Saturday, December 22, 2012

Benarkah bosan?

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah dengan izinNya kita masih bernyawa di muka bumi ini yang jua milikNya.

Baru sahaja beberapa hari yang lalu saya menerima suatu berita yang amat mendukacitakan. Namun perjalanan di alam fana ini perlu diteruskan. Tiada guna terus-terusan bersedih. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Hilangnya sesuatu itu pasti berganti dengan sesuatu yang lain yang lebih baik untuk diri kita. Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Mengetahui.

Usai urusan pagi hari ini, terdetik di hati kecil ini untuk menjenguk blog ini. Terdetik juga kemudiannya untuk mencoret satu lagi entri. Berbekal pengharapan dapat memberikan sekecil-kecil mahupun sebesar-besar kebaikan, dari mana-mana sudut yang mungkin. Moga semua ini menjadi tabung-tabungan saya sebagai bekal ke akhirat nanti. Kalian jua. Mudah-mudahan.

Musim cuti seumpama sekarang, ramai antara kita, yang merupakan pelajar kebanyakannya, meluahkan rasa bosan dengan cara yang tersendiri lantaran tiada suatu perkara yang perlu dilakukan. Tiada yang perlu dilakukan kerana sekolah sedang bercuti, UPSR, PMR dan SPM sudah berlalu, sedang bercuti semester, baru lepas final exam dan sebagainya.

Setiap kali kenyataan-kenyataan seumpama itu terlihat dek pandangan saya, saya sedikit terkilan. Assyahid Imam Hasan Albana berpesan;

“Kewajipan kita adalah lebih banyak daripada waktu yang kita ada, oleh itu bantulah saudaramu tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah pelaksanaannya”.

Jadi, bagaimanakah kita boleh mengatakan bahawa kita merasa bosan? Kewajipan yang kita ada adalah lebih banyak daripada waktu yang kita ada. Segeralah memohon keampunan dari Allah atas tanggungjawab-tanggungjawab kita yang telah terbiarkan. Sahabat-sahabat, kita ini umat Islam akhir zaman. Setiap daripada kita memikul tanggungjawab yang cukup besar untuk memartabatkan Islam. Kita bukan hidup untuk kepentingan diri kita sahaja. Setiap detik masa yang berlalu sepatutnya digunakan untuk menegakkan kalimah Lailahaillah!

Kita tidak sepatutnya merasa bosan tatkala wujud masa terluang. Gunakan setiap detik yang berlalu dengan perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan. Jangan sesekali kita membazir masa. Amatlah rugi seseorang yang membazirkan minit-minit dalam hidupnya kerana minit-minit yang berlalu itu tidak mungkin akan kembali. Imam Ibn Qayyim ada berkata;

“Sesungguhnya membuang masa adalah lebih dahsyat daripada kematian kerana membuang masa memisahkan kita dari Allah dan akhirat manakala kematian hanya memisahkan kita dari dunia dan seisinya”.

Tiada seorang pun antara kita yang terlepas dari melakukan perkara tercela. Namun sebaik-baik dari segala kemaksiatan itu ialah mereka yang memohon keampunan. Jadi mohonlah keampunan atas waktu-waktu kita yang telah dibazirkan. Tanamkan azam dalam dada untuk sentiasa manfaatkan masa. Di kala kita disoal kelak akan apa yang kita kerjakan sewaktu masa muda kita, biarlah kita dapat menjawab dengan tenang. Mudah-mudahan.

Saya berharap selepas ini saya tidak akan terserempak lagi dengan kalimah "bosannyaa" atau "boringnyaa" dan seumpamanya. InsyaAllah.

Bersama mengejar redha Ilahi.


No comments:

Post a Comment