Monday, December 31, 2012

Ambang '13, Islam Dan Jahiliyah

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah..Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga Baginda serta para sahabat.

Alhamdulillah, sudah menjejak 2013. Beranjak selangkah lagi, semakin hampir kepada mati. Namun manusia itu sering lalai, budaya hedonisme disiram dibaja di segenap peringkat masyarakat. Tidak risau akan apa bekalan ke akhirat kelak, lebih parah ada yang tidak terfikir pun dek terlalu sibuk mengejar dunia penuh fatamorgana ini.

Bukanlah ingin turut teruja dengan hadirnya tahun ke 2013 masihi, namun hakikatnya di negara kita ini detik bertukarnya tahun dalam kalendar masihi sudah menjadi suatu perayaan tahunan. Agak terkilan sebenarnya untuk menelan hakikat betapa suramnya di peringkat kebangsaan, penghargaan diberikan sewaktu tahun ke 1434 kalendar hijrah kunjung tiba hampir dua bulan yang lalu jika dibandingkan dengan sambutan malam tadi.

Namun Islam juga tiada larangan secara khusus untuk meraikan ketibaan tahun baru masihi. Lebih-lebih lagi di negara kita yang berbilang kaum. Tidak salah, selagi mana tiada perkara yang diharamkan dalam Islam diterapkan ke dalam perayaan tersebut.

Walaubagaimanapun, jika kita meletakkan penghakiman diri kita dengan adil, rasanya kita semua mampu menilai apa yang berlaku malam tadi. Malam tadi saya duduk di hadapan komputer riba ini, sekejap-sekejap keluar bilik meninjau rancangan-rancangan di kaca tv. Sudah dijangka, adanya siaran langsung sambutan, yang sempat saya tonton sebentar malam tadi di saluran NTV7. Sambutan peringkat kebangsaan tahun baru, di taman tema I-City jika tidak silap. Kesal. Kecewa. Terkilan. Begitulah antara bibit rasa yang timbul. Tidak nampak nilai-nilai Islam. Lebih teruk pelanggaran ajaran murni Islam terlihat dengan agak jelas. Padahal nampaknya pembesar-pembesar negara kita turut ada di sana. Tidak perlulah saya kira untuk diberi penerangan secara terperinci, kerna saya tahu anda sendiri dapat melihat dengan mata kepala sendiri.

Saya berlalu dan kembali duduk di hadapan komputer riba. Sebenarnya sedang menonton satu lagi sambutan ambang 2013 di livestreaming, yang ini diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Subhanallah. Sungguh hebat. Suasana yang jarang dilihat, tidak nampak seorang wanita pun yang tidak menutup aurat. Lebih hebat si kaum adam pula majoriti mereka berkopiah bahkan ada yang melilit serban. Tiada pula penari-penari. Yang ada pun para ustaz antaranya Ustaz Azhar Idrus. Juga beberapa selebriti terkenal turut turun padang. Paling hebat, kemunculan khas Ketua Ulama' Syria, Syeikh Ali As-Soubuni! Allahurabbi!

Syeikh Ali As-Soubuni(duduk)
Sebagai penutup, keseluruhan hadirin yang hadir yang khabarnya mencecah angka 100000 orang, sama-sama mengalunkan Asmaul Husna. Alllahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! kemudiannya kedengaran. Akhirnya dengan diketuai Ustaz Azhar Idrus, para hadirin menadahkan tangan mengaminkan doa beramai-ramai.

Sungguh hebat. Majlis sambutan itu juga dihadiri oleh sebahagian besarnya anak muda. Teringat pula kata-kata Imam Al-Ghazali,

“Sekiranya kamu ingin melihat masa depan sesuatu bangsa, maka lihatlah generasi mudanya.”

Melihatkan para pemuda pemudi yang hadir, terasa sinar Islam itu semakin mekar terutamanya jika dibandingkan dengan sambutan di taman tema I-City.

Sebagai seorang Islam yakni sebaik-baik umat, kita diajar untuk menilai antara yang baik dan yang buruk. Jika kita tahu sesuatu itu jelas akan keburukannya, maka kita tinggalkan. Sebaliknya benih-benih kebaikan kita suburkan.

Mungkin ada yang cuba menyuntik sentimen politik dengan apa yang berlaku, biarkan. Apa yang utama kita lihat yang mana lebih hampir kepada Islam. Ayuh kita bersama mereka. Kita tahu, tiada manusia yang sempurna. Kejadian manusia itu tidak sunyi daripada melakukan kesilapan. Namun kita nilai dengan mata hati, ayuh bersama arus Islam yakni jalan yang benar. Kita bersama orang-orang yang berusaha mengajak ke arah Islam. Allah SWT berfirman:

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (Ali Imran: 104)

Sesungguhnya cahaya Islam dan jahiliyah itu ada perbezaannya yang nyata. Sama-samalah kita berusaha membersihkan diri dan mengamalkan nilai-nilai Islam dalam segenap urusan.

Bersama mengejar redha Ilahi.


4 comments:

  1. Laju boh update..huhu...
    Smalam tgk sampai habis ke..? aku tgk sekat2 oh...tension..
    live stream bola ok...sambutan kt dataran s.alam sangkut... *TM*

    ReplyDelete
    Replies
    1. alhamdulillah dpt tgk habis..hihi..sangkut jap lpas tu ok balik...

      Delete
  2. Replies
    1. wassalam..moga usaha yg kecil ini dpt mndatangkan manfaat..:D

      Delete