Friday, January 18, 2013

Kitar hidup seorang hamba.

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga serta para sahabat Baginda.

Seseungguhnya masa itu bernilai, menyedari akan hakikat itu maka saya cuba untuk penuhi sudut-sudut lapang ini dengan menambah lagi entri. Saya kira ada baiknya untuk mempelbagaikan rutin harian selagimana ianya bermanfaat. Mudah-mudahan.

Teringat beberapa tahun yang lalu, masih di bangku ingat-ingatan yakni bangku persekolahan, ketika itu saya sedang mengikuti satu kem PMR, seorang speaker ini, maaf saya benar-benar lupa siapa individu itu, yang pasti seorang yang terserlah benar karisma beliau, memberikan suatu analogi tentang kehidupan yang saya ingat jelas jernih sehingga saat ini. Berbekas benar.

Analogi yang diberikan berkaitan dengan kitaran hidupan rama-rama.




Bermulanya dengan telur, kemudian lahirlah ulat beluncas. Setelah beberapa ketika bergelar ulat beluncas maka ulat beluncas itu akan bertukar menjadi pupa. Akhirnya pupa akan membawa kepada lahirnya sang rama-rama. Ringkas bukan, senang difahami juga saya percaya. Peringkat-peringkat kitaran itu digambarkan oleh speaker tersebut sebagai peringkat-peringkat hidup kita.

Bayangkan kita adalah telur-telur berkenaan. Pernahkah kita lihat telur rama-rama? Secara jujur berapa ramai antara kita yang pernah terlihat telur rama-rama ini? Jika pernah sekalipun, berapa kerapkah? Amat jarang bukan? Itulah yang cuba disampaikan, tidak ramai yang sedar akan wujudnya telur-telur ini. Namun adakah telur-telur itu tidak penting? Saya tinggalkan kepada anda untuk menjawab.

Kemudian ulat beluncas. Soalan saya, berapa ramai antara kita yang sukakan si ulat beluncas ini? Mungkin ada kalangan kita yang gemar memerhati, namun saya percaya amat sedikit bilangannya yang berani menyentuh apalagi membiarkan ulat beluncas ini meneroka kulit mulus kita. Maksud kata di sini, ulat beluncas ini begitu dibenci sekali. Meskipun begitu, jika ulat beluncas ini tiada, bolehkah kitaran hidup ini dilengkapkan?

Maju terus, pupa pula. Pupa ini ceritanya hampir sama dengan telur-telur dan ulat beluncas. Cuma lebih mudah dijumpai berbanding telur dan kurang sedikit dibenci berbanding ulat beluncas. Tetapi masih, pupa ini jarang diberi perhatian. Juga jarang ada orang yang berminat akan pupa ini. Rupanya tiada yang menarik. Walaubagaimanapun, jika pupa ini tidak wujud, maka si rama-rama tidak akan pernah wujud. Pupa ini suatu peringkat wajib dalam kitaran itu.

Akhirnya rama-rama. Siapa tidak kenal rama-rama? Saya musykil asal-usul anda jika anda kata tidak kenal rama-rama atau tidak pernah lihat rama-rama. Jika tidak lihat rama-rama sebenar sekalipun saya yakin gambar-gambar rama-rama ini cukup terkenal. Terkenal dalam animasi dan cukup masyhur di mana-mana. Menjadi agen pendebungaan yang cukup penting dan tentunya menyejukkan mata memandang.

Baiklah. Sekarang cuba renungkan, jika saya minta untuk ada letakkan di mana anda dalam peringkat kitaran itu, mungkin masing-masing punyai jawapan tersendiri.

Saya tidak risau jika anda adalah rama-rama. Anda hebat. Anda menyenangkan banyak orang. Namun selain dari itu, jika anda adalah telur-telur, jika anda adalah ulat beluncas dan jika anda pupa, jangan rasa rendah diri.

Jangan sesekali berputus asa. Cukup menyedihkan wujudnya individu merasakan diri tidak berguna lagi. Merasakan diri hina dan dibenci. Jangan begitu. Hayati dengan sebenar-benarnya firman Allah SWT ini:

" Janganlah kamu rasa terhina dan sedih padahal kamulah yang tinggi selagi kamu beriman." (Ali Imran: 139)

Dalam masa yang sama, umat sekeliling tidak seharusnya menghukum. Carilah hikmah dan salurkan hikmah-hikmah itu dengan cara termampu. Jika tidak mampu sekalipun usah disuntik jarum-jarum berbaur kejahatan dan kekotoran.

