Wednesday, September 19, 2012

Maafkan Aku Teman

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum..

Saat hati aku memutuskan untuk menukilkan entri ini, tekanan beraja di jiwa. Jam menunjukkan pukul 9.38 malam. Aku keseorangan di dalam kamarku. Rakan sebilik ku menghadiri satu talk di sebuah kolej berdekatan.

Tekanan bercampur baur. Isu utama semestinya kertas percubaan fizik yang bakal ditempuhi esok hari. Namun itu hanyalah satu daripada faktor mengapa dan kenapa entri ini terilhamkan.

Aku diserang rasa sedih tatkala memikirkan diriku yang sering kali gagal untuk menjadi seorang kawan yang baik.

Kembali ke alam kanak-kanak, masih terbayang peristiwa-peristiwa yang bagi aku mampu membuktikan yang aku sering gagal untuk menjadi seorang teman yang baik. Kadang niatku hanya ingin bersenda, namun terkasar tanpa niat. Kadang niatku hanya ingin mengukir senyuman buat semua, namun pasti ada yang terlepas pandang kemuraman keranaku.

Ibuku yang tercinta cukup peka tentang siapa kawanku. Aku tidak sewenangnya dibenarkan merayau bersama rakan. Pernah dahulu ibuku menyuruh kawan-kawanku datang ke rumah setiap petang untuk bermain denganku. Namun sampai bila, mereka juga pasti kebosanan, rumahku bukanlah taman permainan, bukanlah padang bola sepak.

Duniaku sewaktu kecil dihabiskan di rumah, bergaduh dengan adikku sudah menjadi rutin. Dimarahi ibuku perkara biasa. Kartun-kartun menjadi teman setia. Kala teman-teman lain sudah mula berkonvoi basikal mengelilingi kampung, aku hanya memerhati. Kala teman-teman lain mula bermotosikal ke sana ke mari, aku baru bermula dengan sebuah basikal.

Secara kasar, aku tidak terdidik untuk bergaul sejak kecil. Namun kedengaran seperti terlalu kasar. Aku sangat hargai usaha ibuku dalam menanganiku dari terjerumus dengan gejala-gejala tidak sihat. Benar sekali jangkaan ibuku, ramai rakanku yang mula berjinak dengan rokok seawal dibangku sekolah rendah. Ramai yang mula merempit seawal darjah lima. Menghabiskan waktu petang dengan meronda-ronda sekeliling kampung, kerja rumah entah ke mana. Aku? Aku hanya pandai menunggang motosikal ketika berumur 15 tahun. Setelah puas ku memujuk akhirnya bapaku bersetuju untuk mengajarku selok belok menunggang motosikal selepas tamat menduduki PMR.

Sudut positifnya, alhamdulillah aku antara anak kampung yang masih terselamat daripada bermacam gejala yang beraja di kampung. Namun sudut gelapnya barangkali sedikit sebanyak membuatku kekok bergaul.

Tidak sewajarnya aku menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Jelas sekali diriku jualah yang gagal mengadaptasikan diri dengan keadaan.




Sungguh menyakitkan bagiku apabila ada sahabat yang sungguh beria bercerita kepadaku tapi aku bagaikan mati akal bagaimana untuk respons agar terbit rasa selesa bagi pihaknya.Maafkan aku teman.

Sungguh menyakitkan bagiku pabila guraun balas daripadaku, setelah menerima gurauan daripada pihak rakan-rakan, gurauan balasku tidak cermat tidak bijak hingga ada yang tersinggung.Maafkan aku teman.

Sungguh menyakitkan bagiku pabila ku ingin berkongsi kegembiraan, namun mungkin terjemahan rasa ke dalam kata gagal, sehingga tampak aku ingin menunjuk-nunjuk.Maafkan teman.

Tatkala kegagalan diri itu pun sudah cukup menyakitkan bagi ku, apatah lagi apabila mula menerima bahang akibatnya. Ketidakselesaan insan sekeliling mula diterjemah ke dalam reaksi. Aku tidak pernah menyalahkan mu teman, salahku.Maafkan aku.

Meskipun begitu, ketahuilah aku sering mencuba untuk mejadi seorang yang lebih baik. Aku ingin tunjukkan rasa kasih ini kepada kawan-kawanku. Aku ingin mengecap setinggi-tinggi penghargaan itu, iaitu penerimaan daripada kawan-kawanku. Dan yang paling mustahak, semestinya bagi menyempurnakan imanku ini. Sabda Rasulullah SAW;

"Tidak sempurna iman seseorang itu, sehingga dia mengasihi saudaranya, sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri." (HR Muslim)

Maka teman, maafkan ketidaksempurnaanku selama ini. Jika ada hati yang masih terusik, terusik akan coretanku ini, kemaafan mu ku pohon jua kefahaman mu. Fahamilah aku cuma ingin menyuarakan rasa hati ini. Terima kasih atas kesudian membaca. Semoga ukhuwwah yang terjalin ini terus harum mewangi hingga ke taman syurga.

3 comments:

  1. you have been my good friend ever shazrin!!
    at least u never hurt my feeling...
    we are not perfect but we can try to be better..
    seriously, you are not as what you told in this post..u are a very good friend to me :')

    ReplyDelete
    Replies
    1. i did aiza..i still remember,i did hurt u once..im so grateful that u accepted me back as a fren..:)

      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete