Friday, December 7, 2012

Pengajaran Solat Jumaat

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga serta para sahabat Baginda.
Saya hormati usaha untuk dedahkan anak-anak kecil tentang solat berjemaah dengan membawa mereka ke masjid. Pada saya ia merupakan suasana yang cukup sihat. Meskipun ada yang masih belum tahu bersolat, namun para kaum bapa ini tetap membawa bersama anak-anak kecil mereka ke masjid. Pada asasnya hukum membawa anak kecil ini adalah sunat, akan tetapi ia boleh bertukar mengikut keadaan:

1- Sunat ; kiranya dapat mendidik mereka menjiwai solat berjemaah dan menyukai masjid sebagai pusat ukhwah dalam masyarakat.

2- Harus ; kiranya mereka sudah mumayyiz, tidak mencetus gangguan dan boleh dikawal.

3- Makruh, bahkan Haram ; kiranya mereka boleh mengganggu jemaah yang sedang solat, mencetus kekacauan dan menimbulkan fitnah serta perbalahan sesama ahli jemaah.

Yang menjadi masalah ialah jika anak-anak kecil itu di luar kawalan. Saya cukup kesal tentang perkara ini. Tadi di masjid, bermula dari rakaat pertama hingga ke salam solat jumaat minggu ini diiringi tangisan dan lolongan seorang anak kecil. Masjid di kampung ini boleh dikira agak kecil dan suara anak kecil itu boleh didengar di setiap pelusuk masjid. Tentu sekali, saya sendiri, bahkan ramai lagi yang menemui kesukaran tambahan untuk mencari khusyuk solat dengan gangguan sedemikian.

Jadi cadangan saya, jika ingin membawa anak-anak kecil ini ke masjid, pastikan mereka menerima didikan sewajarnya dahulu di rumah. Biar mereka tahu sekurang-kurangnya, jika ibu bapa mereka sedang solat, mereka perlu senyap seketika, tidak menangis dan mengganggu. Jika tidak dididik sedemikian, mungkin tiap kali ibu bapa mereka bersolat mereka fikir mereka tidak dipedulikan.

Bila mana mereka sudah mula mengerti, saya percaya tatkala para ibu bapa mereka bersolat, mereka tidak akan menangis atau menggangu. Mereka sudah terbiasa, bila melihat pergerakan-pergerakan dalam solat, mereka perlu senyap dan menunggu seketika.

Janganlah disebabkan kita, para jemaah kehilangan fokus dan hilang khusyuknya. InsyaAllah pesanan ini untuk semua. Yang sudah menjadi ibu bapa mahupun yang bakal tidak lama lagi.

Moga bermanfaat.

Salam Jumaat.^^

No comments:

Post a Comment