Ketahuilah pintu taubat itu merupakan seluas-luas pintu. Dalam masa yang sama, begitu mudah juga untuk kita terpanggil dengan hasutan-hasutan syaitan.

Jangan menghina jika kita rasa diri kita benar kerna risau kita dalam tidak sedar memenangkan syaitan. Mungkin orang yang kita hina itu sedang bertatih ke jalan taubat kita tidak tahu.

Kita boleh membenci perbuatan yang tidak baik, namun jangan dibenci batang tubuh si pelaku itu kerna berupa apa pun si pelaku itu ciptaan Allah.

Demikian juga bagi yang sering gagal. Usah berputus asa daripada rahmat Allah. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Ingatlah pesan Allah;

“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.”(Surah al-Insyirah: 5-6)

Mungkin kita sudah kerap sekali mendengar perbandingan hidup ini umpama roda, sekejap di atas sekejap di bawah. Demikian jua perbandingan ini, cuma barangkali lebih spesifik.

Usah dibiar resah gelisah beraja di hati. Dibenci, sering gagal dan seumpamanya. Biarkan. Allah mendengar dan melihat. Kudrat kita ialah memperbaiki diri hari demi hari sedikit demi sedikit. Kita tidak tahu, akan tiba suatu saat dalam hidup kita, kita menjadi sang rama-rama.

Moga-moga mendapat sesuatu.

Bersama mengejar redha Ilahi.



Thursday, January 17, 2013

Prihatin Tak Prihatin

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga Baginda serta para sahabat.

Sudah hampir seminggu tak jenguk langsung blog ini. Niat di hati itu memang nak tambah entri baru tapi apakan daya internet di rumah sudah kehabisan kuota. Jadi baru hari ini berkesempatan untuk online. Terkejut juga dengan isu hangat baru berkaitan #listen itu. Namun saya tidak akan berbicara mengenainya, saya tinggalkan kepada anda untuk menilainya.

Baiklah perkara yang ingin saya utarakan kali ini berkisar tentang tahap keprihatinan rakyat Malaysia. Genap seminggu yang lalu, nak dijadikan cerita, saya, ibu saya, adik saya, ibu saudara saya serta seorang sepupu berusia tiga tahun sedang dalam perjalanan dari Besut ke Kuala Terengganu. Setelah lebih sejam perjalanan tiba-tiba kereta yang dipandu oleh ibu saudara saya mengalami kerosakan. Rosaknya tidaklah teruk. Saya dan ibu saudara saya cuba membaiki yang mana termampu. Namun tetap kereta itu tidak boleh dipandu. Shock absorber mengalami kerosakan. Sudah tiada harapan.

Shock absorber (gambar hiasan)
Kawasan kereta mengalami kerosakan itu merupakan suatu kawasan yang agak kurang pembangunan. Sebelah kiri lembah dan sebelah kanan ada perkampungan kecil. Meskipun begitu kami amat bersyukur kerana lebih kurang 100meter sahaja dari kawasan kerosakan dialami itu berdiri sebuah hentian bas. Hentian bas tersebut nyata tidak digunakan manusia, melalui pemerhatian ia menjadi tempat berteduh bagi lembu-lembu dan kambing-kambing yang berkeliaran. Tahi terpalit di sana-sini.

Kereta dibiarkan tersadai di tepi jalan, namun cukup ruang untuk kereta lain melalui kawasan itu meskipun bahu jalan amat sempit. Saya pasang segi tiga kecemasan dan letak dibelakang kereta agar pemandu lain dapat melihat kereta kami dari jauh.

