Thursday, February 28, 2013

Penangan Fatih Seferagic!

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

InsyaAllah kali ini saya cuma ingin menyampaikan sedikit pesanan tentang boleh saya kata di sini fenomena Fatih Seferagic.

Sumber: Facebook Fatih Seferagic
Secara jujur, saya cukup kagum dengan beliau. Kagum bagaimana? Cuba kita soal diri kita, di manakah kita jika dibandingkan dengan anak muda yang cukup hebat ini.

Semoga beliau menjadi inspirasi kepada anak-anak muda di Malaysia ini untuk sentiasa beristiqomah dalam mempelajari AlQuran.

Pun begitu, saya tidak berhasrat untuk bercerita tentang beliau secara terperinci. Saya percaya sudah banyak yang tampil memperincikan latar belakang beliau. Apa yang suka saya kongsikan kali ini ialah impak negatif, yang saya cukup risaukan, yang tampak menular dalam kalangan anak muda terutamanya gadis-gadis.

Rupa-rupanya, perkara ini telahpun disedari juga oleh Ustaz Hasrizal Jamil dan beliau pantas menukilkan sepatah dua kata sebagai pesanan menerusi laman muka buku beliau.

Saya ketika itu baru sahaja berkira-kira, menyusun kata, untuk memperkatakan sesuatu, namun memandangkan Ustaz Hasrizal telah nukilkan, suka saya kongsikannya dan saya kira dengan menelaah teguran Ustaz Hasrizal ini, anda semua dapat meneka apa sebenarnya yang ingin saya kongsikan.

Renung-renungkan:



"Fatih Seferagic adalah seorang anak muda yang hebat. Saya menyedari kewujudannya melalui Facebook kira-kira dua tahun lalu. Khabarnya, beliau akan hadir ke Malaysia. Alhamdulillah.

Namun dalam sehari dua ini sangat banyak posting Facebook yang mengulas beliau sebagai perbandingan Justin Bieber, sama kacak namun Muslim dan hafiz al-Quran. Resah saya melihat perangai masyarakat kita, dalam hafazan al-Qurannya dan pelbagai kebaikan Fatih Seferagic, kita memilih sisi pandangan yang mengundang fitnah, menimbulkan bencana penyakit 'ain dan menyuburkan Talbis Iblis.

Ya Allah, lindungilah anak muda ini, dan jauhkan masyarakat kami daripada fitnah nafsu dan syaitan yang berbelit-belit di era seribu tahun selepas kewafatan Nabi sallallaahu alayhi wa sallam kami, ameen"




Saya kira amanat Ustaz Hasrizal ini jelas, mudah untuk difahami.

Maka sama-sama kita bermuhasabah diri.

Allah berfirman:

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (AnNur: 31)

Ayuh jangan terjebak dengan perancangan terkutuk syaitan. Kita jadikan segala kebaikan anak muda hebat Fatih Seferagic ini sebagai motivasi kepada diri kita. Dalam masa yang sama, tendang jauh-jauh segenap anasir busuk yang cuba dibisikkan syaitan ke dalam hati kita. InsyaAllah.

Bersama mengejar redha Ilahi.


Wednesday, February 27, 2013

Pengajaran Daripada Banjir

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

Tanggal 26 Februari 2013, air sungai berdekatan mula melimpah dan dalam masa kurang 24jam, air mula menaiki kampung saya dan seterusnya menyebabkan kampung saya ini mengalami banjir. Untuk pengetahuan ini bukanlah kali pertama, bahkan ini merupakan gelombang ketiga banjir melanda. Gelombang pertama berlaku pada tarikh 25 Disember lepas, kemudian pada 1 Januari sekali lagi banjir berlaku dan hari ini, kali ketiga.

Halaman rumah
Adapun tadi ketika saya sedang membersihkan kawasan sekitar rumah, terlintas pula untuk menukilkan satu entri. Entri berkenaan pengajaran daripada banjir yang berlaku.

Baiklah, semalam semasa paras air sedang meningkat dengan lajunya, ada seorang sahabat saya bertanya,

"Bagaimana paras air boleh meningkat sedangkan tidak hujan langsung di kampung?"

Ya benar ketika itu, hujan tidak turun. Sahabat saya itu kehairanan. Lebih menghairankan, ketika saya sedang melakukan kerja-kerja pembersihan tadi pula, sebenarnya hujan turun dengan agak lebat, tetapi ketika itu paras air sudah mulai surut. Bagaimana ini berlaku?

Semasa hujan tidak turun, paras air meningkat, tetapi semasa air mulai surut, ia tetap surut walaupun hujan agak lebat di kampung saya ini. Aneh bukan? Sebenarnya begitulah fenomenanya. Jika anda ingin memahami dengan mendalam bagaimana keadaan ini berlaku, bolehlah anda membaca entri saya coretkan ketika gelombang pertama dahulu yang bertajuk, Ceritera Banjir 25/12/2013.

Sebenarnya kejadian ini berlaku kerana banjir yang melanda kampung saya ini, penyumbang utamanya bukanlah hujan yang membasahi bumi kampung halaman saya ini, tetapi sebaliknya hujan yang turun di bahagian yang lebih hulu berbanding kawasan saya ini, menyebabkan kawasan tadahan hujan di kawasan berbukit melimpah. Air yang melimpah itu perlu disalurkan melalui sungai-sungai ke destinasi akhirnya iaitu lautan. Semasa air dari kawasan hulu itu melalui sungai-sungai utama, maka sungai tidak mampu menampung jumlah air yang banyak lalu melimpah dan jadilah, banjir!

Hujan lebat di kampung saya ini, selebat manapun ia ghalibnya ia akan terus disalurkan melalui sungai utama kampung saya ke kawasan lebih hilir. Jadi hujan di sini, di kawasan saya ini, bukanlah faktor utama berlaku banjir, sebaliknya hujan di kawasan yang lebih hulu. Ini menerangkan mengapa walaupun tidak hujan di sini, air tetap meningkat naik, itu menandakan hujan di kawasan hulu amat lebat.

Bilamana air mulai surut pula, meskipun hujan turun tetapi air akan tetap surut kerana air di kawasan hulu sudah mulai kering, membanjiri kampung saya, dan kini akan meninggalkan kampung saya untuk terus menghilir.

Baiklah, berbalik kepada tajuk entri kali ini, apa pengajaran yang kita boleh ambil daripada fenomena ini?

Satu daripada yang saya terfikirkan, yang mana suka saya kongsikan menerusi entri kali ini ialah apabila sesuatu pemasalahan itu timbul kita tidak boleh cepat menyalahkan sesuatu, tetapi perlu menyiasat dengan teliti untuk mengesan apakah puncanya yang sebenar, agar bisa dileraikan kekusutan sebenar.

Bila berlaku banjir, kita fikir hujan yang turun di tempat kita itulah yang menyebabkannya berlaku. Hakikatnya rencah utama berlakunya banjir itu ialah hujan lebat di kawasan hulu. Jadi langkah pencegahan utama perlu difokuskan kepada kawasan yang sepatutnya.

Ada pepatah Melayu mengatakan, marahkan nyamuk kelambu di bakar. Pepatah itu menggambarkan kita secara melulu menyelesaikan sesuatu perkara tanpa pencerapan sepatutnya. Akhirnya pemasalahan itu tidak selesai, lebih malang masalah menjadi semakin parah.

Sesungguhnya setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Mengasihi hambaNya.

Ibnu Qayyim al-Jauziah berkata :

“Andaikata kita boleh menggali hikmah Allah yang terkandung dalam ciptaan dan urusanNya, maka tidak kurang dari ribuan hikmah. Namun akal kita sangat terbatas, pengetahuan kita terlalu sedikit dan ilmu semua makhluk akan sia-sia jika dibandingkan dengan ilmu Allah, sebagaimana sinar lampu yang sia-sia dibawah sinar matahari. Dan ini pun hanya kira-kira, yang sebenarnya tentu lebih dari sekadar gambaran ini.”

Di sebalik kejadia banjir ini, saya percaya terselit seribu pengajaran dan satu daripadanya saya cuba untuk kongsikan kali ini. Ini semua adalah bukti-bukti kebesaran Allah SWT. Mudah-mudahan ini menambahkan lagi keimanan kita.

Bersama mengejar redha Ilahi.


Monday, February 25, 2013

Persoalan Undi Calon Non Muslim

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

InsyaAllah untuk entri kali ini saya cuma ingin berkongsi nukilan Ustaz Wan Ji At-ta'aduddi dalam mengupas persoalan mengundi calon non muslim. Entri ini saya cedok 100% tanpa sebarang editan bagi mengelakkan sebarang factual error. Moga mendapat pencerahan.


PERTAMA : UNDI CALON NON MUSLIM

Perkara yang paling penting diketahui, dalam kerangka pengamalan negara demokrasi di Malaysia, penentuan sesuatu dasar dan system pemerintahan tidak akan berlaku berpuncakan calon, tetapi kebersamaan antara parti-parti yang memerintah. Menang seseorang calon PR di sesuatu DUN atau Parlimen, ia tidak dapat menentukan dasar pemerintahan Negara berubah. Tetapi, perubahan pada system pemerintahan akan berlaku, apabila PR mentadbir Negara. Begitulah juga BN.

Ekoran itu, penentuan pemilihan calon dalam Pilihanraya di Malaysia, bukanlah terletak kepada factor calon, tetapi terletak kepada factor parti mana yang mendominasi dalam pemerintahan. Dengan pendominasian itu, sesuatu system dan dasar pemerintahan boleh dirobah seperti yang dimahukan.

Makanya, disini lahir satu perbincangan, iaitu seseorang muslim yang mengundi di sesuatu DUN atau Parlimen yang bertanding ditempat tersebut adalah orang bukan Islam. Ia menjadi satu wacana yang perlu diperbincangkan bagi memastikan kejayaan melaksanakan bentuk pemerintahan yang baik.
Perbincangan itu adalah seperti berikut;

Satu :
Kemenangan Islam adalah apabila manusia masuk Islam, juga mendekatkan diri mereka dengan Islam. Perkara ini, dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran bahawa apabila datang kemenangan dan pertolongan, maka didapati orang akan masuk Islam beramai-ramai. (Surah al-Nasr, ayat 1-2)

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ * وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا

Kemenangan tidak tercapai kecuali dengan pertolongan. Ini kerana, hakikat hidayah itu adalah hasil dari pilihan Allah, bukan pilihan kita. (Surah al-Qasas, ayat 56)

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Pertolongan Allah SWT akan diberikan kepada mereka yang melaksanakan keadilan. Ibn Taimiah ada menyatakan, bahawa Allah SWT akan tolong Negara yang adil, waima ia kafir sekalipun. (Ibn Taimiah, Hisbah, hlmn 4)

ان الله ينصر دولة عادلة وإن كانت كافرة , ولا ينصر دولة ظالمة وإن كانت مؤمنة

Perkataan ini selaras dengan firman Allah SWT dalam al-Quran, bahawa Allah SWT tidak akan membinasakan ahli sesebuah negara secara zalim, jika rakyat dan pemerintahnya saling melakukan Islah atau pembaik pulih. (Surah Hud, ayat 117)

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَى بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ

Al-Qaradawi menukilkan dari kupasan Imam Fakhr al-Din al-Razi dalam kitab “Duar al-Qiyam wa al-Akhlak fi al-Iqtisad al-Islami”, yang dimaksudkan secara zalim ini merujuk kepada Negara yang diperintah tidak berasaskan kepada ajaran Islam, tetapi Negara itu adil. (Fakhr al-Din al-Razi, al-Tafsir al-Kabir, jld 8, hlmn 486; al-Qaradawi, Daur al-Qiyam wa al-Akhlak fi al-Iqtisad al-Islami, hlmn 356)

