang akan mencium mushaf sebagai tanda rasa cinta kepada Allah dan KitabNya. Namun amalan itu sebenarnya tidak berasas.

Untuk menunjukkan rasa cinta kepada Allah SWT cukuplah dengan mengikuti Sunnah Rasulullah SAW dan para sahabat serta meninggalkan segala larangan.

Imam Ibnu Taimiyah pernah ditanya perihal membaca mushaf dan menciumnya. Beliau berkata, "Segala puji bagi Allah. Mengenai membaca mushaf lalu menciumnya, sesungguhnya kami tidak mengetahui sebuah athar pun yang berasal orang salaf."

Imam Ahmad dikala ditanya berkata, "Aku tidak pernah mendengar sesuatu pun tentangnya".

Wallahua'lam.

Monday, November 19, 2012

Gaza dan di manakah kita?

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah pagi ini Allah menurunkan ilham untuk saya menambah lagi entri di blog ini. Hari ini seluruh Malaysia, bahkan seluruh dunia hangat memperkatakan tentang Gaza yang sedang diserang oleh rejim zionis laknatullah. Hal ini sungguh-sungguh menyehtuh hati sesiapa sahaja yang mendengarnya, apatah lagi melihat dengan mata kepala sendiri gambar-gambar yang diposkan di laman-laman sesawang. Sama-sama kita mendoakan yang terbaik untuk saudara kita di sana. Ayuh sama-sama kita bangkit di malam hari bertahajjud dan berdoa untuk saudara kita di Gaza.

Namun, perkara yang ingin saya sentuh ialah, dengan Gaza yang sebegitu rupa, bagaimanakah pula kita? Sudah menjadi trend, budaya repost gambar saudara kita di sana yang tercedera malah gugur syahid. Pertamanya alhamdulillah, rata-rata anak muda nampaknya begitu prihatin dengan apa yang sedang berlaku. Gambar-gambar diposkan setiap hari bahkan hampir setiap detik sehingga ada kalanya membuatkan kita merasa kita sendiri berada dalam kancah tersebut. Ianya suatu perkara yang positif kerana dengan tangan-tangan kecil itu, maka lama-kelamaan seluruh dunia dapat tahu akan apa yang berlaku di sana.

Lebih hebat, ada yang bergerak melancarkan tabung-tabung derma kilat, untuk membantu saudara kita di sana. Semoga Allah membalas jasa baik anda, para mereka yang mengutarakan usaha itu, juga mereka yang menghulurkan sumbangan ikhlas.

Baru-baru ini, MCD telah menawarkan burger percuma dan ramai yang lantang menegah umat Islam daripada mengambil burger-burger itu. Semua sedia maklum, MCD itu merupakan antara penyumbang utama kepada zionis. Bahkan ada yang mengambil gambar mereka-mereka yang beratur untuk mengambil burger itu dan mengutuk-ngutuk perbuatan mereka. Sebenarnya mengambil burger itu tidak sampai jadi haram pun, cuma amat biadap dengan keadaan saudara kita di sana. Jadi secara peribadi, saya rasakan tindakan mengutuk mereka tidak wajar, dalam di negara kita banyak lagi perkara yang 'layak dikutuk' kerna terang-terang melanggar hukum Islam.

Dan yang lantang mengutuk itu saya perhatikan, ada juga yang datangnya dari mereka-mereka yang aktif repost gambar-gambar saudara kita di sana. Itulah yang saya rasakan ada ruang untuk diperbaiki. Soalan saya, adakah dengan secara aktif repost gambar-gambar itu kita merasakan diri kita sudah melakukan sumbangan yang cukup besar? adakah kita merasakan diri kita sudah terlepas dari tanggungjawab kita? merasakan diri kita baik dan yang ambil burger percuma itu tidak baik? Renung-renungkanlah. Di sini mungkin akan ada yang tidak bersetuju dengan saya. Teringat saya akan satu potongan ayat AlQuran:

"Apakah manusia mengira, ia akan dibiarkan sahaja, mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?" (Al-Ankabut: 2)

Perlu dingat bahawa ujian Allah terhadap hambaNya adalah berbeda-beda yakni mengikut tahap hubungan mereka dengan Allah. Para pejuang di Gaza sedang diuji, sebegitu hebat, barangkali kerana hubungan mereka dengan Allah begitu hebat. Kita pula? Adakah kita tidak duji? Kita sebenarnya diuji juga! Tetapi mungkin kerna hubungan kita dengan Allah tidak seberapa, jadi ujian kita tidak begitu teruk, sehingga adakalanya kita terleka. Mereka sedang dijajah, kita juga sebenarnya sedang dijajah! Dengan budaya hedonisme, sekularisme dan materialisme yang sedang menembusi benteng budaya Islam kita di Malaysia, kita terus hanyut! Tidakkah itu memberikan kemenangan kepada musuh-musuh Islam? 

