Tuesday, December 25, 2012

Ceritera Banjir 25/12/12

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Masih bernyawa walaupun baru sahaja selesai melalui bencana banjir.

Begitulah saban tahun pabila musim tengkujuh kunjung tiba, kami penghuni Pantai Timur Semenanjung Malaysia, seringkali dilanda banjir.

Pada hakikatnya banjir sememangnya merupakan suatu bencana alam. Namun begitu, bagi sebahagian besar daripada kami, ianya sudah menjadi suatu kebiasaan. Alah bisa tegal biasa. Bahkan banjir merupakan suatu pesta yang dinantikan setiap tahun. Jika tidak percaya, cuba lihat status-status facebook anak-anak Pantai Timur yang berada di perantauan ketika musim banjir, pasti mereka menyuarakan keinginan untuk kembali ke kampung untuk "bermain air". Ianya umpama taman tema air tahunan bagi kami. Di tambah pula air yang membanjiri itu datang dari hulu, datang dari bukit, air yang amat kurang tercemar dengan bahan-bahan toksik. Berbeza dengan banjir kilat, yang sering melanda bandar-bandar besar. Banjir kilat berlaku biasanya lantaran daripada saluran-saluran yang tersumbat. Air bertakung. Air yang bertakung bercampur dengan pelbagai sisa domestik mahupun sisa kimia menjadikannya merbahaya.

Walaubagaimanapun, banjir ini boleh bertukar menjadi bencana yang benar-benar digeruni jika ianya terlalu teruk. Nampaknya, pada tahun ini, begitulah yang terjadi, sebahagian besar penduduk Pantai Timur dilanda mimpi ngeri. Terutamanya negeri saya sendiri, Terengganu dan lebih spesifik, di daerah Besut.

Alkisahnya, di kawasan Hulu Besut ini terdapat dua empangan utama untuk menampung bekalan air kepada para pesawah pada musim kemarau. Empangan Jajar dan Empangan Paya Peda. Sebenarnya Empangan Paya Peda ini masih dalam proses pembinaan, belum siap sepenuhnya. Jadi pada tahun ini, dengan kuasa Allah SWT, hujan yang turun begitu luar biasa. Sehingga akhirnya Empangan Paya Peda terpaksa dipecahkan untuk mengelakkan banjir yang lebih buruk.

Cuba bayangkan anda menadah air di dalam sebuah basin besar, dan kemudian anda pecahkan dinding basin itu dan biarkan air mengalir keluar. Kawasan yang dilalui air itu anda bayangkan sebagai kampung-kampung sekitar empangan. Begitulah ceritanya secara analogi. Air yang mengalir itu pula akan terus mengalir melalui sungai-sungai utama dan akhirnya sampai ke lautan. Apabila sungai-sungai itu menerima arus yang berlebihan air akan melimpahi tebing dan berlakulah banjir.

Baiklah, apabila Empangan Paya Peda dipecahkan maka kampung-kampung sekitar dilanda banjir yang luar biasa besarnya. Seorang kenalan ibu saya yang tinggal di sebuah kampung berdekatan empangan itu apabila dihubungi menyatakan "Kami karam". Apabila dihubungi beliau memberitahu sedang berada di suatu kawasan tinggi, di dalam kereta, bersama keluarga, rumah mereka sudah ditenggelami air, hanya bumbung sahaja yang kelihatan.

Air itu akan terus mengalir menuruni hulu hingga ke hilir sebelum ke destinasi akhir iaitu lautan. Kampung saya sendiri, merupakan satu daripada kawasan laluan air. Ayah saya menjangkakan kampung kami akan dilanda banjir besar sekali lagi, namun Alhamdulillah dengan kebesaranNya, pada tahun ini air itu tidak sepenuhnya melalui kampung kami. Sebaliknya lebih banyak melalui suatu kawasan laluan air yang lain. Tambahan pula kampung saya ini merupakan kawasan laluan air untuk Empangan Jajar. Jika Empangan Jajar yang pecah, barangkali banjir seumpama itu juga yang akan melanda kampung ini. Nauzubillahiminzalik.

Jadi di kampung saya, banjir tidaklah begitu teruk. Meskipun begitu banjir yang melanda cukup untuk memutuskan hubungan kampung kami dengan dunia luar buat seketika. Berikut antara gambar-gambar sekitar rumah yang sempat diambil siang tadi.

Jalan utama kampung bertukar menjadi sungai.
Haiwan juga menyelamatkan diri.

Jadi alhamdulillah kampung saya tidak begitu teruk. Namun bagi yang begitu terkesan akan bencana kali ini, moga bersabar dengan apa yang berlaku. Allah berfirman:

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya" (Al-Baqarah: 286)

Sentiasalah berwaspada. Ingatlah orang yang tersayang.^^

No comments:

Post a Comment