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَى بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ , اي لا يهلكهم بمجرد شركهم إذا كانوا مصلحين يعامل بعضهم بعضا على الصلاح و السداد

Dua:
Kaedah Fiqh ada menyatakan bahawa berlaku antara dua mudharat, hendaklah dilakukan mudharat yang kecil, demi mengelak dari berlaku mudharat yang lebih besar. Mengundi calon non Muslim, memang merupakan satu mudharat, tetapi dengan tidak mengundi itu akan menjadikan sesuatu pemerintahan yang merosakan. Ketika itu, dibenarkan mengundi calon bukan Islam untuk menolak kemudharatan yang lebih besar, iaitu system pemerintahan yang tidak adil dan tidak baik.

KEDUA : NON MUSLIM SEBAGAI MENTERI

Apabila menang dalam PRU, yang menang itu bukan sekadar PAS dan PKR sahaja, tetapi disana ada beberapa orang yang menang dari kalangan mereka yang tidak beragama Islam, sama ada individu non Muslim dari parti DAP; dari PKR; dari PAS. Makanya, sudah pasti, mereka akan diberikan hak memegang beberapa jawatan dalam menteri.
Orang yang tidak melarang memberikan jawatan menteri kepada non Muslim beralasan dengan firman Allah SWT yang melarang orang Islam menjadikan orang bukan Islam sebagai wali, atau penguasa. (Surah al-Imran, ayat 26)

لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ

Juga ayat 118 dari surah al-Imran bahawa Allah SWT melarang mengambil orang selain Muslim sebagai Bitanah atau teman kepercayaan.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ

Penjelasan terhadap pemahaman terhadap ayat ini adalah seperti berikut;
Satu :
Ayat ini bersifat Sad al-Zaraie, iaitu menutup pintu-pintu haram. Ia sama seperti larangan Allah dari mencela sembah-sembahan selain Allah, kerana bimbang berlaku Maalat atau implikasi yang buruk, iaitu celaan non Muslim terhadap Allah tanpa ilmu dan prejudis. (Surah al-An’am, ayat 108)

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Ibnu Kathir menyatakan bahawa Allah SWT melarang Rasulullah SAW dan orang-orang mukmin dari memaki sembah-sembahan musyrikin, waima ia boleh mencapai maslahah. Namun, sebenarnya ia boleh membawa kepada mafsadah yang lebih besar, iaitu makian balas dari orang Musyrikin terhadap tuhan orang mukmin, iaitu Allah yang tiada tuhan kecuali Dia. (Ibni Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim : jld 3, hlmn 314)

Menurut Ar-Raisuni pula, hukum asal bagi celaan terhadap sembahan musyrikin adalah harus, malahan dalam beberapa ketika ia menjadi wajib. Ini kerana, menyembah selain Allah merupakan jenayah dan penyelewengan yang cukup besar. Namun, melihat kepada implikasi menyebabkan tercapainya mafsadah yang lebih besar, iaitu mereka mencela Allah dalam keadaan hati mereka ada permusuhan, zalim dan kejahilan, menyebabkan mencela sembahan selain Allah itu dilarang. (Dr Ahmad al-Raisuni, Muhadharat fi Maqasid al-Syariah : 219)

Jadi, larangan celaan ini bersifat sad al-Zaraie. Dengan maksud, jika tidak mendatangkan implikasi yang buruk, maka ia tidak dilarang. Maka keadaan yang sama juga pada ayat larangan mengambil non Muslim sebagai pemimpin berdasarkan ayat ke 26 dan ayat 118 dari surah ali-imran.