Jadi kita punyai tanggungjawab yang lebih besar ke atas diri kita sendiri, jangan lupa tentang itu. Nak repost tentang Gaza, teruskan usaha anda.Tapi jangan lupa niat harus betul, jangan biarkan usaha kita itu menjadi tidak berguna di sisi Allah SWT. Dan tatkala melihat mereka yang mengambil burger seperti yang saya nyatakan tadi, jangan kutuk mereka, siapa tahu jika mereka merupakan antara pemyumbang kepada ekonomi negara, mereka bayar cukai dan mereka bayar zakat untuk umat Islam. Kita pula? Doakanlah mereka sedar akan perbuatan mereka itu tidak menghormati saudara kita, bukan mengutuk. Mereka tidak melakukan perkara haram, tiada bukti pun bahwa mereka menolak hukum Islam, untuk meletakkan mereka di suatu tempat yang setara dengan musuh Islam dan melayakkan perbuatan mereka untuk dikutuk. Semoga mereka juga akan menjadi seperti kita, tidak makan MCD, bukan hanya ketika isu seumpama ini hangat diperkatakan, tetapi berterusan sepanjang masa.

Yakinilah setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Rasululluah SAW bersabda:

"Tidaklah seorang mukmin tertimpa dengan musibah tertusuk duri atau lebih dari itu, kecuali dengannya Allah menghapuskan sebagian daripada dosanya" (HR Bukhari & Muslim)

Allah SWT berfirman:

"Dan apa jua musibah yang menimpamu disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, maka Allah memaafkan sebahagian besar daripada kesalahan-kesalahanmu." (Syura: 30)

Jadi In shaa Allah di sebalik kesengsaraan mereka, adanya hikmah. Itu sebahagian daripada sunnatullah. Kita di sini, bukan tugas kita sekadar repost gambar di facebook atau twitter  sahaja, tapi jauh lebih besar daripada itu. Besar pengajaran yang perlu diambil. Allah SWT telah mengingatkan:

“Dan sesungguhnya kami telah mengutus (rasul-rasul) kepada umat-umat yang sebelum kamu, kemudian Kami seksa mereka dengan menimpakan kesengsaraan dan kemelaratan supaya mereka memohon kepada Allah dengan tunduk merendah diri.” (Al An’am: 42)

Jadi sejauh mana kita menyahut peringatan Allah itu? Jika kita terus berdegil, terus bergelumang dalam maksiat, tidak mustahil musibah yang menimpa akan tiba di bumi Malaysia pula suatu hari nanti. Barangkali turunnya musibah itu untuk 'membersihkan' mereka-mereka yang umpama 'barah' yang bernanah kepada umat Islam.

Sewajarnya, daripada apa yang berlaku, kita perlu berusaha dengan lebih gigih untuk meningkatkan keimanan kita. Bukankah dengan keimanan akan wujudnya rasa persaudaraan sesama Islam yang sebenar? Dengan itu moga-moga kita semua menadah tangan setiap masa mendoakan saudara kita di sana. Mendoakan keselamatan mereka, mendekatkan diri kita kepada Pencipta kita. In shaa Allah.

Jadi teruskan segala usaha baik anda, dalam masa yang sama pertingkatkan keimanan kita sendiri. Agar pabila disoal kelak, apakah yang kita lakukan untuk saudara kita yang sedang di serang, kita punyai jawapan, dan tatkala disoal apakah yang kita lakukan untuk memperbaiki hubungan kita dengan Allah, kita juga punyai jawapan. In shaa Allah..(^_^)

Waktu tamat solat Isyak?

Masuk waktu isyak ialah dengan hilangnya mega merah di ufuk barat (yang menandakan tamatnya waktu solat maghrib). Berakhirnya pula ada dua pandangan di kalangan ulamak;

Pertama; sebelum berakhir sepertiga malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Syafi’e dan Imam Ahmad dan segologan ulamak yang lain.