Di bahagian inilah datangnya kesan yang begitu mendalam pada diri saya. Kami tiada pilihan lain melainkan menunggu bapa saudara saya datang dari Kuala Terengganu. Sepanjang penantian kami hampir sejam, tiada seorang pun berhenti dan bertanya khabar. Tidaklah saya berharap sesiapa untuk berhenti cuma bolehlah dari situ kita nilai sejauh mana tahap keprihatinan masyarakat. Secara jujur juga saya tidak mengharapkan sesiapa untuk membantu membaiki kerosakan itu ketika itu lantaran bapa saudara saya sudah dalam perjalanan. Hampir sejam kemudian bapa saudara saya sampai bersama seorang lagi bapa saudara saya. Setelah didiagnosis shock absorber yang mengalami kerosakan memang perlu ditukar. Jadi seorang bapa saudara saya kembali ke Kuala Terengganu dan seoarang lagi tunggu di hentian bas itu bersama kami.

Secara matematik kami tahu penantian akan berlarutan selama paling kurang dua jam lagi untuk Pak Cop, bapa saudara saya kembali ke Kuala Terengganu dan datang ke tempat kami semula bersama shock absorber baru. Kami menunggu dengan tabah. Sekali lagi penantian kami secara tidak langsung menjadi medium ujikaji sejauh mana keprihatinan para pemandu, ratusan pemandu yang melalui kawasan itu. Mengecewakan. Tiada seorang pun berhenti. Tidak kurang lima kali kenderaan polis melalui kawasan itu namun tidak satu pun berhenti, tidak walaupun hanya untuk bertanya khabar. Di hati kecil ini terdetik rasa kesal.

Akhirnya berhentilah sebuah kenderaan dan keluar si pemandunya bertanyakan keadaan kami malah turut menawarkan pertolongan. Kami secara lembut menolaknya kerana apa yang perlu kami buat hanyalah tunggu Pak Cop. Lelaki yang berhenti bertanya khabar itu merupakan seorang berbangsa Cina. Terpana seketika. Untuk pengetahuan komuniti Cina di kawasan ini amatlah kecil bilangannya, barangkali itulah sebabnya setelah lama menunggu barulah ada yang berhenti bertanya khabar. Nak diharapkan bangsa sendiri, terbukti di depan mata tidak ada pada hari itu yang cukup prihatin untuk berhenti bertanyakan khabar. Dalam hati saya terharu dengan tindakan lelaki berbangsa Cina itu, pada masa yang sama terkilan juga.

Terkilan untuk menelan hakikat bahawa individu yang bertanyakan khabar itu berbangsa Cina. Dalam keterharuan akan tindakan mulia beliau itu, saya terkilan kerana masyarakat Melayu, bangsa saya sendiri, saudara seIslam, tidak ada yang berkesanggupan. Lantas saya teringat suatu hadis ringkas berbunyi:

Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain (HR. Ahmad, Thabrani, Daruqutni. Dishahihkan Al Albani dalam As-Silsilah As-Shahihah)

Tiadakah seorang pun dari mereka yang benar-benar menghayati potongan hadis itu. Dalam suatu riwayat lain pula, lebih panjang;

Setiap persendian manusia diwajibkan untuk bersedekah setiap harinya mulai matahari terbit. Berbuat adil antara dua orang adalah sedekah. Menolong seseorang naik ke atas kendaraannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas kendaraannya adalah sedekah. Berkata yang baik adalah sedekah. Begitu pula setiap langkah berjalan untuk menunaikan shalat adalah sedekah. Serta menyingkirkan suatu rintangan dari jalan adalah sedekah. (HR. Bukhari)

Kesal pada hari itu, bercampur kepenatan menunggu berjam-jam lamanya di hentian bas itu. Saya cuba untuk berlaku adil, saya letakkan diri saya sebagai pemandu-pemandu pada hari itu dan saya renungkan, adakah saya akan berhenti untuk bertanya khabar paling tidak jika saya melihat situasi sama berlaku? Saya terkejut kerana jawapan yang diberikan oleh diri saya sendiri meragukan. 

Kekesalan bertambah-tambah. Saya pada hari itu sedikit sebanyak bermuhasabah diri sejauh mana keprihatinan diri. Tidak perlu kita persoal dan mengutuk tindakan sesiapa yang kita rasa tidak wajar, lebih aula untuk kita perbaiki diri dari semasa ke semasa. Di sebalik segala kebejatan yang berlaku pada hari itu, saya memanjatkan kesyukuran kerna diberi peluang untuk berada dalam keadan seumpama itu dan bermuhasabah diri. Moga diri ini menjadi individu yang lebih prihatin dan bertanggungjawab, anda juga, mudah-mudahan. Lantas menyahut seruan Allah SWT:

Jika kalian berbuat baik, sesungguhnya kalian berbuat baik bagi diri kalian sendiri (Al Isra': 7)

Bersama mengejar redha Ilahi.




