Monday, December 31, 2012

Ambang '13, Islam Dan Jahiliyah

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah..Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga Baginda serta para sahabat.

Alhamdulillah, sudah menjejak 2013. Beranjak selangkah lagi, semakin hampir kepada mati. Namun manusia itu sering lalai, budaya hedonisme disiram dibaja di segenap peringkat masyarakat. Tidak risau akan apa bekalan ke akhirat kelak, lebih parah ada yang tidak terfikir pun dek terlalu sibuk mengejar dunia penuh fatamorgana ini.

Bukanlah ingin turut teruja dengan hadirnya tahun ke 2013 masihi, namun hakikatnya di negara kita ini detik bertukarnya tahun dalam kalendar masihi sudah menjadi suatu perayaan tahunan. Agak terkilan sebenarnya untuk menelan hakikat betapa suramnya di peringkat kebangsaan, penghargaan diberikan sewaktu tahun ke 1434 kalendar hijrah kunjung tiba hampir dua bulan yang lalu jika dibandingkan dengan sambutan malam tadi.

Namun Islam juga tiada larangan secara khusus untuk meraikan ketibaan tahun baru masihi. Lebih-lebih lagi di negara kita yang berbilang kaum. Tidak salah, selagi mana tiada perkara yang diharamkan dalam Islam diterapkan ke dalam perayaan tersebut.

Walaubagaimanapun, jika kita meletakkan penghakiman diri kita dengan adil, rasanya kita semua mampu menilai apa yang berlaku malam tadi. Malam tadi saya duduk di hadapan komputer riba ini, sekejap-sekejap keluar bilik meninjau rancangan-rancangan di kaca tv. Sudah dijangka, adanya siaran langsung sambutan, yang sempat saya tonton sebentar malam tadi di saluran NTV7. Sambutan peringkat kebangsaan tahun baru, di taman tema I-City jika tidak silap. Kesal. Kecewa. Terkilan. Begitulah antara bibit rasa yang timbul. Tidak nampak nilai-nilai Islam. Lebih teruk pelanggaran ajaran murni Islam terlihat dengan agak jelas. Padahal nampaknya pembesar-pembesar negara kita turut ada di sana. Tidak perlulah saya kira untuk diberi penerangan secara terperinci, kerna saya tahu anda sendiri dapat melihat dengan mata kepala sendiri.

Saya berlalu dan kembali duduk di hadapan komputer riba. Sebenarnya sedang menonton satu lagi sambutan ambang 2013 di livestreaming, yang ini diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Subhanallah. Sungguh hebat. Suasana yang jarang dilihat, tidak nampak seorang wanita pun yang tidak menutup aurat. Lebih hebat si kaum adam pula majoriti mereka berkopiah bahkan ada yang melilit serban. Tiada pula penari-penari. Yang ada pun para ustaz antaranya Ustaz Azhar Idrus. Juga beberapa selebriti terkenal turut turun padang. Paling hebat, kemunculan khas Ketua Ulama' Syria, Syeikh Ali As-Soubuni! Allahurabbi!

Syeikh Ali As-Soubuni(duduk)
Sebagai penutup, keseluruhan hadirin yang hadir yang khabarnya mencecah angka 100000 orang, sama-sama mengalunkan Asmaul Husna. Alllahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! kemudiannya kedengaran. Akhirnya dengan diketuai Ustaz Azhar Idrus, para hadirin menadahkan tangan mengaminkan doa beramai-ramai.

Sungguh hebat. Majlis sambutan itu juga dihadiri oleh sebahagian besarnya anak muda. Teringat pula kata-kata Imam Al-Ghazali,

“Sekiranya kamu ingin melihat masa depan sesuatu bangsa, maka lihatlah generasi mudanya.”

Melihatkan para pemuda pemudi yang hadir, terasa sinar Islam itu semakin mekar terutamanya jika dibandingkan dengan sambutan di taman tema I-City.

Sebagai seorang Islam yakni sebaik-baik umat, kita diajar untuk menilai antara yang baik dan yang buruk. Jika kita tahu sesuatu itu jelas akan keburukannya, maka kita tinggalkan. Sebaliknya benih-benih kebaikan kita suburkan.

