Friday, January 18, 2013

Kitar hidup seorang hamba.

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW dan ahli keluarga serta para sahabat Baginda.

Seseungguhnya masa itu bernilai, menyedari akan hakikat itu maka saya cuba untuk penuhi sudut-sudut lapang ini dengan menambah lagi entri. Saya kira ada baiknya untuk mempelbagaikan rutin harian selagimana ianya bermanfaat. Mudah-mudahan.

Teringat beberapa tahun yang lalu, masih di bangku ingat-ingatan yakni bangku persekolahan, ketika itu saya sedang mengikuti satu kem PMR, seorang speaker ini, maaf saya benar-benar lupa siapa individu itu, yang pasti seorang yang terserlah benar karisma beliau, memberikan suatu analogi tentang kehidupan yang saya ingat jelas jernih sehingga saat ini. Berbekas benar.

Analogi yang diberikan berkaitan dengan kitaran hidupan rama-rama.




Bermulanya dengan telur, kemudian lahirlah ulat beluncas. Setelah beberapa ketika bergelar ulat beluncas maka ulat beluncas itu akan bertukar menjadi pupa. Akhirnya pupa akan membawa kepada lahirnya sang rama-rama. Ringkas bukan, senang difahami juga saya percaya. Peringkat-peringkat kitaran itu digambarkan oleh speaker tersebut sebagai peringkat-peringkat hidup kita.

Bayangkan kita adalah telur-telur berkenaan. Pernahkah kita lihat telur rama-rama? Secara jujur berapa ramai antara kita yang pernah terlihat telur rama-rama ini? Jika pernah sekalipun, berapa kerapkah? Amat jarang bukan? Itulah yang cuba disampaikan, tidak ramai yang sedar akan wujudnya telur-telur ini. Namun adakah telur-telur itu tidak penting? Saya tinggalkan kepada anda untuk menjawab.

Kemudian ulat beluncas. Soalan saya, berapa ramai antara kita yang sukakan si ulat beluncas ini? Mungkin ada kalangan kita yang gemar memerhati, namun saya percaya amat sedikit bilangannya yang berani menyentuh apalagi membiarkan ulat beluncas ini meneroka kulit mulus kita. Maksud kata di sini, ulat beluncas ini begitu dibenci sekali. Meskipun begitu, jika ulat beluncas ini tiada, bolehkah kitaran hidup ini dilengkapkan?

Maju terus, pupa pula. Pupa ini ceritanya hampir sama dengan telur-telur dan ulat beluncas. Cuma lebih mudah dijumpai berbanding telur dan kurang sedikit dibenci berbanding ulat beluncas. Tetapi masih, pupa ini jarang diberi perhatian. Juga jarang ada orang yang berminat akan pupa ini. Rupanya tiada yang menarik. Walaubagaimanapun, jika pupa ini tidak wujud, maka si rama-rama tidak akan pernah wujud. Pupa ini suatu peringkat wajib dalam kitaran itu.

Akhirnya rama-rama. Siapa tidak kenal rama-rama? Saya musykil asal-usul anda jika anda kata tidak kenal rama-rama atau tidak pernah lihat rama-rama. Jika tidak lihat rama-rama sebenar sekalipun saya yakin gambar-gambar rama-rama ini cukup terkenal. Terkenal dalam animasi dan cukup masyhur di mana-mana. Menjadi agen pendebungaan yang cukup penting dan tentunya menyejukkan mata memandang.

Baiklah. Sekarang cuba renungkan, jika saya minta untuk ada letakkan di mana anda dalam peringkat kitaran itu, mungkin masing-masing punyai jawapan tersendiri.

Saya tidak risau jika anda adalah rama-rama. Anda hebat. Anda menyenangkan banyak orang. Namun selain dari itu, jika anda adalah telur-telur, jika anda adalah ulat beluncas dan jika anda pupa, jangan rasa rendah diri.

Jangan sesekali berputus asa. Cukup menyedihkan wujudnya individu merasakan diri tidak berguna lagi. Merasakan diri hina dan dibenci. Jangan begitu. Hayati dengan sebenar-benarnya firman Allah SWT ini:

" Janganlah kamu rasa terhina dan sedih padahal kamulah yang tinggi selagi kamu beriman." (Ali Imran: 139)

Dalam masa yang sama, umat sekeliling tidak seharusnya menghukum. Carilah hikmah dan salurkan hikmah-hikmah itu dengan cara termampu. Jika tidak mampu sekalipun usah disuntik jarum-jarum berbaur kejahatan dan kekotoran.

Ketahuilah pintu taubat itu merupakan seluas-luas pintu. Dalam masa yang sama, begitu mudah juga untuk kita terpanggil dengan hasutan-hasutan syaitan.

Jangan menghina jika kita rasa diri kita benar kerna risau kita dalam tidak sedar memenangkan syaitan. Mungkin orang yang kita hina itu sedang bertatih ke jalan taubat kita tidak tahu.

Kita boleh membenci perbuatan yang tidak baik, namun jangan dibenci batang tubuh si pelaku itu kerna berupa apa pun si pelaku itu ciptaan Allah.

Demikian juga bagi yang sering gagal. Usah berputus asa daripada rahmat Allah. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Ingatlah pesan Allah;

“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.”(Surah al-Insyirah: 5-6)

Mungkin kita sudah kerap sekali mendengar perbandingan hidup ini umpama roda, sekejap di atas sekejap di bawah. Demikian jua perbandingan ini, cuma barangkali lebih spesifik.

Usah dibiar resah gelisah beraja di hati. Dibenci, sering gagal dan seumpamanya. Biarkan. Allah mendengar dan melihat. Kudrat kita ialah memperbaiki diri hari demi hari sedikit demi sedikit. Kita tidak tahu, akan tiba suatu saat dalam hidup kita, kita menjadi sang rama-rama.

Moga-moga mendapat sesuatu.

Bersama mengejar redha Ilahi.



18 comments:

  1. nice sharing :) bermanfaat sgt :)

    jemput singgah :)

    http://noraqilahjohari.blogspot.com/2013/01/nota-hati-3.html

    ReplyDelete
  2. ALHAMDULILLAH, Perkongsian yang sangat bermanfaat dan menambahkan ilmu :)

    ReplyDelete
  3. masha allah.. sesungguhnya ALLAH maha kaya :))

    ReplyDelete
  4. betul tu.. jangan mudah berputus asa... sesungguhnya Allah menduga hamba-Nya dan Allah tahu setakat mana kemampuan hamba-Nya untuk menempuh dugaan yang diberikan.. insyaallah.. :)

    ReplyDelete
  5. Alhamduillah

    sesungguhnya kita sebaik2 kejadian. Allahu akbar. :)

    ReplyDelete
  6. terima kasih atas perkongsian ini .amat bermanfaat :)

    ReplyDelete
  7. SubhanaAllah.... Ini semua tanda kebesaran Allah...
    Banyak lagi tanda-tanda kebesaran Allah di pautan ini..
    Tanda-tanda Kebesaran Allah

    ReplyDelete
  8. done follow here...follow me back keyh.. ^^

    http://cikjannstory.blogspot.com/

    ReplyDelete