Thursday, January 10, 2013

Waspada dengan repost!

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga Baginda serta para sahabat.

Subhanallah, subhanallah, subhanallah.
Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.
Allahuakbar, allahuakbar, allahuakbar.

Rasanya sudah agak lama tidak jenguk blog, barangkali agak sibuk. Semalam baru sahaja selesai dengan majlis solat hajat di rumah moyang di Kuala Terengganu. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar.

Kali ini cuma nak bercerita sikit tentang fenomena 'share' di laman sosial terutamanya di facebook. Secara peribadi saya paling kerap online di facebook maka di situlah paling kerap saya amati perkara ini.


Melalui pemerhatian saya, ada beberapa ketika saya terbaca repost daripada kenalan-kenalan di facebook, saya perasan mutiara kata atau petikan kata-kata yang diposkan itu tidak begitu melambangkan keperibadian Islam itu sendiri. Saya risau jika pos-pos seumpama itu dibaca oleh kenalan-kenalan bukan muslim dan memberikan fahaman yang menyimpang tentang Islam. Saya risau melalui penilaian mereka, apa yang diposkan oleh seorang muslim maka itulah yang diajarkan oleh Islam. Jika apa yang kita kongsikan itu tidak benar, lebih teruk jika bertentangan dengan ajaran Islam, maka fahaman mereka juga akan menjadi tidak seperti yang sepatutnya.

Sebagai contoh paling mudah, kita kerap sekali terserempak dengan pos-pos tentang cinta dalam kalangan anak muda. Kata-kata mereka ini adakalanya menjelekkan. Selain perbuatan itu sendiri sudah tidak menepati tuntutan Islam, implikasi yang lebih jauh mungkin berlaku tatkalanya adanya kenalan bukan muslim, bahkan yang muslim sendiri pun, membacanya. Sedangkan dalam Islam hubungan percintaan yang diredhai Allah itu hanyalah selepas ijab dan kabul dilafazkan. Bayangkan jika dalam kalangan kita terus-terusan pos mengenai madah-madah cinta kepada pasangan kita yang tidak diredhai Allah itu, tidakkah lambat laun ajaran Islam bahawa cinta suci itu hanya selepas pernikahan akan hilang? Jika kita sendiri umat Islam tidak menjadi duta tentang Islam, siapa lagi? Jika tidak mahu promosikan ajaran Islam sekalipun, janganlah sebarkan ideologi ataupun cara berfikir yang salah.

Lebih teruk, saya juga risau adakalanya repost yang saya teliti, boleh menjejaskan pegangan syahadah kita. Perkara ini cukup bahaya. Terutamanya jika petikan kata-kata itu dipetik daripada tokoh-tokoh barat. Adakalanya kata-kata mereka tampak begitu gah, namun kita gagal memahami intipati sebenar kata-kata tertentu itu lantaran lemahnya penguasaan bahasa kita ataupun longlainya ilmu kita tentang batasan antara iman dan kekufuran. Harus kita ketahui, pegangan syahadah itu boleh terbatal tanpa kita sedari. Itulah satu daripada hikmah kita diwajibkan bersolat lima waktu serta perbanyakkan solat sunat yakni dengan itu kita akan 'kembali' Islam setelah melakukan perbuatan demi perbuatan yang mampu membatalkan iman kita. Bukankah setiap kali solat kita akan melafazkan kalimah syahadah?