Mungkin ada yang cuba menyuntik sentimen politik dengan apa yang berlaku, biarkan. Apa yang utama kita lihat yang mana lebih hampir kepada Islam. Ayuh kita bersama mereka. Kita tahu, tiada manusia yang sempurna. Kejadian manusia itu tidak sunyi daripada melakukan kesilapan. Namun kita nilai dengan mata hati, ayuh bersama arus Islam yakni jalan yang benar. Kita bersama orang-orang yang berusaha mengajak ke arah Islam. Allah SWT berfirman:

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (Ali Imran: 104)

Sesungguhnya cahaya Islam dan jahiliyah itu ada perbezaannya yang nyata. Sama-samalah kita berusaha membersihkan diri dan mengamalkan nilai-nilai Islam dalam segenap urusan.

Bersama mengejar redha Ilahi.


Sunday, December 30, 2012

Kenapa Ku Ingin Bernikah


Kerna ku ingin salur penglihatanku ini menatap seorang insan istimewa yang halal bagiku, dan mensyukuri anugerah terindah itu daripada Mu duhai Sang Pencipta.

Kerna batin ini dahagakan kasih sayang daripada seorang insan yang mendambakan cintanya kepada Sang Pencipta, dan cintanya terhadapku adalah berlandaskan cintanya kepada Mu Ya Allah.

Kerna ku impikan seorang insan yang sentiasa disisi untuk berkongsi bibit kebahagiaan lantas bersama dalam memuji-muji Mu Sang Pencipta, jua seorang insan untukku berkongsi air mata lantas menadah tangan bersama dalam memanjatkan doa kepada Mu Sang Pencipta, dia mengukir cintanya kepada Mu Ya Allah dengan kehadiranku disisi.

Kerna naluri ini ingin sekali memiliki zuriatku sendiri untuk ku besarkan dengan kasih sayang dan beri sepenuh perhatian, bersama anugerah terindah seorang isteri daripada Mu Sang Pencipta.

Kerna ku ingin merasai keindahan ciptaan Mu Sang Pencipta, dan membesar-besar akan nama Mu bersama insan yang telah tertulis untukku sejak azaliku.

Kerna sungguh, dengan hadirnya seorang teman yang halal, hidupku, segenap penjuru amalku bersama sang teman, akan menjadi halal di sisi Mu Sang Penciptaku, dan tlah ku sempurnakan sebahagian imanku.

Dan kerna diri ini jua merupakan anugerah daripada Mu Ya Rabbi, anugerah untuk hambamu yang lainnya, dan izinkanku untuk biarkan dia merasai cinta teragung Mu Ya Allah, melalui diri ini.

Thursday, December 27, 2012

Oley Kembali!

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga serta para sahabat Baginda.

Suatu ketika dahulu filem pendek bertajuk Oley menjadi tajuk bualan seketika. Dengan kemunculan istimewa  Mat Luthfi.



Kini Oley kembali! Oley 2!

Kali ini ia tampil berdurasi lebih panjang dengan dua episod!
Lebih padat informasi!
Alhamdulillah. Usaha-usaha seperti ini sepatutnya dipergiatkan dalam memperkenalkan Islam di mata rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Baiklah, jika anda berkelapangan, saya sarankan anda saksikan video ini. Episod 1 dan Episod 2!
Episod 1

Episod 2

Saya ada melihat beberapa komen tentang video ini di laman youtube. Ada yang menempelak video ini sebagai suatu agenda politik. Tuduhan seumpama itu bagi saya selayaknya kita abaikan kerana jika kita menonton dan mengikuti media-media massa yang lain sekalipun, sudah lumat mereka dipergunakan sebagai wasilah menyebarkan kepentingan politik masing-masing.

Bagi saya, kita ketepikan segala yang berbaur politik itu, jika anda merasakan politik itu suatu unsur terlalu sensitif. Sebagai seorang muslim, kita sepatutnya bercita-cita agar negara kita tercinta, pada suatu hari nanti akan mempunyai suasana yang sedemikian. Suasana yang bersulamkan nilai-nilai Islam. Mungkin kita merasakan ianya mustahil, barangkali kerna kita tidak pernah didedahkan dengan senario sedemikian rupa. Pun begitu, kita wajib berusaha ke arah mengislahkan negara kita di setiap peringkat, diri kita sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan akhirnya menyumbang kepada pengislahan seluruh alam ini.