Dua:
Maksud sad al-Zaraie adalah menutup pintu-pintu haram. Ia berasaskan kepada kaedah fiqh yang menyatakan, “perkara yang membawa kepada haram, maka hukumnya juga turut haram”

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

Ia membawa maksud, sesuatu yang boleh membawa kepada haram, maka ia juga turut haram. Contohnya seperti nas melarang meminum arak, maka menjual arak juga adalah haram. Juga, hukum asal menjual anggur adalah harus, tetapi menjadi haram jika dijual kepada pembuat arak.
Juga penting diambil perhatian, menutup pintu haram itu tidak semestinya diharamkan terus, tetapi dengan meletakkan syarat-syarat yang ketat, sudah tercapai maksud Sad al-Zaraie. Ini seperti ulama-ulama Islam tidak terus mengharamkan system perbankan secara mutlak, waima asalnya bank itu terlibat dengan riba. Makanya, mereka benarkan perjalanan bank dengan diletakkan syarat bahawa tidak terlibat dengan riba, gharar dan sebagainya.

Ia sama seperti penderiaan PAS yang mengizinkan perempuan menjadi calon dalam Pilihanraya dengan dikenakan syarat-syarat yang ketat, sedangkan di sana wujud hadis yang menyatakan larangan perempuan menjadi pemimpin . (Haji Harun Taib, Muslimat pembangun ummah, hlmn 181)

Makanya, dalam negara yang mengamalkan system demokrasi, kerenahnya tidak sama seperti negara yang mengamalkan system monarki. Ini kerana, dalam system monarki, pemerintah itu umpama tuan kepada rakyat, sedangkan dalam system demokrasi, pemerintah umpama pekerja bagi rakyat. Dalam erti kata yang lain, pemerintah melaksanakan kehendak rakyat, dan rakyat boleh gugurkan sesuatu pemerintah berdasarkan pemilihan rakyat yang dikenali sebagai Pilihanraya atau referendum rakyat.

Disamping itu juga, dalam Negara demokrasi, seseorang yang memegang jawatan dalam negara tidak boleh melakukan tindakannya sewenang-wenangnya. Sebaliknya, ia tertakluk dengan undang-undang bertulis yang disepakati ramai. Dengan maksud, individu menteri yang melakukan tindakan menyalahi undang-undang bertulis, ia boleh dikenakan hukuman.

Ekoran itu, dalam kerangka demokrasi, melantik menteri dari kalangan orang bukan Islam tidak menjadi masalah untuk perlantikan non Muslim sebagai menteri, selama perlantikan itu mendatangkan kebaikan yang banyak, juga tidak mendatangkan kerosakan yang lebih besar berbanding kebaikan.

Oleh: Ustaz Wan Ji

Thursday, February 14, 2013

Dua Dekad

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum

Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

Saban hari, berbilion-bilion manusia di seluruh dunia menyambut hari ulangtahun kelahiran mereka. Hal ini membuatkan hari ulangtahun kelahiran itu bukanlah suatu yang perlu diraikan dan dibanggakan kerana ianya dialami oleh seramai-ramai umat manusia setiap hari.

Pun begitu, demi hari ini, Jumaat, 15 Februari 2013 merupakan hari ulangtahun kelahiran saya yang ke-20, saya akan tetap meneruskan hasrat di hati kecil ini untuk mencoretkan satu entri agar dapat menjadi ingatan pada diri dan juga kawan-kawan.(^_^)


Pertamanya segala puji bagi Allah, alhamdulillah ya Robb, Engkau lanjutkan usiaku sehingga mencecah dua dekad pada hari jumaat penghulu segala hari ini. Aku bersyukur kepada Mu ya Allah atas segala limpahan nikmat yang tidak terkira yang Engkau anugerahkan kepadaku hingga ke detik-detik aku menaip ini. Aku dengan penuh rasa hina memohon keampunan atas dosa-dosaku yang tidak terperi banyaknya sepanjang 20 tahun bergelar hambaMu ya Allah. Aku juga mohon keampunan atas segala tanggungjawabku yang belum tertunaikan ya Allah. Aku mohon Engkau berikan kesempatan kepadaku, dengan kudrat yang ada pada diri ini, untuk sentiasa berbakti kepada agamaMu dengan memanjangkan usiaku. Namun ya Allah, jika telah tertulis hayatku tidak panjang, cabutlah nyawaku dalam keadaan husnul khatimah. Aamiin ya Robbal ‘Alamin.