Sebaliknya, ada baiknya jika kita manfaatkan platform laman sosial ini untuk berjinak-jinak dengan Islam. Adakalanya kita sendiri dibesarkan dengan suasana yang kurang harmonis dan nilai-nilai Islam membuatkan kita tidak tahu tentang banyak perkara mengenai Islam. Inilah masanya untuk kembali ke landasan sebenar. Usah pedulikan kata-kata orang lain. Rajinkan diri pos-pos mengenai Islam. Berkongsi hadis-hadis yang kita jumpa, potongan-potongan ayat Al-Quran mahupun nasihat-nasihat para ulama. Barangkali kita tidaklah sebaik yang kita tampilkan di alam maya itu, namun itu tidak menjadi satu kesalahan selagimana sentiasa ada daya usaha dalam diri kita untuk mendekati ciri-ciri mukmin sejati sepertimana yang kita kongsikan itu. Lagipun bukankah Rasulullah SAW bersabda:

"Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat." (HR Bukhari)

Sebelum saya akhiri entri kali ini, penting untuk anda ketahui bahawa ini bukanlah amanat, ini hanyalah suatu pesanan bersama daripada insan yang penuh kelemahan iaitu saya. Saya juga tidak mengkafirkan sesiapa, saya cuma risau batas-batas iman dan kekufuran dinodai tanpa sedar. Saya tidak pula mahu memecahbelahkan pasangan-pasangan bercinta yang sedang hangat bercinta, saya hanya risau hubungah-hubungan itu tidak diredhai Allah maka nanti kita semakin jauh dari rahmatNya. Mohon jangan jadikan entri ini isu negatif, walaupun selepas 30 tahun akan datang.

Bersama mengejar redha Ilahi.



Saturday, January 5, 2013

Jalan berlubang

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga Baginda serta para sahabat.

Pada hari khamis yang lalu, lebih kurang jam 6 petang saya dan keluarga bertolak ke Kuala Terengganu. Tujuannya adalah untuk ke rumah nenek saya.

Perjalanan pada hari itu walaubagaimanapun sedikit mencabar daripada kebiasaan. Mencabarnya kerana hujan yang mencurah-curah hampir sepanjang perjalanan sungguh-sungguh luar biasa lebatnya. Jantung berdegup kencang sepanjang perjalanan.

Lebih memburukkan keadaan, keadaan jalan-jalan yang dilalui. Amat teruk. Sepanjang perjalanan kami tidak sunyi dengan lekuk-lekuk pada permukaan jalan. Di tambah pula dengan hujan yang sungguh lebat, kebanyakan lubang-lubang yang terbentuk tidak dapat dikesan sama sekali.

Gambar hiasan.
Ketika perjalanan kami kira ketika itu sudah melepasi lebih kurang 70%, jantung kami umpama tercabut seketika tatkala kereta yang dipandu sedikit terbabas. Padahal ketika itu kereta dipandu tidak lebih 70 km/j pun. Kami semua menarik nafas panjang setelah kereta berjaya di kawal.

Jadi wajar jika saya katakan di sini kualiti permukaan jalan yang dilalui semasa dalam perjalanan yang memakan masa hampir dua jam itu mengecewakan. Oleh itu, amat wajarlah pihak berwajib memandang kemelut ini sebagai suatu yang perlu diselesaikan segara.

Saya percaya nyawa ribuan pemandu serta penumpang menjadi taruhan setiap kali mereka on road. Saya juga percaya pihak berwajib mempunyai kemampuan untuk menangani masalah seumpama ini. Jika baru-baru ini sehingga sejumlah RM 717 juta boleh dilaburkan untuk pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik(AES), kenapa tidak jalan raya yang ada dibaiki agar mencapai kualiti yang terbaik. Jika kita lihat dari sudut kepentingan, pada hemat saya jalan yang elok itu lebih penting untuk mengelakkan kemalangan.

Ini tidak, jika kita perhatikan di negara ini, jalan-jalan yang diturap tidak tahan lama. Kadangkala saya tertanya-tanya mengapakah sedemikian rupa. Kenapa tidak buat sekali tapi biar betul-betul, lebih menjimatkan daripada buat umpama melepas batuk di tangga tapi berkali-kali. Ia menelan kos yang amat besar dan berterusan.

Moga masalah seperti ini menemui titik pengakhirannya. InsyaAllah.



Tuesday, January 1, 2013

Kisah Cinta Pak Imam

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

Kali ini saya ingin coretkan tentang suatu kisah benar yang berlaku kepada ketua imam di masjid kampung saya yang terkenal dengan nama Pak Teh. Kisah percintaan beliau. Ha! Jom baca!