Tidak kira di bawah pimpinan sesiapa, mana-mana parti, kita seharusnya sama-sama mendoakan negara kita pada suatu hari nanti benar-benar mengamalkan ajaran Islam. Kerna Allah SWT telah memberi peringatan keras untuk undang-undangNya dijalankan:

"Dan barang siapa yang tidak menghukum menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang kafir." (Al-Maaidah: 44)


Mudah-mudahan, apa yang digambarkan dalam filem pendek itu akan menjadi kenyataan suatu hari nanti. Aminn.

Bersama mengejar redha Ilahi.

Tuesday, December 25, 2012

Ceritera Banjir 25/12/12

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Masih bernyawa walaupun baru sahaja selesai melalui bencana banjir.

Begitulah saban tahun pabila musim tengkujuh kunjung tiba, kami penghuni Pantai Timur Semenanjung Malaysia, seringkali dilanda banjir.

Pada hakikatnya banjir sememangnya merupakan suatu bencana alam. Namun begitu, bagi sebahagian besar daripada kami, ianya sudah menjadi suatu kebiasaan. Alah bisa tegal biasa. Bahkan banjir merupakan suatu pesta yang dinantikan setiap tahun. Jika tidak percaya, cuba lihat status-status facebook anak-anak Pantai Timur yang berada di perantauan ketika musim banjir, pasti mereka menyuarakan keinginan untuk kembali ke kampung untuk "bermain air". Ianya umpama taman tema air tahunan bagi kami. Di tambah pula air yang membanjiri itu datang dari hulu, datang dari bukit, air yang amat kurang tercemar dengan bahan-bahan toksik. Berbeza dengan banjir kilat, yang sering melanda bandar-bandar besar. Banjir kilat berlaku biasanya lantaran daripada saluran-saluran yang tersumbat. Air bertakung. Air yang bertakung bercampur dengan pelbagai sisa domestik mahupun sisa kimia menjadikannya merbahaya.

Walaubagaimanapun, banjir ini boleh bertukar menjadi bencana yang benar-benar digeruni jika ianya terlalu teruk. Nampaknya, pada tahun ini, begitulah yang terjadi, sebahagian besar penduduk Pantai Timur dilanda mimpi ngeri. Terutamanya negeri saya sendiri, Terengganu dan lebih spesifik, di daerah Besut.

Alkisahnya, di kawasan Hulu Besut ini terdapat dua empangan utama untuk menampung bekalan air kepada para pesawah pada musim kemarau. Empangan Jajar dan Empangan Paya Peda. Sebenarnya Empangan Paya Peda ini masih dalam proses pembinaan, belum siap sepenuhnya. Jadi pada tahun ini, dengan kuasa Allah SWT, hujan yang turun begitu luar biasa. Sehingga akhirnya Empangan Paya Peda terpaksa dipecahkan untuk mengelakkan banjir yang lebih buruk.

Cuba bayangkan anda menadah air di dalam sebuah basin besar, dan kemudian anda pecahkan dinding basin itu dan biarkan air mengalir keluar. Kawasan yang dilalui air itu anda bayangkan sebagai kampung-kampung sekitar empangan. Begitulah ceritanya secara analogi. Air yang mengalir itu pula akan terus mengalir melalui sungai-sungai utama dan akhirnya sampai ke lautan. Apabila sungai-sungai itu menerima arus yang berlebihan air akan melimpahi tebing dan berlakulah banjir.

Baiklah, apabila Empangan Paya Peda dipecahkan maka kampung-kampung sekitar dilanda banjir yang luar biasa besarnya. Seorang kenalan ibu saya yang tinggal di sebuah kampung berdekatan empangan itu apabila dihubungi menyatakan "Kami karam". Apabila dihubungi beliau memberitahu sedang berada di suatu kawasan tinggi, di dalam kereta, bersama keluarga, rumah mereka sudah ditenggelami air, hanya bumbung sahaja yang kelihatan.