Wahai teman, marilah kita bermuhasabah diri.

Apa khabar aqidah kita? Adakah ianya Aqidah Salimah Salihah yakni aqidah yang benar dan sah? Telahkah kita kenali Allah SWT dengan sifat-sifat uluhiyyah dan rububiyyahNya? Cuba soal diri kita apakah sumbangan yang telah kita lakukan untuk Islam sepanjang hidup kita, sejauh mana pengabdian kita kepada Islam bagi menyahut tuntutan seumpama firman Allh SWT;

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu." (Az-Zaariyat : 56)

Sejauh mana pula kecintaan kita kepada Pencipta kita? Kita seringkali berbicara tentang cinta, cinta itu dan cinta ini. Namun bagaimana keadaannya cinta kita kepada Sang Pencipta? Moga kita sentiasa ingat akan firman Allah ini;

"Katakanlah jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu kuatiri kerugiaannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan dari berjihad dijalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik"(At-Taubah : 24)

Apa khabar ibadah kita? Sejauh mana kepatuhan dan ketundukan kita sebagai seorang hamba? Sudahkah kita beristiqomah dengan amalan-amalan tertentu yang di tuntut Islam? Bagaimana pula kehadiran hati kita dalam beribadah? Hasan Al-Basri pernah berkata,

"Setiap solat yang dilakukan tanpa kehadiran hati maka solat itu adalah lebih cepat membawa kepada siksaan".

Apa khabar akhlak kita? Berapa banyak kita mencontohi akhlak Rasulullah SAW? Berapa banyak pula kita berakhlak dengan akhlak-akhlak jahiliyyah? Sejauh mana kita menjaga tutur bahasa kita? Bagaimana pula aurat kita yang terdedah sana sini lantas menempah jilatan api neraka?

Rasulullah SAW bersabda;

"Sebesar-besar kebajikan itu ialah berakhlak dengan akhlak yang baik, dan dosa itu ialah perasaan bimbang dalam jiwa dan engkau tidak suka keadaan itu diketahui oleh orang lain". (H.R. Muslim)

Moga semuanya itu, jika tidak dalam keadaan baik sekalipun, biar berada dalam proses penambahbaikan yang berterusan.

Sewaktu kecil saya seringkali mengharapkan hadiah-hadiah bila tiba hari-hari sebegini. Walaubagaimanapun, hari ini, saya tidak mengharapkan semua itu, harapan saya cuma satu, yakni titipan doa ikhlas untuk diri ini ketika menadah tangan memohon kepada Ilahi. Hakikatnya di mana saya berada hari ini adalah juga berkat insan-insan yang tidak lupa akan diri ini dalam doa-doa mereka.

InsyaAllah sama-sama kita memperbaiki hubungan kita dengan Allah, setiap detik dan ketika, terutamanya dikala kita tersedar dari lamunan, betapa usia kita sentiasa bertambah, kerna dengan itu, ajal kian menhampiri.

Bersama mengejar redha Ilahi.



Saturday, February 9, 2013

Doa Mustajab Pelindung Kecurian

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga baginda serta para sahabat.

Baru-baru ini saya ada berkongsi tentang Kaifiat Bacaan Yassin Untuk Mengembalikan Barang Hilang, telahkah anda telaah kaifiatnya? Jika belum ayuh sama-sama tambah ilmu lagi!