Pak Teh ini amat ramah orangnya. Di tambah dengan loghat Kelantan bercampur Siam Pak Teh, Pak Teh mudah sekali mesra dengan sesiapa sahaja yang bersua dengan beliau. Saya sentiasa ternanti khutbah jumaat Pak Teh kerana loghat beliau sedikit berbeza dan bagi saya ia amat menarik.

Pak Teh tinggal beberapa kilometer sahaja dari rumah saya bersama isteri beliau iaitu Mak Teh. Mak Teh ini, jika Pak Teh itu amat pandai sekali berjenaka, Mak Teh lebih lagi. Mak Teh mengajar mengaji di surau-surau berdekatan. Mak Teh terkenal dengan jenaka-jenaka beliau. Kesemua anak mereka kebanyakannya sudah membawa diri, sudah berkerja dengan cara tersendiri. Ada yang kerja kampung, ada yang berkerjaya professioanal.

Pak Teh ini sebenarnya rapat dengan keluarga saya, begitu juga Mak Teh. Tambahan pula ayah saya merupakan setiausaha masjid, jadi mereka sering berbincang mengenai urusan masjid dan sebagainya. Demikianlah saya, sering berbual pendek dengan Pak Teh tatkala bersua di masjid.

Pada petang 1/1/2013, ayah saya pulang ke rumah, baru pulang daripada rumah Pak Teh. Kedengaran ayah saya bercerita kepada emak saya tentang Pak Teh, lalu saya turut mendengar. Rupa-rupanya Pak Teh mengalami sedikit kemalangan.

Alkisahnya cerita ini diceritakan oleh Mak Teh, dan pada asalnya ia diceritakan dengan amat lucu sekali oleh Mak Teh, tidak lekang dengan jenaka beliau. Kelucuan cerita itu telah mencuit hati kami sekeluarga pada petang itu. Bukanlah tidak menghormati, namun sememangnya kemalangan itu tidaklah teruk, bahkan Mak Teh sendiri yang menyampaikan cerita itu dengan penuh jenaka.

Beberapa hari yang lepas, rupa-rupanya kedua pasangan suami isteri itu ke kebun mereka untuk mengutip sedikit buah-buahan. Untuk makluman sekarang ini musim tengkujuh, hujan amat kerap sekali. Pepohon kayu menjadi amat licin.

Nak dijadikan cerita, Pak Teh memanjat pokok duku. Pokok duku ini sememangnya tinggi dan pokok yang dipanjat Pak Teh pada hari itu agak tinggi.

Gambar hiasan
Pada masa yang sama, ketika itu Mak Teh berada di bawah pokok tersebut. Entah bagaimana, tiba-tiba Pak Teh tergelincir dari dahan pokok duku yang dipanjat dan terjatuh ke bawah, jika dalam istilah Inggeris "free fall", 9.8ms-2 lah jawabnya.

Menurut Mak Teh, beliau sudah perasann akan Pak Teh yang sedang terjatuh dan Pak Teh betul-betul berada di bahagian atas tempat Mak Teh berdiri. Mak Teh dengan lawak sekali menceritakan pada ketika itu beliau sedang berkira-kira samada untuk mengelak atau membiarkan Pak Teh terjatuh dan menimpa Mak Teh. Belum pun Mak Teh sempat membuat keputusan tiba-tiba bamm!! Pak Teh menimpa Mak Teh. Menurut Mak Teh, yang berbadan kecil, ketika ditimpa Pak Teh, beliau merasa seperti tenggelam ke dalam tanah! Sungguh gemar berjenaka orangnya Mak Teh ini. Untuk makluman Pak Teh ini berbadan besar sedikit. Jadi pada hari itu pasangan suami isteri itu keduanya tercedera ringan. Mak Teh sedikit teruk berbanding Pak Teh.

Walaubagaimanapun, kami sekeluarga sudah dapat meneka, tindakan Mak Teh membiarkan Pak Teh jatuh dan menimpa beliau adalah untuk melindungi Pak Teh. Lebih kurang setahun yang lalu sebenarnya Pak Teh pernah mengalami kemalangan motosikal dan bahu Pak Teh terseliuh. Jadi untuk mengelak perkara sama berlaku kepada Pak Teh, atau mungkin lebih teruk, Mak Teh membiarkan diri beliau ditimpa sebegitu rupa sehingga beliau pula yang tercedera dan terlantar beberapa hari.