Kedua; sebelum berakhir separuh malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Abu Hanifah.

Pandangan pertama berdalilkan hadis dari Buraidah r.a. yang menceritakan penjelasan amali (praktikal) Rasulullah s.a.w. tentang waktu solat. Mengenai solat Isyak, Buraidah r.a. menceritakan; “Pada malam pertama Rasulullah s.a.w. melakukan solat Isyak ketika hilang mega merah di ufuk Barat. Di malam kedua pula baginda melakukannya tatkala malam telah berlalu sepertiganya…Kemudian, baginda menjelaskan; “Waktu solat ialah antara dua waktu tersebut”. (Riwayat Imam at-Tirmizi. Kata beliau; hadis ini hasan gharib soheh). Pandangan kedua pula berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Waktu solat Isyak ialah hingga separuh malam” (Riwayat Imam Muslim, Abu Daud dan an-Nasai dari Ibnu ‘Umar r.a.). Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni telah memadankan antara kedua-dua dalil tersebut di mana beliau menegaskan; “Yang utama (yakni yang afdhal) ialah tidak menangguhkan solat Isyak melebihi sepertiga malam. Namun jika ditangguhkan hingga separuh malam hukumnya adalah harus. Adapun selepas itu adalah waktu darurat…” (al-Mughni, 1/275).

Waktu yang dimaksudkan di atas ialah waktu ikhtiyar (waktu pilihan), iaitu waktu diberi keluasan/kelapangan kepada kita untuk memilih pada ketika mana kita ingin mengerjakan solat dalam jarak waktu tersebut walaupun yang afdhalnya ialah kita melakukannya di awal waktu.

Selepas waktu ikhtiyar tersebut, para ulamak berikhtilaf;

Menurut mazhab Hanbali dan Maliki; selepas waktu ikhtiyar itu ialah waktu darurat yang bermula dari sepertiga atau seperdua malam hinggalan terbitnya fajar (masuk waktu subuh). Maksud waktu darurat ialah harus melakukan solat Isyak pada waktu tersebut (tanpa berdosa) bagi orang yang ada keuzuran. Solat Isyak yang ditunaikan dalam waktu darurat itu masih dianggap tunai (bukan qadha), cuma jika dengan keuzuran tidaklah berdosa dan sekiranya tanpa keuzuran akan berdosalah. Kesimpulannya, menurut mazhab Hanbali dan Maliki; tidak harus kita menangguhkan solat Isyak hingga melepasi sepertiga atau separuh malam tanpa sebarang keuzuran. Di antara bentuk keuzuran ialah;
1. Wanita haid; selepas sepertiga/separuh malam barulah darah haidnya kering.
2. Orang kafir yang baru masuk Islam ketika itu
3. Kanak-kanak yang baru baligh ketika itu
4. Orang gila yang baru sedar dari gilanya ketika itu
5. Tertidur; selepas sepertiga atau separuh malam baru terjaga.
6. Sakit; sembuh selepas waktu tersebut.

Adapun menurut mazhab Syafi’ie; selepas waktu ihktiyar itu ialah waktu jawaz (waktu harus), yakni waktu harus untuk melakukan solat walaupun tidak sebaik waktu ikhtiyar tadi. Jadi, menurut mazhab Syafi’ie; waktu ikhtiyar tadi bukanlah bermaksud waktu pilihan secara mutlak (atau secara keseluruhan) tetapi waktu pilihan yang terbaik berbanding waktu berikutnya (yakni waktu jawaz). Waktu pilihan secara keseluruhan ialah selagi belum terbit fajar (yakni masuk waktu subuh). Mazhab Syafi’ie ini berdalilkan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud;

“Tidaklah tertidur itu (dianggap) kelalaian. Kelalaian ialah bagi orang yang tidak menunaikan solat (dengan sengaja) hingga masuk waktu solat yang lain” (Riwayat Imam Muslim).