Air itu akan terus mengalir menuruni hulu hingga ke hilir sebelum ke destinasi akhir iaitu lautan. Kampung saya sendiri, merupakan satu daripada kawasan laluan air. Ayah saya menjangkakan kampung kami akan dilanda banjir besar sekali lagi, namun Alhamdulillah dengan kebesaranNya, pada tahun ini air itu tidak sepenuhnya melalui kampung kami. Sebaliknya lebih banyak melalui suatu kawasan laluan air yang lain. Tambahan pula kampung saya ini merupakan kawasan laluan air untuk Empangan Jajar. Jika Empangan Jajar yang pecah, barangkali banjir seumpama itu juga yang akan melanda kampung ini. Nauzubillahiminzalik.

Jadi di kampung saya, banjir tidaklah begitu teruk. Meskipun begitu banjir yang melanda cukup untuk memutuskan hubungan kampung kami dengan dunia luar buat seketika. Berikut antara gambar-gambar sekitar rumah yang sempat diambil siang tadi.

Jalan utama kampung bertukar menjadi sungai.
Haiwan juga menyelamatkan diri.

Jadi alhamdulillah kampung saya tidak begitu teruk. Namun bagi yang begitu terkesan akan bencana kali ini, moga bersabar dengan apa yang berlaku. Allah berfirman:

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya" (Al-Baqarah: 286)

Sentiasalah berwaspada. Ingatlah orang yang tersayang.^^

Saturday, December 22, 2012

Benarkah bosan?

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah dengan izinNya kita masih bernyawa di muka bumi ini yang jua milikNya.

Baru sahaja beberapa hari yang lalu saya menerima suatu berita yang amat mendukacitakan. Namun perjalanan di alam fana ini perlu diteruskan. Tiada guna terus-terusan bersedih. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Hilangnya sesuatu itu pasti berganti dengan sesuatu yang lain yang lebih baik untuk diri kita. Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Mengetahui.

Usai urusan pagi hari ini, terdetik di hati kecil ini untuk menjenguk blog ini. Terdetik juga kemudiannya untuk mencoret satu lagi entri. Berbekal pengharapan dapat memberikan sekecil-kecil mahupun sebesar-besar kebaikan, dari mana-mana sudut yang mungkin. Moga semua ini menjadi tabung-tabungan saya sebagai bekal ke akhirat nanti. Kalian jua. Mudah-mudahan.

Musim cuti seumpama sekarang, ramai antara kita, yang merupakan pelajar kebanyakannya, meluahkan rasa bosan dengan cara yang tersendiri lantaran tiada suatu perkara yang perlu dilakukan. Tiada yang perlu dilakukan kerana sekolah sedang bercuti, UPSR, PMR dan SPM sudah berlalu, sedang bercuti semester, baru lepas final exam dan sebagainya.

Setiap kali kenyataan-kenyataan seumpama itu terlihat dek pandangan saya, saya sedikit terkilan. Assyahid Imam Hasan Albana berpesan;

“Kewajipan kita adalah lebih banyak daripada waktu yang kita ada, oleh itu bantulah saudaramu tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah pelaksanaannya”.

Jadi, bagaimanakah kita boleh mengatakan bahawa kita merasa bosan? Kewajipan yang kita ada adalah lebih banyak daripada waktu yang kita ada. Segeralah memohon keampunan dari Allah atas tanggungjawab-tanggungjawab kita yang telah terbiarkan. Sahabat-sahabat, kita ini umat Islam akhir zaman. Setiap daripada kita memikul tanggungjawab yang cukup besar untuk memartabatkan Islam. Kita bukan hidup untuk kepentingan diri kita sahaja. Setiap detik masa yang berlalu sepatutnya digunakan untuk menegakkan kalimah Lailahaillah!

Kita tidak sepatutnya merasa bosan tatkala wujud masa terluang. Gunakan setiap detik yang berlalu dengan perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan. Jangan sesekali kita membazir masa. Amatlah rugi seseorang yang membazirkan minit-minit dalam hidupnya kerana minit-minit yang berlalu itu tidak mungkin akan kembali. Imam Ibn Qayyim ada berkata;

“Sesungguhnya membuang masa adalah lebih dahsyat daripada kematian kerana membuang masa memisahkan kita dari Allah dan akhirat manakala kematian hanya memisahkan kita dari dunia dan seisinya”.