Itulah yang dinamakan pengorbanan. Perbuatan Mak Teh itu bagi saya amat mulia. Kesanggupan seorang isteri untuk melindungi suaminya sehingga diri sendiri tercedera. Dalam gelak ketawa kami sekeluarga pada petang itu, terdetik di hati kecil ini,barangkali itulah cinta sebenar. Pasangan muda yang baru berkahwin pun belum tentu sanggup berbuat sedemikian, apatah lagi pasangan lanjut usia yang sebaya Pak Teh dan Mak Teh yang sudah mencecah 60an.. Mudah-mudahan Pak Teh dan Mak Teh dirahmati Allah sentiasa.
Gambar hiasan.

Kaifiat Bacaan Surah Yaasin Untuk Mengembalikan Barang Hilang

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah sedang online tadi terjumpa post tentang ini oleh Tuan Guru Dato' Haron Din. Jadi saya cuma repost sahaja dan cuba menyebarkan perkara ini. Dalam masa yang sama ingin memastikan ilmu ini tersimpan di sini agar senang untuk dirujuk kelak. Mudah-mudahan dapat memberi manfaat.

Kaedah yang dinyatakan di sini adalah satu ikhtiar yang boleh diamalkan bagi bermohon kepada Allah SWT agar barang yang hilang atau dicuri dijumpai semula.

Kaedah ini juga boleh diamalkan untuk bermohon agar Allah SWT mengembalikan semula ahli keluarga yang hilang atau yang lari dari rumah.

Cara atau kaifiatnya adalah seperti berikut;

1. Lakukan Solat Hajat sekurang-kurangnya 2 rakaat dengan bermohon supaya Allah SWT mengembalikan barang yang hilang atau dicuri.

2. Doa berikut juga boleh dibaca ketika dalam sujud yang terakhir.


3. Selesai Solat Hajat, mulakan bacaan Surah Yaasin mengikut kaedah seperti berikut;
Membaca Surah Yaasin, apabila sampai pada perkataan Mubin yang pertama (iaitu diakhir ayat 12), berdoalah supaya Allah SWT mengembalikan barang yang hilang, kemudian ulang semula bacaan Yaasin daripada mula.
Untuk pusingan kedua, apabila sampai mubin yang pertama, berdoalah kemudian teruskan bacaan sehingga sampai mubin yang kedua (iaitu diakhir ayat 17). Berdoa lagi sekali di mubin yang kedua ini kemudian ulang semula bacaan Yaasin daripada mula.

Untuk pusingan ketiga, berdoa di mubin pertama, kedua dan ketiga (iaitu diakhir ayat 24). Kemudian patah balik membaca Yaasin daripada mula.

Untuk pusingan keempat, berdoa di mubin pertama, kedua, ketiga dan keempat (iaitu diakhir ayat 47). Kemudian patah balik membaca Yaasin daripada mula.

Untuk pusingan kelima, berdoa di mubin pertama, kedua, ketiga, keempat dan kelima (iaitu diakhir ayat 60). Kemudian patah balik membaca Yaasin daripada mula.

Untuk pusingan keenam, berdoa di mubin pertama, kedua, ketiga, keempat, kelima dan keenam (iaitu diakhir ayat 69). Kemudian patah balik membaca Yaasin daripada mula.

Untuk pusingan ketujuh (pusingan terakhir) , berdoa di mubin pertama, kedua, ketiga, keempat, kelima, keenam dan ketujuh (iaitu diakhir ayat 77). Kemudian teruskan bacaan sehingga ayat terakhir Surah Yaasin.
Setelah selesai bermakna anda telah berdoa sebanyak 28 kali.

3. Untuk mendapatkan kesan yang lebih mujarab, lakukan amalan ini selama tiga malam berturut-turut sebaik sahaja mengetahui barang telah hilang.

4. Bagi memudahkan untuk beramal dengan kaedah ini, berikut adalah Surah Yaasin yang telah disediakan kolum bilangan doa yang dibaca mengikut turutan dari 1 hingga 28 yang ditandakan pada ayat yang berakhir dengan Mubin.

Oleh: Tuan Guru Dato' Haron Din