Hari ini, sekali lagi menerusi laman muka buku Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din, saya telah mendapat suatu lagi ilmu yang cukup berguna iaitu suatu doa mustajab pelindung daripada kecurian. Sesungguhnya mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Jadi haruslah kita berusaha dan bertawakkal dahulu agar dapat dielakkan berlaku kehilangan. Adapun jika tetap berlaku, bolehlah berikhtiar untuk mendapatkan barangan yang hilang dengan kaifiat yang saya kongsi di entri sebelum ini itu.


Sesungguhnya ilmu ini bukan sahaja untuk diketahui, tapi juga untuk diamalkan. Selain itu, saya rasakan ada baiknya jika perkara ini saya kongsikan. Saya kira kita sama-sama tontoni video ini dan sama-sama pelajari doa tersebut, hafal lafaznya dan fahami maksudnya. InsyaAllah.


Teringat saya akan satu pepatah arab yang bermaksud:

"Ilmu tanpa amal umpama pokok tiada berbuah"

Jadi janganlah dibiarkan ilmu ini berkubur begitu sahaja dalam diri kita, amalkan. InsyaAllah. Setelah kita berusaha, maka bertawakkallah kepada Allah, bersesuaian dengan suatu hadis;

"Amr bin Umayah Radhiyallahu 'anhu berkata, "Aku bertanya, 'Wahai Rasulullah !!, Apakah aku ikat dahulu unta (tunggangan) ku lalu aku bertawakkal kepada Allah, atau aku lepaskan begitu saja lalu aku bertawakkal ? 'Beliau menjawab, 'Ikatlah kendaraan (unta) mu lalu bertawakkallah". (Musnad Asy-Syihab, Qayyidha wa Tawakkal, no. 633, 1/368)


Semoga bermanfaat!

Bersama mengejar redha Ilahi.



Tuesday, February 5, 2013

Selindungkan aib dalam menegur

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga serta para sahabat Baginda.

Sedang tercari-cari di mana letaknya songkok saya tadi, termenung sejenak di suatu sudut dalam bilik tidur saya ini, terlintas pula untuk tambah entri baru. Sudah lama juga tidak bertambah entri, almaklumlah sekarang bergelar guru tadika, masa yang terluang tidak seperti dahulu. Mencari si songkok zaman sekolah saya itu pun adalah untuk dipakai hari khamis ini bersempena sambutan maulidurasul di tadika tempat saya bekerja. Kali terakhir berarak sambut maulud ketika tingkatan lima tahun 2010, tidak dinafikan wujudnya bibit-bibit teruja untuk kembali berarak, dan kali ini bersama anak-anak kecil!

Baiklah kali ini saya cuma nak mengingatkan tentang suatu perkara memandangkan kita ini manusia sering terlupa. Apa yang saya ingin ingatkan ini saya percaya sudah ramai juga yang peka, namun tetap diteruskan niat di hati lantaran rasa perlu itu tetap mendesak.

Saya lihat hari ini kebanyakan daripada kita sudah menjadi 'lali' dengan dosa. Tidak merasa berdosa ketika melakukan dosa. Nauzubillah. Saya sering ke udara di facebook, sedih dan tatkala melihat adanya teman-teman memuatnaik gambar-gambar yang tidak menutup aurat dengan sempurna, muatnaik gambar berkepit-kepit dengan pakwe/makwe dan pelbagai kemungkaran lagi. Saya percaya ramai juga pembaca-pembaca yang turut merasakan kekecewaan itu. Namun rasa kecewa sahaja tidak cukup, sesuatu perlu dilakukan.

"Barangsiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia merubah/mencegah dengan tangannya (kekuasaan) jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya (secara lisan), dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya (merasakan tidak senang dan tidak setuju). Dan itu adalah selemah-lemah Iman". (HR. Muslim)


Hadis di atas ini, hadis yang cukup masyhur. Saya percaya juga ramai yang faham intipati hadis sahih di atas. Namun tidak ramai yang menterjemah kefahaman itu ke dalam tindakan.

Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi didalam memberi komentar tentang hadis sahih diatas mengatakan bahawa mencegah kemungkaran mempunyai 3 syarat :

1. Perkara yang disepakati haramnya.
Tidak boleh mencegah perkara-perkara makruh yang dilakukan. Juga dimaksudkan didalam kategori ini ialah orang-orang yang meninggalkan sunnah (seperti tidak berjanggut dsb) tidak dianggap melakukan mungkar.

2. Kemungkaran itu dilakukan secara terang-terang.
Ertinya kemungkaran itu dilakukan secara terang-terangan, dihadapan umum/public. Tidak boleh sengaja mengintai-intai atau memasang alat-alat pendengaran bagi menangkap mereka yang melakukan mungkar.

3. Kemampuan bertindak untuk mengubah kemungkaran.
Ertinya orang yang ingin mengubah kemungkaran harus memiliki kemampuan bertindak, baik secara individu ataupun bersama-sama dengan rakan yang lain, iaitu mengubah dengan menggunakan kekuatan/ kuasa.


Baiklah, hari ini terdapat maha banyak laman sosial, maha banyak juga cara untuk kita berkomunikasi. Jadi saya ingin mengajak rakan-rakan untuk sama-sama menyahut tuntutan hadis di atas, yakni untuk sama-sama mencegah kemungkaran. Memandangkan halangan untuk berkomunikasi itu amatlah minimum dewasa ini, tiada alasan mengapa kita tidak boleh melakukannya.

Jangan pula takut, sesungguhnya kita menegakkan kalimah Lailahaillallah!

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Muhammad: 7)

Sucikan niat untuk amar ma'ruf nahi munkar. Jangan bertangguh lagi, setiap kali anda bertangguh untuk melakukan kebaikan, gugurlah satu keberkatan untuk diri kita.

Cuma sedikit nasihat saya, dalam menegur itu biarlah berhikmah. Jangan sesekali dibiarkan tindakan kita itu membuka aib seseorang. Tujuan asal kita menegur adalah untuk mengajak individu berkenaan ke arah kebaikan. Jika kita membuka aib individu itu, maka hasrat murni asal itu tercalar dengan sendirinya.

"Muslim ( orang Islam ) adalah saudara bagi orang Islam lainnya, dia tidak menganiayanya dan tidak pula menyerahkannya kepada musuhnya ( tidak juga meninggalkannya tanpa pertolongan ), barangsiapa menolong saudaranya untuk memenuhi hajatnya, maka Allah bersamanya dalam memenuhi hajatnya, dan barangsiapa melapangkan suatu kesusahan dari seorang muslim, maka Allah akan melapangkan baginya suatu kesusuhan dari kesusahan di hari qiamat, dan barangsiapa menutupi (aib) seorang muslim, maka Allah menutupi aibnya di hari qiamat." (HR. Muslim).

Jika di facebook contohnya, janganlah kita lantang menegur secara terang-terangan seseorang itu sehingga setiap pemilik facebook lainnya turut dapat membacanya. Adakalanya individu berkenaan tidak sengaja melakukan kemungkaran, mungkin juga tidak tahu perkara berkenaan tidak betul. Maka di situlah tanggungjawab kita untuk menegur, tapi bukan menghukum. Cukuplah kita personal message individu berkenaan dan menegur dengan penuh berhikmah. Gunakan secantik-cantik bahasa. Selitkan hadis-hadis dan ayat-ayat AlQuran yang bersesuaian. Jangan lupa memohon maaf juga agar pihak ditegur tidak terguris hati.

Pada hemat saya usaha seumpama itu cukup mudah untuk dilakukan. Ia juga amat praktikal. Suka di sini saya mengajak anda untuk bermula melakukannya dalam kadar yang segera, boleh? Mulakan dengan insan-insan paling hampir dengan diri kita, insan yang dirasakan kenal hati budi kita, mampu menerima budi bicara kita. Kemudian sama-sama kita beristiqamah, boleh?

Ayuh!

Bersama mengejar redha Ilahi.