Tiada seorang pun antara kita yang terlepas dari melakukan perkara tercela. Namun sebaik-baik dari segala kemaksiatan itu ialah mereka yang memohon keampunan. Jadi mohonlah keampunan atas waktu-waktu kita yang telah dibazirkan. Tanamkan azam dalam dada untuk sentiasa manfaatkan masa. Di kala kita disoal kelak akan apa yang kita kerjakan sewaktu masa muda kita, biarlah kita dapat menjawab dengan tenang. Mudah-mudahan.

Saya berharap selepas ini saya tidak akan terserempak lagi dengan kalimah "bosannyaa" atau "boringnyaa" dan seumpamanya. InsyaAllah.

Bersama mengejar redha Ilahi.


Friday, December 7, 2012

Pengajaran Solat Jumaat

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga serta para sahabat Baginda.
Saya hormati usaha untuk dedahkan anak-anak kecil tentang solat berjemaah dengan membawa mereka ke masjid. Pada saya ia merupakan suasana yang cukup sihat. Meskipun ada yang masih belum tahu bersolat, namun para kaum bapa ini tetap membawa bersama anak-anak kecil mereka ke masjid. Pada asasnya hukum membawa anak kecil ini adalah sunat, akan tetapi ia boleh bertukar mengikut keadaan:

1- Sunat ; kiranya dapat mendidik mereka menjiwai solat berjemaah dan menyukai masjid sebagai pusat ukhwah dalam masyarakat.

2- Harus ; kiranya mereka sudah mumayyiz, tidak mencetus gangguan dan boleh dikawal.

3- Makruh, bahkan Haram ; kiranya mereka boleh mengganggu jemaah yang sedang solat, mencetus kekacauan dan menimbulkan fitnah serta perbalahan sesama ahli jemaah.

Yang menjadi masalah ialah jika anak-anak kecil itu di luar kawalan. Saya cukup kesal tentang perkara ini. Tadi di masjid, bermula dari rakaat pertama hingga ke salam solat jumaat minggu ini diiringi tangisan dan lolongan seorang anak kecil. Masjid di kampung ini boleh dikira agak kecil dan suara anak kecil itu boleh didengar di setiap pelusuk masjid. Tentu sekali, saya sendiri, bahkan ramai lagi yang menemui kesukaran tambahan untuk mencari khusyuk solat dengan gangguan sedemikian.

Jadi cadangan saya, jika ingin membawa anak-anak kecil ini ke masjid, pastikan mereka menerima didikan sewajarnya dahulu di rumah. Biar mereka tahu sekurang-kurangnya, jika ibu bapa mereka sedang solat, mereka perlu senyap seketika, tidak menangis dan mengganggu. Jika tidak dididik sedemikian, mungkin tiap kali ibu bapa mereka bersolat mereka fikir mereka tidak dipedulikan.

Bila mana mereka sudah mula mengerti, saya percaya tatkala para ibu bapa mereka bersolat, mereka tidak akan menangis atau menggangu. Mereka sudah terbiasa, bila melihat pergerakan-pergerakan dalam solat, mereka perlu senyap dan menunggu seketika.

Janganlah disebabkan kita, para jemaah kehilangan fokus dan hilang khusyuknya. InsyaAllah pesanan ini untuk semua. Yang sudah menjadi ibu bapa mahupun yang bakal tidak lama lagi.

Moga bermanfaat.

Salam Jumaat.^^

Monday, December 3, 2012

Hantu KPOP

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Atas segala nikmatNya kita masih bernyawa. Alhamdulillah.

Seperti yang tertera di tajuk nun di atas, entri kali ini saya ingin sentuh tentang penggemar-penggemar KPOP. Saya kira secara umumnya semua sedia maklum akan apa itu KPOP. Jadi tidak perlulah saya mengulas tentangnya.