Hadis ini memberi isyarat kepada kita bahawa waktu solat tidak tamat selagi belum masuk waktu solat yang lain. Maka dinisbah kepada Isyak, waktunya berterusan selagi belum tiba waktu subuh. Secara ringkasnya dalam mazhab Syafi’ie, keseluruhan waktu solat terbahagi kepada empat;

Pertama; waktu terbaik, iaitu di awal waktu.
Kedua; waktu ikhtiyar, iaitu hingga sepertiga waktu.
Ketiga; waktu jawaz (harus), iaitu hingga sebelum tamatnya waktu (yakni sebelum masuk waktu solat yang lain kecuali subuh di mana waktu tamatnya ialah sebelum terbit matahari).
Keempat; waktu hurmah (waktu haram), iaitu menangguh solat hingga ke saat terlalu hujung waktu di mana waktu yang masih tinggal tidak cukup untuk menyempurnakan keseluruhan rakaat solat. Solat jika sempat ditunaikan di dalam waktu sekurang-kurangnya satu rakaat maka ia dikira tunai secara keseluruhannya (sekalipun rakaat selebihnya dilakukan setelah habis waktu). Jika tidak sempat satu rakaat maka keseluruhanya dikira qadha’.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah 1/273-278.
2. Syarh as-Sunnah, Imam al-Baghawi, 1/8-12.
3. Mughni al-Muhtaj, Imam al-Khatib as-Syurbini, 1/173.
4. Al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syeikh Abdur-Rahman al-Jazairi, 1/168.
5. al-Wajiz, Dr. Abdul-Adziem Badawi, hlm. 66.
6. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 100.
7. al-Kifayah Li Zawil-Inayah, Syeikh Abdul-Basit al-Fakhuri, hlm. 56.

Saturday, November 17, 2012

Peringatan Para Ulama' Bagi Mereka Yang Menolak Hukum Allah

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

InsyaAllah kali ini saya akan kongsikan beberapa pesanan para ulama' buat mereka-mereka yang menolak hukum Allah. Renungkan.

Ustaz Abdul Qodir Audah di dalam Kitab Al Islam Wa Audho'una Al-Qanuniyyah menyebutkan "Sesiapa yang menolak hukum Allah atau menegakkan hukum yang lain, maka ia dikira kafir dan tidak ada walaupun sebesar zarah akan keislaman di dalam hati mereka walaupun mereka dinamakan dengan nama-nama Islam dan mendakwa bahawa mereka Muslim."

Ibnu Kathir di dalam Tafsir Ibnu Kathir menyebutkan "Sesiapa yang meninggalkan undang-undang yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan berhukum dengan undang-undang yang lain, maka ia telah kufur kepada Allah SWT. Bagaimana pula hukum mereka yang menggunakan undang-undang ciptaan manusia yang terdapat di dalam kitab Ilyasa'? Mereka juga kufur kepada Allah SWT secara ijma'. "

As-Syahid Sayyid Quthb di dalam Tafsir Fi Zhilalil Quran menyebutkan " Sesiapa pun tidak berhak membuat undang-undang yang lain kecuali Allah SWT. Sesiapa yang cuba melakukan perkara demikian, maka ia telah mencabar ketuhanan atau Uluhiyyah Allah SWT yang paling utama. Mana-mana individu, pertubuhan dan negara yang mencabar Uluhiyyah Allah SWT tersebut, maka ia telah terang-terangan kufur kepada Allah SWT dan perkara ini termasuk ke dalam al-ma'lim minad din bid dhorurah."

Dr Muhammad Abdul Qodir Abu Faris di dalam Kitab An-Nizhom As-Siyasi fil Islami menyebutkan "Wajib ke atas setiap Muslim menggunakan undang-undang Allah SWT dan haram sama sekali berhukm dengan undang-undang ciptaan manusia. Sesiapa yang menolak hukum Allah adalah kafir, manakala sesiapa yang manggunakan undang-undang ciptaan manusia dengan keinginan dan redha, maka ia juga dikira kafir bahkan mereka hendaklah dikenakan hukam bunuh sebagaimana yang dilakukan oleh Saidina Umar."

Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan " Di antara perkara yang berhak dihukum kafir tanda keraguan adalah pemerintah-pemerintah sekular dan pendukung-pendukung parti sekular yang secara terang-terangan menolak syariat Allah SWT dan melaungkan pemisahan negara daripada agama. Apabila diajak kepada hukum Allah SWT, mereka enggan dan ingkar. Lebih dasyat dari itu mereka bertindak melakukan keganasan ke atas orang-orang yang menyeru supaya berhukum dengan syariat Islam atau kembali kepada Islam."