Beberapa tahun kebelakangan ini, kegilaan KPOP ini semakin menular dalam kalangan masyarakat negara kita. Tanpa niat untuk menyalahkan anasir sekularisme yang kian subur di negara tercinta kita ini, hingga sebahagian besar dari kita menjadi 'lali dengan dosa', saya cuma ingin mengingatkan tentang pemasalahan ini, dengan harapan hasilnya akhir nanti, akan ada hati-hati yang mula terdetik untuk berhijrah ke arah kebaikan. InsyaAllah.

Jadi bagaimana hari ini begitu ramai sekali, dalam kalangan remaja terutamanya, perempuan lebih-lebih lagi, begitu menggilai orang-orang Korea ini? Secara jelasnya, pernah saya lihat dengan mata kepala sendiri, alasan mereka pelakon dan penyanyi Korea ini mempunyai wajah yang sungguh 'kawaii' dan badan yang begitu solid. Apakah ini? Bukankah Islam menyuruh kita menjaga pandangan?

Ramai kaum hawa lazimnya mengatakan hanya kaum adam yang perlu menundukkan pandangan. Katanya kaum adam yang sering mudah tergoda. Ada yang hanya berkata sesedap rasa sahaja. Ada juga yang berpaksikan potongan ayat berikut:

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (AnNur: 30)

Baiklah, tidak syak lagi, kaum lelaki sememangnya wajib menjaga pandangan. Namun Islam itu indah. Tidak berat sebelah. Penuh dengan hikmah yang disalurkan menerusi AlQuran dan AlHadis. Buktinya, hayati ayat berikutnya ini, sambungan ayat di atas:

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (AnNur: 31)

Tidakkah jelas di situ bahawa kaum wanita juga perlu menjaga pandangan? Adakah artis-artis Korea kegilaan anda itu, yang anda tatapi hari dan malam itu, halal bagi anda?

Di sini sebenarnya, tidak timbul isu jantina. Lelaki atau perempuan, sama sahaja. Bahkan saya mempunyai sahabat-sahabat lelaki yang turut meminati KPOP ini atas alasan yang tersendiri.
Saya cukup kesal, saya pernah bersekolah di sekolah agama dan punyai ramai kawan yang bersekolah di sekolah agama. Sayang sekali bila adakalanya melihatkan penampilan sungguh muslimah,tiada cacat celanya, namun hantu KPOP rupanya. Kenapa begitu? Sayang seribu kali sayang. Saya tidak salahkan penampilan anda, namun mengapakah biarkan hati memuja yang tidak halal? Islam menegah perkara itu. Bukankah Islam mengajar kita untuk mempraktikkan ajarannya yang murni dalam setiap apa yang kita kerjakan? Tidakkah dengan anda berbuat begitu, anda menafikan ayat berikut:

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (Al-Baqarah: 208)

Perempuan dan lelaki sama sahaja. Yang perempuan meminati pelakon lelaki, yang lelaki meminati pelakon perempuan. Tidak perlu saya utarakan tentang pemakaian para artis Korea ini yang jelasnya tidak menutup aurat. Mungkin ada yang memberi alasan bahawa mereka tidak berniat untuk menatapi aurat yang ditayangkan, namun ingatlah syaitan itu musuh kita yang nyata, setiap saat syaitan akan mengajak kita menuruti mereka. Oh anda perlu sentiasa tahu, perancangan syaitan itu sungguh kotor lagi licik. Jangan kita tersuntik oleh jarum-jarum terkutuk mereka sehingga kita lali dengan dosa!

Perkara ini tidak terikat kepada KPOP sahaja sebenarnya. Bahkan mana-mana individu yang anda minati. Anda mungkin rasakan tiada salahnya. Namun ambil masa dan renungkan kembali, kenapakah anda begitu meminati mereka? Meminati itu tidak salah, namun jangan kerana minat itu kita semakin jauh daripada Allah!

Di sini saya sertakan satu video yang suungguh-sungguh menghancurkan hati saya tatkala melihat saudara seIslam saya telah pergi sejauh ini gara-gara orang-orang Korea ini. Tidak tahu untuk menyalahkan siapa, namun saya mohon, jauhilah perkara ini. Jika terdetik satu titik redha, apalagi menyukai perkara ini, cepat-cepatlah beristighfar.



Peringatan ini peringatan bersama. Peringatan untuk anda dan lebih-lebih lagi diri saya.

Bersama mengejar redah Ilahi.^^